Bila bergerak baru hilang rasa tidak selesa. Hati-hati, mungkin alami sindrom kaki gelisah!

No Image Caption
A
A
A

JIKA timbul rasa gelisah dan tidak selesa pada bahagian kaki apabila sedang berehat atau sebelum tidur, mungkin anda berhadapan dengan masalah sindrom kaki gelisah.

Menurut Doktor Perubatan Am di Poliklinik Penawar Johor Bahru, Dr Zubaidi Ahmad, sindrom kaki gelisah atau restless leg syndrome (RLS) adalah masalah saraf yang mana terdapat suatu perasaan yang tidak dapat dibendung (irresistible urge) untuk menggerakkan kaki bagi menghentikan perasaan tidak selesa atau pelik pada bahagian itu.

“Perasaan pelik itu biasanya digambarkan seperti panas, gatal yang teramat sangat, rasa mencucuk seperti dicucuk jarum dan ada kalanya kebas (paresthesias).

“Malah ada juga yang mengadu seolah-olah otot kakinya berasa sangat sakit. Mereka menggambarkan rasanya seperti semut yang merayap di bawah kulit,” jelasnya.

No Image Caption

Ketidakselesaan itu datang apabila seseorang berbaring atau cuba merehatkan kakinya. Rasa itu akan hilang sebentar apabila ia digerakkan secara berterusan.

Adakala pesakit terpaksa berjalan bermundar-mandir atau menggerakkan kakinya berterusan.

Selain itu, pesakit juga terpaksa melakukan aktiviti regangan atau menunggang basikal di tengah malam untuk menghilangkan ketidakselesaan tersebut.

No Image Caption

“Rasa tidak selesa ini akan hilang di awal pagi dan bertambah teruk bila menjelang petang. Kesannya, pesakit akan kurang tidur dan merasa mengantuk di awal pagi.

“Sindrom kaki gelisah boleh berlaku pada lelaki dan wanita, namun lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita tidak kira umur dan akan menjadi teruk mengikut pertambahan usia," ujar beliau.

Kajian menunjukkan sindrom kaki gelisah adalah berkaitan dengan beberapa penyakit atau keadaan, iaitu pesakit mudah untuk mengalami RLS.

Antaranya:-

  • Mereka yang mempunyai tahap kandungan kepekatan zat besi (iron) yang rendah dan mempunyai gejala anemia (kekurangan haemoglobin dalam sel darah merah).
  • Mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kerosakan dan kegagalan ginjal, diabetes, parkinson dan neuropati periferal. Merawat gejala dan penyakit ini akan menyembuhkan RLS.
  • Wanita yang mengandung juga mengalami RLS terutama ketika trimester ketiga dan akan hilang selepas melahirkan anaknya.
  • Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan RLS, terutama ubat-ubat yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kajian juga mendapati bahawa kafein, alkohol, dan tembakau boleh memburukkan gejala RLS. Apabila pesakit yang mengalami sindrom ini berhenti dari mengamalkan tiga perkara itu, gelajanya menjadi kurang dan kadangkala terus hilang.

No Image Caption

Selain itu, masalah genetik juga memainkan peranan. Lebih 60 peratus RLS adalah disebabkan keturunan dan ianya diwarisi melalui genetik autosomal dominan.

Tiada ujian khusus untuk mengetahui seseorang itu mengalami RLS. Oleh itu, doktor akan mendiagnosis berdasarkan penilaian klinikal.

Terdapat lima kriteria asas untuk mendiagnosis RLS secara klinikal:

  • Keinginan yang kuat dan mendesak untuk menggerakkan kaki, yang sering disertai dengan sensasi luar biasa, tidak selesa, atau tidak menyenangkan.
  • Keinginan untuk menggerakkan kaki ini muncul atau semakin teruk ketika berehat atau kurang bergerak.
  • Simptom ini sekurang-kurangnya sementara dan sebahagian atau hilang sepenuhnya apabila kaki digerakkan.
  • Keinginan untuk menggerakkan kaki biasanya berlaku atau bertambah teruk pada waktu petang atau malam.

Keempat-empat ciri di atas tidak disebabkan oleh keadaan perubatan atau tingkah laku lain.

Pemeriksaan neurologi dan fizikal, bersama maklumat sejarah perubatan serta keluarga, dan senarai ubat-ubatan yang diambil juga boleh membantu dalam diagnosis.

“Anda dinasihatkan berbincang dengan doktor tentang kekerapan dan tahap kesakitan yang dialami sama ada pergerakan membantu mengurangkan simptom, masalah berkaitan tidur dan gangguan fungsi pada siang hari.

“Ujian darah mungkin dilakukan untuk menyingkirkan keadaan lain yang menyebabkan simptom RLS, seperti kegagalan buah pinggang, tahap zat besi yang rendah, dan punca gangguan tidur lain seperti apnea tidur dan kehamilan.

“Mendiagnosis RLS dalam kalangan kanak-kanak mungkin lebih sukar kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menerangkan simptom yang dialami.

“RLS pada kanak-kanak kadangkala disalah anggap sebagai ‘sakit tumbesaran’ atau gangguan hiperaktif kekurangan tumpuan (ADHD),” terang pakar itu lagi.

Sindrom kaki gelisah ini boleh dirawat dengan cara:Melakukan senaman secara berkala dan berterusan untuk membantu pesakit nyenyak tidur.

Mengurut kaki dengan betul, menekap pek ais atau menuam dengan haba yang agak panas membantu memberikan kelegaan.

Bagi pesakit yang mengalami masalah ini dan tidak boleh tidur, dapatkan nasihat doktor dan ubat ubatan untuk mengurangkan perasaan itu.

Dr Zubaidi turut memberitahu, jika tidak dirawat, pesakit akan berasa letih dan mengantuk di siang hari.

“Ini akan mengganggu pekerjaan, hubungan sesama manusia dan aktiviti di siang hari. Malah ada di antara mereka yang tidak dapat memberikan perhatian, fokus, masalah ingatan dan gagal menjalankan tugas sehariannya.

“Ramai yang tidak mendapat rawatan kerana mereka menganggap bahawa penyakit ini tidak serius.

Malah ada yang telah berjumpa dengan doktor, tetapi tidak didiagnos dengan betul. Misalnya didiagnos dengan penyakit lain seperti nervousness, insomnia, tekanan, arthritis atau otot kejang.

“Sindrom kaki gelisah ini secara amnya penyakit sepanjang hayat. Keadaannya menjadi semakin buruk apabila usia bertambah.

Mendapatkan nasihat dan diagnosis yang betul dari doktor mampu mengurangkan risiko sampingan penyakit ini,” kongsi Dr Zubaidi lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang