1.Pulau Redang

Terletak 45 kilometer dari daratan Kuala Terengganu, Pulau Redang adalah pulau yang terbesar daripada sembilan buah pulau yang dilindungi di dalam perairan Terengganu.

Pulau Redang juga antara pulau yang paling kerap dilawati di Terengganu. Mempunyai pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru, Pulau Redang sememangnya destinasi percutian yang sempurna untuk pelancong yang mengidamkan ketenangan dari keriuhan kota.

2.Pulau Kapas

Terkenal dengan aktiviti mencandat sotong yang sangat popular pada sekitar bulan Jun dan Julai setiap tahun. Lokasinya juga tidak begitu jauh dari jeti Marang yang mana jaraknya hanyalah sejauh enam kilometer.

Pulau Kapas juga tidak sesibuk pulau lain walaupun pada musim cuti sekolah. Kurang dilawati tidak bermakna ia kurang menarik. Pulau Kapas adalah sebuah pulau kecil yang mempunyai keindahan yang cukup terjaga. Air yang jernih kebiruan menyimpan kepelbagaian hidupan marin yang menanti untuk diteroka.

3.Pulau Gemia

Kedudukan Pulau Gemia terletak tidak jauh dari Pulau Kapas dengan jarak hanya 800 meter sahaja.
Pulau Gemia juga dikenali sebagai Coral Island.

Kebiasaannya pelancong yang datang ke Pulau Kapas akan pergi ke Pulau Gemia sebagai salah satu lokasi bagi melakukan aktiviti snorkeling, menyelam ataupun mengamati pemandangan pantai.

Pulau kecil itu juga dapat menarik ramai pelancong datang ke sana kerana memiliki panorama matahari terbit yang cantik. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik, mungkin pengunjung dapat melihat ketibaan sang penyu dari spesies Agar yang datang untuk bertelur di kawasan pantai.

4.Pulau Perhentian Kecil

Pulau Perhentian terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Berkenaan Pulau Perhentian Kecil, ia merupakan sebuah pulau indah yang menawarkan dua kawasan pantai dengan atmosfera yang berbeza iaitu Long Beach dan Coral Bay di bahagian yang lain.

Long Beach merupakan lokasi yang paling meriah dengan pengunjung tanpa mengira siang atau malam. Memiliki kawasan pantai yang berpasir putih halus dan air yang jernih, pantai yang berbentuk bulan sabit itu menjadi pilihan ramai pelancong.

Di sudut Coral Bay pula, pengunjung dapat menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh memukau pandangan mata. Kawasan sekitar Coral Bay itu dilihat lebih privasi berbanding Long Beach sekiranya pengunjung ingin bersendiri mencari ketenangan jiwa.

5.Pulau Perhentian Besar

Kalau Perhentian Kecil agak meriah di kawasan long beach, Pulau Perhentian Besar pula secara keseluruhannya menawarkan ketenangan yang diimpikan pengunjung.

Untuk aktiviti menyelam skuba, kebanyakan resort di pulau itu menawarkan kursus menyelam di pusat-pusat menyelam yang lengkap dengan segala peralatan.

Selain menyelam skuba, pengunjung juga boleh merentas hutan untuk melihat fauna atau melakukan aktiviti berkayak.

Malangnya, bermula November hingga akhir Februari setiap tahun pula, pulau-pulau itu akan ditutup sementara disebabkan oleh musim tengkujuh.

6.Pulau Rawa

Pulau Rawa bukan sahaja ada di Johor, kerana Terengganu juga memiliki pulau dengan nama yang sama. Pulau yang terletak di Besut, Terengganu itu setanding keindahannya dengan Pulau Rawa yang terletak di Mersing, Johor.

Air lautnya yang biru jernih bak kristal menampakkan keindahan terumbu-terumbu karang yang terbentuk indah di dasar laut berdekatan dengan daratan pantai. Pemandangan di sekitar Pulau Rawa cukup mengasyikkan dengan keindahan panorama dalam airnya.

Pulau itu agak kurang dilawati kerana tidak menawarkan sebarang penginapan. Disebabkan itu menjadikan Pulau Rawa terpelihara daripada sebarang pencemaran dan kekal terpelihara.

7.Pulau Duyong

Terletak di muara Sungai Terengganu, Pulau Duyong pada suatu ketika dahulu pernah terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, namun pemendapan telah menyatukan kedua-duanya.

Pulau itu tidak seperti pulau lain yang rancak dengan aktiviti menyelam dan keindahan laut dalamnya. Tarikan yang ditawarkan Pulau Duyong pula adalah kerana kewujudan kawasan perkampungan dengan penduduk yang hidup dalam penuh keharmonian.

8.Pulau Bidong

Pulau Bidong tidak menawarkan sebarang tempat penginapan. Kebiasaannya, sesiapa yang ingin meneroka pulau itu akan menginap di Kuala Terengganu sebelum mengambil bot dari jeti Marang.

Pulau Bidong juga sebenarnya adalah sebuah pulau yang ditinggalkan. Pulau Bidong pernah dijadikan sebagai tempat penempatan pelarian Vietnam sewaktu berlakunya peperangan antara Vietnam dan Amerika sekitar tahun 1975.

9.Pulau Lang Tengah

Nama ‘Lang Tengah’ cukup sesuai dengan lokasinya yang terletak di tengah-tengah iaitu antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Perkataan ‘Lang’ pula adalah kerana kehadiran burung-burung helang di kepulauan tersebut.

Walaupun nama pulau itu tidak segah pulau Redang dan Perhentian, namun keindahan hidupan marin di dasar laut di sekitarnya sungguh indah untuk dinikmati melalui aktiviti snorkeling dan menyelam skuba. Panorama dalam air yang ditawarkannya boleh dikatakan bertaraf dunia.

10.Pulau Rhu Hentian

Pulau Rhu terletak kira-kira 15 batu nautika dari pelabuhan kecil Kuala Besut, di utara Terengganu ialah tempat pelancongan yang baru diteroka dan sedang giat dimajukan bagi melengkapkan lagi pelan pembangunan pelancongan berasaskan keindahan pantai dan pulau di Terengganu.

Pulau Rhu seperti juga kepulauan lain tetap mempunyai keindahan alam semula jadi yang menarik dan mengagumkan dengan pantai yang putih bersih serta kebiruan air Laut Cina Selatan yang mengasyikkan pengunjung.

Pengunjung yang berpeluang berkunjung ke situ akan dapat menikmati permainan dan kegiatan air seperti menyelam untuk melihat spesies hidupan laut yang pelbagai.