Watie dedah Ayash autisme ringan sejak usia tiga tahun, kongsi pengalaman bantu anak – ‘Dia tidak banyak karenah dan jarang tantrum’

No Image Caption
A
A
A

ISTERI kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah berkongsi pengalaman mengurus anak tirinya, Ayash Affan yang disahkan mengalami autisme ringan ketika berusia tiga tahun.

Menurut Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, anaknya itu menjalani penilaian bersama pakar sebelum diagnosis tersebut disahkan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Watie daripada menjalani rutin harian bersama Ayash seperti biasa. Malah, dia menyifatkan kanak-kanak tersebut sebagai seorang kanak-kanak yang mudah dijaga, banyak bercakap dan jarang berdepan tantrum.

“Walaupun Ayash telah didiagnosis dengan autisme ringan, tetapi alhamdulillah, sejak kecil dia mudah dijaga. Tidak kira ke mana saya membawanya travel, Ayash sangat mudah untuk saya uruskan.

“Dia seorang kanak-kanak yang tidak banyak karenah, dengar cakap dan jarang tantrum,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

No Image Caption

Menurut Wanita berusia 37 tahun itu lagi, sepanjang membawa Ayash berjalan, dia akan memastikan jadual harian kanak-kanak itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.

Katanya, semakin Ayash membesar, semakin banyak perkara yang boleh dilakukannya sendiri, termasuk membantu menjaga adiknya.

“Biasanya sepanjang perjalanan, saya akan penuhi harinya dengan pelbagai aktiviti. Semakin dia membesar, semakin bijak dia menjaga adiknya.

“Saya tidak perlu lagi bersusah payah kerana sudah ada orang yang boleh menemani Akira. Apabila tiba waktu tidur, tidak perlu memujuk lama. Ayash akan tidur dengan mudah,” ujarnya.

Walaupun mudah diuruskan dalam kehidupan seharian, Watie tetap mengambil langkah mendapatkan penilaian pakar apabila menyedari terdapat tingkah laku tertentu yang dilakukan Ayash ketika kecil.

“Saya ada bawa lagi dia pergi jumpa pakar yang membolehkan dia membuat penilaian sebelum mengesahkan penyakitnya,” jelasnya.

No Image Caption

Wanita itu turut berkongsi satu situasi yang pernah berlaku ketika anak lelakinya itu masih kecil.

“Ada suatu ketika itu, saya sedang lipat baju di bilik dan suruh dia mengambil alat kawalan jauh televisyen. Dia ambil tetapi tindakannya berulang sambil ketawa,” katanya.

Dalam pada itu, Watie menjelaskan bahawa proses mengajar Ayash memerlukan kesabaran dan konsistensi.

Baginya, sesuatu perkara perlu diajar secara berulang menerusi rutin yang sama setiap hari supaya lebih mudah difahami.

“Untuk mengajar dia, kita kena ajar dia melakukan perkara dan rutin yang sama setiap hari,” kongsinya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang