Panjang umur, 2 hari tertimbus runtuhan gempa bumi, budak 5 tahun ditemui hidup. 15 info perlu tahu
PANJANG umurnya, biarpun dua hari tertimbus dalam runtuhan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud, seorang kanak-kanak di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia ditemui masih hidup.
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu ditemui di bawah runtuhan bangunan di Kampung Rawa Cina di Desa Nagrak, Cianjur iaitu dua hari selepas gempa bumi cetek yang berlaku pada 21 November lalu.
Anggota bomba Cianjur, Mickey Arisona berkata, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemas dan badannya dipenuhi debu.
Baca juga: [VIDEO] Dahsyat! Gempa bumi 7.4 magnitud gegar Jepun, 4 maut, 2.2 juta kediaman bergelap
Dua hari di sebalik runtuhan, lazimnya mangsa berisiko meninggal dunia kekurangan oksigen atau kecederaan. Namun kanak-kanak lelaki itu terus bertahan dan ditemui pasukan penyelamat selepas terlihat pergerakan di sebalik runtuhan. Pergerakan itu membantu mereka mengesan lokasi mangsa.
“Keadaannya lemah kerana kekurangan oksigen. Ketika diangkat, kanak-kanak itu masih boleh berkomunikasi," kata Mickey.
Si kecil berkenaan segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan. Ketua Rukun Tetangga, Suherman berkata, nama mangsa dikenali sebagai Azka Maulana Malik, 5. Mangsa dikatakan hilang sejak gempa bumi melanda.
“Alhamdulillah, hari ini kami menemuinya masih hidup,” kata Suherman ketika dihubungi Kompas.com.
Baca juga: Patutlah bergegar! Dirasai hingga ke Selangor, KL, gempa bumi landa Utara Sumatera
Video pemindahan mangsa yang terselamat dari sebalik runtuhan gempa telah tular di media sosial dan telah dikongsi secara meluas.
Tribunnews memaklumkan si kecil berkenaan ditemui di dalam sebuah ruang yang terbentuk di bawah dinding konkrit di dalam bilik di rumahnya.
Perkara sama disampaikan bapa saudara Azka, Miftahudin yang berkata, runtuhan itu ditahan oleh almari yang membentuk ruang untuk anak saudaranya itu bernafas dan bertahan hidup.
Namun yang menyedihkan ibu kanak-kanak itu ditemui maut manakala neneknya ditemui meninggal dunia dihempap runtuhan di bilik air rumah mereka.
Berikut lima info berkaitan gempa bumi terbabit:
1-Anggota penyelamat dan ahli keluarga bertungkus-lumus mencari mangsa masih terselamat dalam runtuhan rumah dan tanah sejurus gempa bumi cetek yang berlaku pada Isnin.
2-Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Suharyanto berkata, angka kematian melonjak secara mendadak dari 162 kepada 268 orang sehingga lewat petang Selasa.
3-Manakala sekurang-kurangnya 151 orang masih hilang dan lebih 1,000 cedera.
4-Rakaman dron yang diambil AFP menunjukkan anggota penyelamat sedang menggunakan jentera berat bagi membersihkan jalan raya akibat tanah runtuh.
5-Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat kawasan gempa bumi pada Selasa telah menawarkan pampasan kepada mangsa dan mengarahkan agensi bencana dan penyelamat untuk 'menggerakkan seluruh anggota ke lokasi terjejas.
Baca juga: #PrayForJapan Penduduk Jepun bimbang tsunami 2011 berulang susulan gempa kuat!
TIP GEGARAN BUMI
Sehingga kini, gegaran bumi yang dirasai di Malaysia adalah disebabkan oleh gempa bumi di sekitar rantau Asia Tenggara.
Pun begitu, jangan ambil mudah. Ambil tindakan segera jika terdapat petunjuk pergerakan tanah yang boleh mengancam nyawa. Sekiranya melalui bencana ini, anda disaran melakukan langkah berikut:
1-Bertenang dan jauhi binaan seperti tingkap, rak perhiasan, lampu atau apa-apa objek yang boleh menghempap anda dan menyebabkan kecederaan.
2 Berlindung di bawah meja tegap, sebaiknya dibuat daripada kayu dan bahan-bahan teguh.
3- Apabila gegaran berhenti, keluar dan tutup semua peralatan gas dan elektrik; jangan sentuh wayar elektrik yang rosak.
4-Jangan gunakan mancis, pemetik api atau sebarang nyalaan terbuka kerana mungkin terdapat kebocoran gas yang disebabkan oleh gegaran bumi.
5-Hubungi bomba untuk melaporkan kebocoran paip gas jika anda menghidunya. Periksa persekitaran anda untuk sebarang retakan baru dan kerosakan struktur lain pada elemen bangunan seperti dinding, tiang dan alur. Pemindahan hanya perlu jika ada kelihatan tanda-tanda kerosakan struktur pada elemen bangunan.
6-Ikuti perkembangan terkini gegaran melalui radio atau televisyen.
JIKA ANDA BERADA DI LUAR RUMAH
1-Jauhi dari bangunan dan kabel elektrik yang tergantung.
2-Terus berada di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.
3-Jika anda sedang memandu, berhenti secepat mungkin apabila keadaan mengizinkan dan terus berada di dalam kenderaan anda.
4-Elakkan berhenti berdekatan pokok, bangunan, jambatan, fly over atau kabel elektrik yang tergantung.
Baca juga: 10 tip hadapi kebakaran, asap tebal boleh membunuh
Sumber: Kompas, Buku Panduan Kecemasan, Tribunnews
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang