SELEPAS tular kepingan foto koleksi barangan kulit dan pakaian ditumbuhi kulat di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Sabah, kini kerusi di panggung wayang juga berdepan situasi sama.

Kerosakan terbabit dipercayai susulan penutupan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula pada 18 Mac lalu.

Berdasarkan posting yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook @Malaysia Atrium Sale terdapat empat keping gambar memaparkan barisan kerusi di dalam panggung wayang kotor dek dicemari kulat.

Hampir keseluruhan kerusi berwarna ungu gelap dan merah serta permaidani di dalam pawagam yang tidak diberitahu lokasinya kelihatan kusam dan lusuh.

KULAT
KEADAAN kerusi dan perrmaidani di dalam sebuah panggung wayang yang belum dikenal pasti lokasinya.

Berkemungkinan, aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan tidak dapat dilakukan seperti kebiasaan.

Maklumlah, sehingga kini bisnes panggung wayang antara sektor tidak dibenarkan beroperasi bagi tujuan membendung penularan virus Covid-19.

Pun begitu, difahamkan setakat hari ini hanya syarikat panggung wayang, Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas mengeluarkan kenyataan bahawa gambar tular itu tidak berlaku di premis mereka.

Iklan

Terdahulu, warga net terkejut apabila melihat himpunan produk kulit dan pakaian di Metrojaya cawangan pusat beli-belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah berkulat.

kulat
ANTARA barangan kulit ditumbuhi kulat di Metrojaya cawangan Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah yang tular dalam laman sosial baru-baru ini. 

Memetik kenyataan portal Sabah News Today, Ketua Pemasaran Kumpulan The MUI Group, Karen Mak menjelaskan, terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan barangan di kedai berkenaan berada dalam keadaan seumpama itu.

Iklan

Punca sebenar berlakunya hal sedemikian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, semua barangan yang terjejas sudah dikeluarkan dari rak pameran dan digantikan dengan stok baharu.