NAMPAKNYA industri pelancongan negara akan kembali rancak selepas tempoh ‘berkurung’ akibat wabak Covid-19 mula dilonggarkan.

Pergilah melancong, namun jangan lupa menjaga jarak sosial dan ikuti saranan pihak Kementerian Kesihatan bagi memastikan penyularan wabak itu di negara ini terus diputuskan.

Data baharu yang dikongsikan hari ini oleh Airbnb memberikan gambaran optimis bagi industri pelancongan di Malaysia. Kadar tempahan domestik meningkat hampir 190 peratus (berdasarkan data tempahan dalaman Airbnb pada 29 Jun 2020.

Dalam kenyataan media Airbnb kepada SinarPlus, dalam 30 hari yang lepas, 93 peratus daripada jumlah tempahan yang dibuat terdiri dari destinasi domestik (berdasarkan data tempahan dalaman Airbnb pada 24 Jun 2020).

Data ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri. Ia menyaksikan perhatian bertukar ke arah pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini.

Walaupun industri pelancongan telah terganggu dengan ketara oleh Covid-19, data dalaman Airbnb menunjukkan tanda-tanda positif bahawa pelancongan bangkit semula.

Situasi ini amat mengikut trend yang akan mencorakkan hala tuju pelancongan dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang.

Trend Utama: Dunia Pelancongan Baharu Dikongsikan Airbnb

Pelancongan domestik menunjukkan trend sejajar dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia. Usaha berterusan oleh kerajaan dan pemain industri untuk mempromosikan pelancongan di dalam negara.

Berdasarkan data tempahan terkini, destinasi domestik paling popular sepanjang 30 hari yang lalu di Malaysia termasuk:
1. Kuala Lumpur
2. Johor Bahru
3. Pulau Pinang

Tetamu juga memenuhi keinginan mereka untuk melancong dengan berkunjung ke destinasi bukan bandar. Antaranya 3 lokasi  didefinisikan sebagai wilayah di sekitar bandar seperti:

1. Cameron Highlands
2. Kuala Terengganu
3. Port Dickson
(Sebanyak 64 peratus berdasarkan tempahan berdasarkan data tempahan dalaman Airbnb untuk 30 hari yang lalu pada 24 Jun 2020)

Oleh kerana permintaan untuk pelancongan tempatan meningkat, Airbnb akan mengemas kini aplikasi dan laman utamanya. Ia bagi membantu tetamu menemui semula keajaiban di tempat yang berdekatan dengan memudahkan tempahan untuk pelancongan domestik, termasuk pada saat akhir.

Halaman utama dan aplikasi ini akan menampilkan idea pelancongan domestik dan menonjolkan percutian berhampiran.

Impak Ekonomi Domestik Menyokong Pemulihan Pelancongan

Walaupun dunia sedang mengalami pengurangan pelancongan, Airbnb berpotensi untuk menjana berbilion dolar untuk ekonomi domestik.

Iklan

Menurut Airbnb, pihaknya dapat mengekalkan manfaat ekonomi domestik. Pada tahun 2019, impak ekonomi langsung Airbnb di 30 pasaran teratas mencapai $117 bilion, iaitu peningkatan 17 peratus sepanjang tahun 2018.

Tahun lepas, komuniti hos dan tetamu Airbnb di Malaysia menyumbang RM3.7 bilion dalam impak ekonomi langsung. Secara keseluruhan, tetamu membelanjakan hampir RM3.3 bilion di Malaysia.

Selain daripada penginapan, restoran, membeli-belah, pengangkutan, barangan runcit dan hiburan merupakan lima kategori perbelanjaan yang teratas bagi tetamu Airbnb.

Memandangkan pelancongan telah bangkit semula, jelas bahawa Airbnb sekali lagi boleh menjadi penyumbang yang kuat kepada pemulihan sektor ini dan ekonomi.

“Kami sudah melihat tanda-tanda positif awal yang menunjukkan bahawa pelancongan domestik sudah bersedia untuk bangkit semula, didorong oleh penduduk domestik yang menempah percutian yang lebih dekat rumah.

Iklan

“Data terbaru ini menguatkan kepercayaan kami bahawa pelancong semakin mencari pengalaman domestik yang tulen dan berpatutan,” kata Kum Hong Siew, Pengarah Rantau (Asia-Pasifik), Airbnb.

Beliau menambah, pelancongan adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan ia akan memainkan peranan penting dalam pemulihan keseluruhan.

Katanya, krisis Covid-19 akan terus mengubah cara kita menjalani kehidupan dan mengembara.

“Airbnb akan terus menggalakkan semua hos dan tetamu untuk bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan apabila mereka memilih untuk mengembara,” katanya.

Selamat melancong!