Raja Permaisuri Agong hadiahkan hantaran perkahwinan baginda, Keringkam usia 35 tahun kepada Muzium Sarawak
KERINGKRAM merupakan selendang/tudung atau skaf tradisional yang sinonim dengan wanita Melayu di Sarawak. Kebiasaannya Keringkam akan digayakan ketika majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan, pertunangan ataupun menghadiri majlis makan malam bersama pembesar-pembesar negeri. Keringkam itu sendiri mempunyai dua jenis Keringkam iaitu selayah dan selendang.
Baru-baru ini Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada pihak Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada umum.
Keringkam berusia 35 tahun yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinan itu mempunyai nilai seni yang sangat tinggi. Maka sangat wajarlah Keringkam dihargai oleh generasi baharu agar tidak dilupakan bagi memartabatkan keindahan seni tenunan kain.
“Ini adalah hadiah perkahwinan dalam satu daripada 16 dulang yang saya dapat ketika berkahwin dengan suami saya (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Memandangkan Keringkam yang saya dapat ini adalah Keringkam Sarawak, hari ini saya mahu menyerahkan kepada kerajaan Sarawak untuk dipamerkan di muzium,” titah baginda pada majlis perasmian Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo baru-baru ini.
Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 dianjurkan bertujuan untuk memupuk hubungan antara masyarakat dan pemain industri tekstil, selain menjadi platform pertukaran idea ke arah pemeliharaan dan kemampanan tekstil di seluruh dunia.
Baginda yang juga merupakan Penaung Pusat Pengeluaran Songket Kontemporari Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) menyeru tukang tenun yang mahir agar tidak lokek berkongsi ilmu serta menurunkan kemahiran yang ada kepada generasi baharu.
Menurut baginda, jumlah penenun berkemahiran semakin kurang dalam kalangan masyarakat. Mereka yang sudah tidak bergiat lagi dalam bidang itu perlu digalakkan untuk kembali aktif bagi membolehkan generasi baharu belajar daripada mereka.
Baca juga: 'Kita jangan bergaduh pasal laksa ok. Tepuk dada tanya selera'- Raja Permaisuri Agong kongsi resipi
“Kami dapati semakin berkurangan orang yang terlibat dalam tenunan. Kita mesti galakkan mereka kembali kerana adalah penting bagi penenun untuk menurunkan pengetahuan mereka. Kita mesti pastikan ilmu dan warisan ini tidak luntur ditelan zaman.
“Adalah penting bagi mereka untuk menurunkan pengetahuan mereka untuk kita dokumentasikan setiap bahagian, bagi membolehkan kita mewariskannya kepada generasi akan datang,” titah baginda.
Tunku Azizah bertitah industri tekstil semakin berkembang pesat serta mampu meningkatkan nilai eksport dan import. Peluang ini perlu diambil untuk mempromosikan tekstil komuniti di negara ini ke persada dunia.
Tunku Azizah juga telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Juma'ani Pavilion. Keberangkatan tiba Tunku Azizah disambut oleh isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan negeri itu Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira sejam di Juma'ani Pavilion. Baginda ingin melihat sendiri koleksi seperti pakaian moden dengan sentuhan tradisi Sarawak, beg tangan serta kasut yang dihasilkan pereka tempatan dan dipasarkan di Juma’ani Pavilion.
Juma'ani Pavilion merupakan hab fesyen yang memasarkan produk warisan tempatan dihasilkan oleh anak Sarawak dalam mempromosi kesenian dan kebudayaan. Juma'ani Pavilion juga berperanan sebagai pusat latihan bagi pereka muda tempatan yang berbakat dalam bidang fesyen dan tekstil.
Baca juga: “Terharu, terkejut, semua ada. Macam mimpi…” – Elizad gembira dihubungi Raja Permaisuri Agong
Kredit foto: BERNAMA
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang