Jangan suka hati bagi bayi makan sebelum waktunya, boleh undang bahaya! Semak tanda ini tanpa anak dah bersedia
MEMPERKENAL makanan pejal kepada bayi antara saat-saat bahagia seorang ibu.
Pelbagai jenis menu menjadi rujukan bagi si kecil mendapatkan khasiat yang baik dalam pemakanan mereka.
Inilah waktunya yang mana bayi mula meneroka pelbagai jenis rasa dan tekstur yang baharu.
Pengalaman awal ini penting untuk perkembangan tabiat makan mereka pada masa hadapan.
Namun, jangan disebabkan keterujaan ibu bapa boleh beri kesan pada bayi.
Sebab itu, penting ilmu keibubapaan terutamanya bagi mereka yang muda dan pertama kali menjadi ibu dan ayah.
Setiap bayi mempunyai tahap perkembangan yang berbeza dan memberikan makanan pejal sebelum waktunya boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan mereka. Antaranya masalah pencernaan, risiko tersedak, dan juga alahan makanan.
Jadi, ibu bapa harus memahami keperluan dan tanda kesediaan bayi mereka, serta mendapatkan panduan yang tepat daripada pakar.
Menjelaskan tentang perihal itu, Pegawai dietetik SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Laila Fadhilah Omar mengatakan seorang bayi itu mula diberikan makanan pejal ketika usia enam bulan kerana pada tahap itu, susu ibu mungkin tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan nutrisi bayi.
Pada usia ini juga, kemahiran motor bayi juga sudah berkembang. Secara amnya, si kecil anda sudah bersedia untuk makan makanan pejal dalam keadaan berikut:
- Menegakkan kepala
- Duduk dengan bantuan ibu bapa
- Menunjukkan minat terhadap makanan
- Menelan makanan tanpa sebarang paksaan
- Gigi bayi juga mula tumbuh
- Boleh menggerakkan lidah dengan baik
Apabila kemahiran itu telah berkembang, risiko bayi untuk tersedak adalah rendah.
Dalam pada itu, sebagai permulaan makanan bayi, adalah lebih baik dimulakan dengan karbohidrat dahulu.
Zat makanan itu penting kerana ia memberikan tenaga dan akanan jenis berkarbohidrat itu biasanya boleh didapati dalam nasi, pasta dan buah-buahan.
“Saya sering menasihatkan pesakit untuk memulakan dengan buah-buahan kepada bayi mereka. Ini kerana, sejak lahir lidah bayi sudah biasa dengan rasa manis daripada susu.
“Jadi, apabila kita mulakan dengan buah-buahan, rasa manis sebelum ini tidak akan hilang. ini kerana, matlamat utama kita adalah untuk memperkenalkan deria rasa kepada bayi,” jelas Laila.
Selain itu, ia juga membantu perkembangan otot di bahagian mulut bayi.
Apabila otot di mulut sudah berkembang dan lebih kuat, barulah kita boleh memperkenal makanan lain.
Contohnya, pada usia sembilan bulan, si kecil sudah boleh mencuba makanan campuran yang mengandungi karbohidrat dan protein, seperti nasi bersama ayam atau sayur-sayuran.
Pada peringkat tersebut, bayi akan mula memahami rasa makanan yang bercampur.
Bukan itu sahaja, pada tahap itu juga, si ibu boleh memberikan makanan yang mungkin berpotensi menyebabkan alergi.
“Ini penting, terutama jika ada sejarah keluarga alergi terhadap makanan tertentu seperti telur dan ayam.
Ketika ini juga, si ibu boleh cuba menguji sama ada bayi mempunyai reaksi alergi terhadap makanan tersebut.
“Terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan untuk bayi seperti menambahkan gula atau garam termasuk kiub stok ke dalam makanan bayi anda.
“Makanan bergaram misalnya tidak baik untuk buah pinggang, sementara gula pula boleh menyebabkan kerosakan gigi,” ujarnya.
Kenali tanda bayi anda kenyangPada peringkat awal, bayi hanya memerlukan sedikit makanan sebelum menyusu seperti biasa.
Justeru, tidak perlu bimbang tentang berapa banyak yang mereka makan.
Paling penting adalah membantu bayi membiasakan diri dengan rasa dan tekstur baru serta belajar menggerakkan makanan pejal dalam mulut mereka dan menelannya dengan betul.
Dalam pada itu, banyak faktor boleh mempengaruhi selera bayi anda, berhenti memberi makan apabila mereka menunjukkan tanda-tanda sudah kenyang. Antaranya:
- Mengalihkan kepala mereka ke arah lain
- Enggan membuka mulut untuk suapan seterusnya setelah mereka menelan (anda perlu tahan diri daripada memaksa bayi untuk menghabiskan satu suapan lagi)
- Bersandar ke belakang di kerusi mereka
- Bermain dengan sudu atau makanan daripada makan
Setiap bayi adalah berbeza dan tiada jumlah makanan tetap yang sesuai untuk bayi pada setiap peringkat.
Doktor bayi anda juga akan memantau peningkatan berat badan mereka secara berkala.
Jika doktor melihat lengkung pertumbuhan yang konsisten dan tiada kebimbangan lain, kemungkinan besar bayi anda sudah makan dengan jumlah yang betul.
Fasa memperkenal makanan pejal kepada bayi adalah satu proses yang memerlukan kesabaran dan perhatian kerana ia salah satu langkah penting dalam perkembangan mereka.
Ia bukan sekadar memperkenalkan makanan baharu, tetapi juga membina asas bagi tabiat makan sihat sepanjang hayat.
Malah, melalui cara itu juga, ibu bapa boleh membantu si kecil mengenal pelbagai rasa dan tekstur dengan cara selamat dan menyeronokkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang