ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

BERSAMA

Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental

Hospital Kulim, Kedah

Dr Nurul Nadia Ismail

SOALAN:

Doktor, sejauh manakah keberkesanan tentang syor menggunakan aromaterapi sebagai alternatif merawat dan kaedah mengawal stres dalam kalangan kanak-kanak? Mohon perincian daripada doktor.

– INGIN TAHU, ZAKARIA MOHD YASSIN, 27, KOTA KINABALU, SABAH

JAWAPAN:

KAEDAH aromaterapi telah diperkenalkan dalam masyarakat sejak beribu tahun lamanya. Aromaterapi dikatakan mempunyai kesan positif ke atas spiritualiti. Sehingga kini, ia masih digunakan.

Terdapat beberapa kajian saintifik tentang kesan penggunaan atau rawatan aromaterapi ke atas kanak-kanak terutamanya sebagai rawatan komplementari bagi kanak-kanak yang mengalami simptom stres, kemurungan, kecelaruan, keresahan, masalah sukar untuk tidur dan mempunyai tingkah laku yang mencabar (seperti kanak-kanak yang didiagnosis mempunyai autisme, hiperaktif dan kecacatan intelektual).

Artikel berkaitan: Anak stres, murung angkara kelas ekspres. Ini yang perlu ibu bapa lakukan

Iklan

Kajian berkenaan mendapati rawatan aromaterapi yang betul dapat membantu mengurangkan simptom yang dinyatakan itu. Bagaimanapun, penting untuk ditekankan bahawa aromaterapi bukanlah satu rawatan utama. Kajian yang dilakukan juga tidak mempunyai  bukti kukuh dan konsisten.

Rawatan aromaterapi juga perlu dipelajari dengan teknik yang betul kerana aromaterapi yang digunakan secara salah boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini ke atas kanak-kanak.

Perlu ditekankan juga bahawa rawatan utama bagi stres dalam kalangan kanak-kanak adalah dengan menilai atau mengetahui punca stres tersebut.

Sokongan daripada ibu bapa, pihak sekolah, rakan-rakan dan masyarakat secara umumnya dapat membantu kanak-kanak pada zaman ini untuk menangani stres dengan cara yang lebih baik dan produktif.

Iklan

Mengajar dan menggalakkan kanak-kanak berbicara dan berkongsi tentang cabaran atau stres yang dihadapi merupakan satu lagi cara yang paling signifikan.

Teknik pernafasan tenang seperti meniup belon, pengurusan emosi marah juga penting untuk diajar kepada anak-anak kita.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan jadual anak-anak mereka sentiasa teratur dan seimbang. Pastikan mereka cukup tidur, makan makanan yang sihat, berehat dan mengawal penggunaan gajet.

Selain itu, hubungan yang stabil dan harmoni dalam keluarga juga merupakan salah satu kaedah terbaik dalam menangani stres dalam kalangan kanak- kanak.