Beruntungnya penduduk Wilayah Persekutuan

Hidup di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan memang ada perbezaannya tersendiri sama ada daripada segi kos sara hidup, infrastruktur mahupun sosioekonomi.

Tapi penduduk Wilayah Persekutuan sebenarnya bertuah dan beruntung kerana kerajaan terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) amat prihatin dengan segala isu, masalah serta keperluan rakyat.

Macam-macam program dan projek yang memberi impak positif kepada penduduk telah dan sentiasa dilaksanakan serta ditambah baik oleh KWP dan agensi-agensi di bawahnya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL). Semuanya untuk pastikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, selesa, selamat dan terjamin.

Perumahan mampu milik untuk golongan muda melalui Residensi Prihatin Keluarga Malaysia

Isu pemilikan rumah sememangnya menjadi dilema yang membelenggu penduduk di Wilayah Persekutuan terutamanya dalam kalangan anak muda dan B40.

Mana tidaknya, dengan harga rumah yang makin melambung di pasaran, kos sara hidup pun meningkat dan perbelanjaan harian keluarga kian bertambah menyebabkan golongan belia yang baru hendak membina keluarga ini sukar untukmembeli rumah sendiri.

Namun, KWP membuat solusi segera dengan mewujudkan program perumahan mampu milik Residensi Prihatin Keluarga Malaysia (RPKM) yang menawarkan rumah pada harga sehingga RM200,000 sahaja. Pada masa ini, RPKM di Putrajaya melibatkan 11,001 unit yang telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang dan Mendirikan Bangunan. Kesemua projek ini melibatkan Presint 5, 7, 11 dan 19. Dijangkakan projek perumahan ini siap dibina pada tahun 2025.

Jaringan keselamatan sosial kesihatan untuk golongan rentan dan B40 melalui MYMedic@Wilayah

Aspek kesihatan memainkan peranan penting dalam mewujudkan komuniti sihat dan berdaya saing terutamanya dengan cabaran kehidupan semakin memuncak.

Selain itu, penduduk yang mempunyai tahap kesihatan yang merosot seperti pesakit terlantar turut diberikan perhatian oleh kerajaan.

Jadi KWP mengambil inisiatif mewujudkan program MYMedic@Wilayah yang memfokuskan kepada memberikan perkhidmatan rawatan asas kesihatan secara percuma kepada penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL melalui bas MYMedic@Wilayah.

Sehingga kini, lebih 7,300 penduduk di PPR dan PA DBKL dapat membuat saringan kesihatan, terima konsultasi doktor serta ubatan secara percuma mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Perlindungan sosial kos makanan melalui Program MYGrocer@Wilayah

KWP turut memperkenalkan program MYGrocer@Wilayah yang menjual barangan dapur harian pada harga 5-20 peratus lebih murah dari pasar awam khususnya di PPR dan PA DBKL. Sehingga kini, sembilan buah trak MYGrocer@Wilayah sedang beroperasi mengikut jadual melibatkan 73 lokasi terpilih.

Selain itu, KWP turut melaksanakan inisiatif pemberian subsidi bersasar bagi pembelian seekor ayam dan 10 biji telur ayam melalui Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah. Inisiatif ini berjaya memberi manfaat kepada lebih 147,000 warga PPR dan PA DBKL di Kuala Lumpur dan 19,000 golongan B40 di Labuan.

Pada waktu sama, KWP turut melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia sebanyak dua kali seminggu supaya dapat membantu meringankan beban kos sara hidup golongan rentan dan B40 di Wilayah Persekutuan.

Memacu penjanaan dan pemulihan ekonomi Wilayah Persekutuan

Tidak hanya mahu mengamalkan konsep ‘beri ikan’ saja kepada golongan memerlukan, KWP juga mempraktikkan pendekatan beri pancing dan umpan untuk masyarakat menjana sendiri pendapatan melalui bidang keusahawanan terutamanya bagi usahawan muda.

KWP telah memperkenalkan Program Usahawan Muda Kota (UMK) pada tahun 2020 bagi membantu golongan yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19.

Sehingga kini, sebanyak 1,352 ruang niaga telah disediakan oleh DBKL dan PPj dengan reka bentuk yang moden dan fasiliti yang lengkap serta kadar sewa yang berpatutan. Sejak dimulakan, seramai 1,053 usahawan telah memulakan operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, pakaian, gajet dan aksesori.

Selain itu, KWP turut melanjutkan pelaksanaan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) sehingga Disember 2022 dengan memberikan lesen penjaja sementara secara percuma yang memberi manfaat kepada 4,500 peniaga di Wilayah Persekutuan.

Memperkasa konsep green city dan smart city

Bagi menyahut seruan menerusi Program Penghijauan Malaysia, KWP menyasarkan penanaman sebanyak 1.5 juta pokok dalam tempoh lima tahun mulai tahun 2021. Dengan bertemakan Wilayah Hijau Wilayah Lestari, KWP dan agensi telah berjaya melaksanakan Program Penanaman Pokok pelbagai spesis sebanyak 220,000. Inisiatif ini diambil bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030 dan neutral karbon menjelang 2050.

Bila dah duduk di ‘bandar hijau’, aspek keselamatan dengan ciri-ciri pintar menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya yang boleh didiami. Sebanyak 475 unit kamera litar tertutup (CCTV) dan 89 butang panik dipasang di sekitar Putrajaya bagi memberi jaminan keselamatan bukan sahaja kepada penduduk malah pelancong dan pengunjung yang hadir juga terjamin. Tekan saja butang panik, pasti ada pihak-pihak berkaitan segera membantu.

Memastikan proses penyelenggaraan bandar seiring dengan pembangunan semasa

Bila berlaku kes lif rosak, maka ‘berkicaplah dan mandi peluhlah’ penduduk di kawasan PPR dan PA yang tinggi melangit nak panjat tangga. Itu belum lagi cerita bab nak bawa naik barang-barang ke rumah yang bertingkat-tingkat tingginya.

Tidak mahu penduduk terus ditimpa masalah berganda-ganda itu, DBKL telah membuat penggantian 213 unit lif di PPR dan PA seperti di PPR Seri Sabah A, PPR Seri Sabah 3B, PPR Seri Kota, PPR Desa Petaling, PPR Salak Selatan, PPR Seri Anggerik dan PPR Sg Bonus pada tahun ini. Manakala, 66 unit lif lagi akan bermula pada tahun hadapan. Oleh itu, penduduk di PPR dan PA DBKL perlulah menjaga sebaiknya kemudahan awam tersebut untuk keselesaan bersama.

Perlindungan sosial gelandangan melalui Pusat Transformasi Gelandangan

Kalau kita ronda-ronda sekitar KL, tidak sah kalau kita tidak terserempak dengan orang gelandangan. Bagi ubah imej Kuala Lumpur dan ubah nasib golongan ini, KWP telah mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan Pusat Transformasi Gelandangan untuk penempatan dan pengurusan kendiri serta Program Kerjaya Gelandangan.

KWP dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, NGO dan badan korporat telah melatih gelandangan di Anjung Kelana dan Anjung Kembara dengan pelbagai kemahiran selain membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian agar dapat kembali dalam masyarakat.

Dengan cara ini dapatlah kumpulan gelandangan ini berdikari dan tidak lagi meminta atau mengemis ihsan orang awam di jalanan. Seramai 3,700 orang gelandangan telah dibantu oleh KWP dan DBKL sejak tahun 2016.

Memacu usaha pembasmian kemiskinan dan miskin tegar bandar

KWP dan agensi turut komited untuk menangani kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan. Oleh itu, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia Wilayah Persekutuan telah diperkenalkan pada tahun ini.

Jangan tidak tahu, Putrajaya telah diisytiharkan sifar miskin tegar bermula Julai 2022 dan jumlah penduduk dalam kategori miskin pula menurun sebanyak 50 peratus dalam tempoh setahun pada Ogos 2022 berbanding 2021.

Pada 11 Oktober pula, data miskin tegar di Wilayah Persekutuan juga menunjukkan trend penurunan iaitu sebanyak 45.7 peratus kepada 1,550 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan pecahan di Kuala Lumpur sebanyak 1,303 KIR dan 247 KIR di Labuan.

Memantapkan pengurusan bencana di Wilayah Persekutuan

Banjir kilat dan keruntuhan cerun merupakan dua perkara yang membelenggu warga kota. Tetapi, hasil tindakan segera dan terancang oleh KWP dan DBKL kini membuahkan hasil apabila kawasan hotspot banjir kilat telah berkurangan kepada tiga sahaja berbanding sebanyak 31 lokasi sebelum ini.

Manakala, kawasan keruntuhan cerun juga telah berjaya diselenggara melibatkan 43 kawasan di sekitar Kuala Lumpur. Pelaksanaan terancang oleh DBKL membuahkan hasil apabila jumlah keruntuhan cerun juga berkurangan.

DBKL kini dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir dan turut memasang sistem amaran banjir di beberapa lokasi antaranya Jalan Penchala Hilir, Dataran Merdeka, Jalan Chan Sow Lin, dan Jalan Taman U Tant.

Mempergiat pembangunan semula bandar

KWP juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pembangunan semula kawasan-kawasan usang agar menjadi lebih kondusif dan berdaya huni.

Antara lokasi yang dikenal pasti untuk dibangunkan semula adalah seperti pusat-pusat penjaja di Medan Selera Lucky Garden, Bangsar dan Medan Selera Jalan Jujur, Bandar Tun Razak.

Selain itu, Perumahan Awam Seri Labuan juga akan dibangunkan semula untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk.

Menggalak perkembangan wilayah sebagai vibrant city dan pelancongan

Umum mengetahui bahawa Putrajaya merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Namun, jangan tidak tahu, Putrajaya juga mempunyai pelbagai lokasi dan aktiviti menarik yang boleh membuatkan anda pasti ingin kembali lagi.

Penganjuran Floria Diraja Putrajaya tahun ini telah berjaya menarik lebih 1 juta pengunjung sejak 12 tahun penganjurannya. Ramai pengunjung dan pelancong datang untuk merakamkan momen indah pada festival tersebut.

Bukan itu sahaja, Putrajaya juga memperkenalkan pelbagai produk pelancongan baharu untuk tarikan riadah berkeluarga seperti Pantai Floria, berkhemah di Glamping@Wetland serta fasiliti untuk aktiviti riadah seperti berbasikal dan berlari.

Memperkukuh jaringan insfrastruktur

Bagi mengatasi masalah lalu lintas di Kuala Lumpur, dua jejambat baharu telah siap dibina iaitu jejambat Jalan Langgak Golf ke Bulatan Kampung Pandan dan jejambat Jalan Ipoh berhadapan Pasar Harian Selayang yang pastinya memberi kegembiraan kepada penduduk sekitar dan pengguna jalan raya tersebut.

Selain itu, pembinaan Jalan Segambut dari jambatan KTM sehingga ke Mont Kiara yang kini sedang dilaksanakan melibatkan fasa kedua iaitu

dari Persimpangan Taman SPPK hingga ke Jalan Lang Emas / Petron North Kiara dan dijangka siap pada Jun 2023.

Menyediakan pengangkutan awam yang lestari

Pengunjung di Kuala Lumpur boleh berjalan-jalan dengan percuma melalui perkhidmatan Bas GOKL. Pada tahun ini, DBKL telah menambah dua lagi laluan baharu bagi Bas GOKL sekaligus menjadikan jumlah laluan kini sebanyak 11 laluan. Kini, tidak perlu lagi risau terlepas simpang atau tersalah jalan di Kuala Lumpur, naik sahaja Bas GOKL untuk ke destinasi pilihan anda.

Kerjasama dua hala antarabangsa

Bandar raya yang membangun saling berkongsi maklumat dan KWP juga turut menjalankan kerjasama dua hala bertaraf antarabangsa dengan bandar-bandar besar Jepun seperti Tokyo, Saitama dan Itabashi. Ini bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dan pengalaman kedua-dua pihak terutama dalam aspek pengurusan bencana.

Melaksanakan Program Pengindahan Bandar

Suasana di Kuala Lumpur kini lebih indah dengan lukisan mural di bangunan usang di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tiong Nam serta lebih meriah pada waktu malam dengan pencahayaan menarik terutama di Jalan Bukit Bintang dan Dataran Merdeka.

Ini adalah hasil daripada inisiatif DBKL melalui Program Pengindahan Kuala Lumpur yang memberi tumpuan kepada lorong belakang dan lorong sisi bangunan dapat memberi imej baharu yang lebih bersih, selamat dan ceria.

Putrajaya juga melaksanakan inisiatif pencahayaan dengan pemasangan lampu bergemalapan di Kawasan tumpuan orang ramai serta menukar ganti lampu jenis LED di Kawasan-kawasan perumahan supaya lebih selamat.

Menyantuni rakyat menghadapi kesusahan

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim sendiri giat turun padang setiap hari untuk melihat sendiri isu-isu permasalahan rakyat sekaligus menyelesaikannya terus di lapangan.

Beliau turut berkongsi nombor peribadinya kepada orang awam untuk membuat aduan terutamanya mengenai isu jalan berlubang di Kuala Lumpur.

Kalau kita tengok dan saksikan sendiri, sudah bermacam-macam usaha yang dilakukan oleh KWP agar kehidupan dan masa depan penduduk di tiga Wilayah Persekutuan sentiasa terjamin. Pendek kata daripada sekecil-kecil masalah sehingga kepada isu pembangunan dan kebajikan penduduk sentiasa diambil berat oleh KWP.

Kesemua inisiatif yang diambil ini adalah bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan dapat hidup dengan sejahtera dan menikmati pembangunan secara saksama.