KES penderaan membabitkan seorang gadis kelainan upaya (OKU) dikenali adik Bella tular di laman media sosial baru-baru ini.

Remaja berusia 13 tahun yang dilahirkan sindrom Down itu didakwa didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kisah yang menyentuh hati itu menjadi perhatian rakyat Malaysia yang mana rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella sehingga mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di laman sosial.

Berdasarkan video dikongsikan pelakon Fizo Omar di Facebooknya, memaparkan Bella yang dipercayai berada di sebuah pusat kebajikan dalam keadaan menyedihkan apabila tangan, dada, leher dan paha dipercayai melecur.

Dalam video terbabit kedengaran seorang wanita bertanyakan punca badan Bella yang semakin kurus? namun, dijawab individu yang berada di lokasi berkenaan memberitahu bahawa Bella kurang makan.

Kemudian, wanita terbabit bertanya lagi situasi sebenar menimpa Bella, tetapi tiada jawapan yang kukuh.
Tidak terhenti di situ, wanita itu mempersoalkan mengapa tidak membawa Bella ke klinik ataupun hospital untuk mendapatkan rawatan memandangkan lukanya dikatakan semakin teruk?.

Individu terbabit menjelaskan, tidak pasti bila kali terakhir Bonda (dipercayai merujuk pada pengasas rumah kebajikan, Rumah Bonda) membawa Bella ke klinik. Menurutnya lagi, mereka hanya menyapu krim dan memberi ubat .

Difahamkan penderaan terhadap Bella sudah dilaporkan pada 24 Jun lalu dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, guru dan aktivis masyarakat, Mohd Fadli Salleh turut menceritakan mengenai gadis itu dan berkongsi sekeping foto ketika Bella masih sihat.

Beliau menjelaskan gadis istimewa itu dipercayai ditemui sekitar tujuh tahun lalu ketika berkeliaran seorang diri di Kuala Lumpur.

“Tanpa penjaga, tanpa sesiapa. Seorang diri berjalan di setiap lorong tanpa hala tuju. Ada pihak mendakwa adik Bella merupakan anak yatim piatu. Namun dakwaan tidak dapat disahkan secara rasmi dan tiada pihak tampil menuntut adik Bella.

“Bila kes ini dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak JKM ambil adik Bella dan ditempatkan di Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah (rumah under JKM) sampai dia berumur 12 tahun.

“Adik Bella kemudian dibawa ke Mahkamah Kanak Kanak untuk sambung perintah penjagaan kerana gembira dan bahagia tinggal di sana.

“Ada penjaga yang dia panggil abah dan mak. Memang abah dan mak serta staf di sana sangat mengasihi adik Bella,” tulis Fadli.

Katanya semasa berada di mahkamah, pengasas Rumah Bonda juga berada di sana untuk urusan hal mahkamah anak-anak lain.

Apabila melihat adik Bella, pengasas itu meminta hakim memberi peluang untuk menjaga Bella dan mendakwa, suka kanak-kanak sindrom Down.

Kata beliau, Bella kemudiannya dibawa menetap di Rumah Bonda antara Julai 2020 hingga hujung Oktober 2020 kerana dipercayai pengasas tersebut juga tinggal situ.

Menurut Fadli, penghuni rumah kebajikan berkenaan hanya bermesra dengan Bella lebih kurang empat bulan.

Beliau juga menceritakan bagaimana Bella tidak lagi menghuni di Rumah Bonda dan diambil sebelum melalui episod penderaan.

“Selepas itu adik Bella dibawa menetap bersama pengasas Rumah Bonda di kondominium miliknya. Maka, sukarelawan Rumah Bonda telah terputus hubungan dan tidak lagi mendengar sebarang berita tentang adik Bella.

“Sekitar bulan Februari atau Mac baru-baru ini, sukarelawan Rumah Bonda ada berjumpa dengan adik Bella di kondominium. Masa ni adik Bella belum ada kesan cedera secara fizikal.

Iklan

“Namun adik Bella memaklumkan tak nak tinggal dengan Bonda. Dia banyak berkurung dalam bilik dan tak gembira seperti duduk di Rumah Bonda.

“Sukarelawan Rumah Bonda berjumpa dengan pengasas rumah kebajikan berkenaan meminta menyerahkan adik Bella kepada JKM kerana dia tidak gembira tinggal di sana,” katanya.

Pengasas berkenaan difahamkan menolak dan meminta sukarelawan terbabit tidak masuk campur dalam urusan Bella.

Namun begitu, tembelang akhirnya pecah apabila wabak Covid-19 yang menjangkiti penghuni Rumah Bonda.

“Pada 23 Jun yang lalu semua penghuni Rumah Bonda termasuk anak-anak yang menetap di kondominium dikuarantin kerana Covid-19. Masa inilah semuanya terdedah.

“Luka adik Bella tidak dapat disorok daripada pengetahuan doktor dan sukarelawan di Rumah Bonda.

Iklan

“Di sinilah bermulanya kes adik Bella disyaki didera terbongkar. Namun masa tu, ia hanya diketahui beberapa pihak tidak secara meluas sehingga Puan Mona Din menularkan isu ini,” kongsi Fadli yang mengakui info yang dikongsikannya daripada sumber sahih.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberitahu, JKM telah melaksanakan intervensi menghentikan hak penjagaan kepada orang yang layak dan sesuai terhadap adik Bella yang kini di bawah jagaan JKM.

Pada 12 Julai 2021, Rumah Bonda dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai.

Pengarah JKM Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata, semua kanak-kanak itu diberi penempatan sewajarnya di bawah pusat kebajikan kendalian JKM.

Daripada enam kanak-kanak terbabit, hanya Bella mempunyai kesan penderaan.

Kisah menyentuh hati ini menjadi tular di media sosial. Semoga siasatan dijalankan dengan adil dan pesalah yang melakukan penderaan diberikan hukuman seadilnya.

Sumber: Fizo Omar, Mohd Fadli Salleh