#SiBibirMerah Isu perbicaraan kes tragis Bella makin panas, TMJ tawar peguam pemerhati percuma

A
A
A

SEJAK bermulanya perbicaraan, kes penderaan ke atas kanak kanak-kanak Down yang bernama Bella hangat diperkatakan.

Dari 30 Mac lalu, satu persatu pembongkaran dilakukan pihak pendakwaan melalui pendedahan daripada saksi.

Baca juga: #Justiceforbella Tuntut Keadilan Adik Sindrom Down, Disyaki Didera Tangan, Dada Melecur

Kecederaan yang dialami Bella menyebabkan ramai menitiskan air mata. Kesan lecur pada tangan, dada, paha dan beberapa lagi bahagian tubuh anak syurga sudah cukup menggambarkan betapa dia terseksa.

Belum lagi mendengar kenyataan saksi pendakwaan yang membuatkan ramai terkedu. Tragis!

Disimbah air panas, perut digigit, disuruh menelan najis sendiri, dipaksa memakan 20 cili selama beberapa minggu, tidak diberi minuman. Penderaan mental dan fizikal menyebabkan tubuh anak syurga itu jelas susut ketika ditemui. Tubuh Bella yang montel bertukar menjadi kurus hanya dalam masa beberapa bulan.

Walau bagaimanapun, isu makin panas selepas barisan pihak pembelaan pengasuh Bella, Siti Bainun Ahmad Razali, 30, memuat naik gambar bersama.

Kredit foto: Bernama

Ia membuatkan warganet bertambah berang selepas mendapati mereka masih mampu tersenyum di saat orang ramai bersungguh-sunggu mengharapkan keadilan di pihak Bella.

 

Selain Che Puan Besar Khaleeda Bustamam, suaminya Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atau lebih dikenali sebagai TMJ perkenan untuk menawarkan perkhidmatan peguam-peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati.

Perkara itu dizahirkan baginda bagi membantu perbicaraan yang dijalankan telus, amanah dan berjalan lancar.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini.

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” titah TMJ menerusi laman sosial rasmi Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Ia diumumkan susulan isteri baginda, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menyatakan kesediaan membantu Bella mendapat keadilan sewajarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyatakan penghargaan atas usaha TMJ dan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam atas keprihatinan terhadap kes penderaan Bella dan usaha-usaha yang digerakkan dalam pembelaan anak syurga itu dan akan bekerjasama dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Baca juga: 7 Kenyataan Saksi Kes Bella Buat Ramai Terkedu, Che Puan Besar Khaleeda Ikrar Bantu Tuntut Keadilan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun

“Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan yang dizahirkan oleh DYAM Tuanku dan YAM Che Puan Besar yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini.

“Patik dan rombongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia untuk menghadap DYAM Tuanku dan YAM Che Puan Besar bagi mempersembahkan status kes perbicaraan adik Bella dan tindakan-tindakan yang telah disusuli oleh pihak Kementerian dalam membantu perbicaraan kes ini, “ titip Rina dalam kenyataan rasmi beliau di laman sosial miliknya.

Rina menyatakan pihaknya menyambut baik tawaran khidmat peguam secara percuma dan akan bekerjasama rapat bagi untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes itu.

Bibir Merah berasa lega dengan perkembangan ini. Jika dilihat, Bella remaja kurang upaya dan yatim piatu. Namun kini Bibir Merah yakin jutaan rakyat Malaysia ada dibelakangnya menyokong dan mendoakan keadilan.

Bersama ini Bibir Merah kongsikan beberapa info pengenai peguam pemerhati. Memetik Women’s Centre of Change, Pulau Pinang, mangsa boleh mendapatkan khidmat peguam sebagai peguam pemerhati bagi mewakili kepentingannya sepanjang penyiasatan dan semasa perbicaraan mahkamah.

Peguam pemerhati harus meminta kebenaran daripada Hakim untuk mewakili mangsa dan untuk bersuara bagi pihak mangsa dan keluarganya semasa perbicaraan dijalankan. Tugas seorang peguam pemerhati termasuk:

• memohon perkembangan status kes;

• menerangkan situasi di mahkamah kepada mangsa dan keluarga mangsa;

• berhubung dengan Timbalan Pendakwa Raya bagi persediaan keperluan mangsa semasa menghadiri mahkamah;

• memaklumkan Timbalan Pendakwa Raya dan mahkamah apabila hak mangsa terjejas di dalam mahkamah, contohnya apabila pihak peguambela menanyakan soalan yang tidak munasabah atau secara kasar; dan

• membantu mengemukakan maklumat tentang penderitaan mangsa akibat jenayah tersebut, bagi tujuan pertimbangan hukuman yang dijatuhkan dan untuk permintaan pampasan yang sesuai diberikan.

Setiap kali membaca kenyataan saksi, Bibir Merah tidak henti menitiskan air mata. Terasa seperti hati ini dihiris-hiris, membayangkan jika perkara yang sama terjadi kepada anak sendiri. Apa pun, pada bulan Ramadan mulia ini ayuh kita doakan pernderitaan Bella terbela dan keadilan ditegakkan.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca