Kontroversi santan: Benarkah ia sebabkan perut buncit, tingkatkan kolestrol dan picu penyakit kronik? Ini penjelasannya
RENDANG daging, ayam gulai, masak lodeh, ketupat palas, kari, lemang, kuah kacang dan banyak kuih-muih akan menggunakan santan untuk memicu rasa yang enak.
Semua juadah itulah yang biasanya tersedia di meja makan pada Hari Raya.
Kadang-kadang mereka yang sedang menjaga badan pun akan lupakan seketika soal diet lantaran makanan yang terhidang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja walau kaya dengan santan.
Selalunya juga, pola makanan seseorang yang mungkin sebelum ini sangat berdisiplin akan ‘berantakan‘.
Namun, kena ingat, makan secara berlebihan akan mendatangkan dampak buruk kepada kesihatan dan boleh menyebabkan penyakit jantung.
Masakan tidak, santan dikatakan berupaya meningkatkan kadar kolesterol tubuh dan berkumpulnya sarang lemak jahat.
Namun, benarkah santan mempengaruhi kolesterol kita secara langsung? Kepada Pakar Fisiologi Pemakanan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin beberapa persoalan dimajukan.
Sebelum membuka gelanggang diskusi, Dr Norsham Juliana menjelaskan, kalori bagi satu cawan santan kotak atau segar dalam anggaran 240 gram (g) adalah 552kcal.
Setiap cawan dianggarkan mengandungi 13g karbohidrat, 57g lemak, 5g protein, 5g serat, 38 miligram (mg) kalsium, 631mg kalium, 89mg magnesium, 4mg zat besi dan 7mg vitamin C.
“Sebelum saya menjawab dengan lebih lanjut soalan lain, ingin saya tekankan di sini bahawa kita hanya boleh mendapat sumber kolesterol dalam diet harian daripada (sumber) makanan berasaskan haiwan. Oleh itu, secara umumnya santan tidak mengandungi kolesterol.
“Bagaimanapun isu ini timbul kerana santan kelapa mengandungi lemak tepu yang lebih banyak berbanding sumber tumbuhan lain. Ciri unik inilah menimbulkan kontroversi tentang pengambilan santan dalam diet,“ terangnya.
Kawal porsi
Mengulas lanjut, Dr Norsham Juliana berkata, memandangkan kandungan lemak tepu yang tinggi dalam santan kelapa, pengambilan makanan yang kaya dengan santan boleh meningkatkan risiko kepada kesihatan.
“Ia boleh memberi kesan terhadap aras kolesterol tubuh manusia. Hal ini adalah kerana lemak tepu memang terkenal sebagai punca peningkatan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat dalam tubuh.
“Apabila aras LDL dalam darah meningkat, lemak jahat ini boleh melekat pada salur darah kita seterusnya meningkatkan risiko pembinaan plak pada salur darah yang mengakibatkan pelbagai masalah jantung,“ katanya.
Maka, saranan untuk kekal sihat adalah memastikan diet harian kita mengandungi kurang 10 peratus kalori daripada lemak tepu.
Oleh yang demikian, tidak kira sama ada seseorang mahu menikmati daging, ayam atau sebarang makanan, pastikan diet harian mengandungi tidak lebih 80 hingga 200 kalori daripada lemak tepu.
Mengenai menu seperti rendang, lontong, gulai ayam dan lain-lain, kata pakar berkenaan, jumlah porsi perlu bersesuaian bagi mengelak lemak tepu berlebihan.
Kiraan mudahnya, dalam sehari hadkan pengambilan tidak melebihi satu pertiga cawan dalam hidangan.
Adakah sayur-sayuran yang dimasak menggunakan santan seperti masak lodeh atau kobis masak lemak putih, khasiat sayurnya akan berkurangan dan boleh menyebabkan masalah perut buncit?
Menjawab pertanyaan itu, Dr Norsham Juliana menafikannya. Sebaliknya, ujar beliau, zat daripada sayur-sayuran berkurangan atau hilang adalah berpunca daripada teknik pemprosesan dan cara masakan tersebut disediakan.
“Antara sumber nutrien yang kita inginkan daripada sumber sayur-sayuran ialah vitamin dan mineral.
“Sayangnya, memasak dengan kepanasan tinggi dan terlalu lama boleh mengurangkan kandungan nutriennya. Sumber (nutrien) sangat sensitif terhadap suhu yang tinggi,“ ujarnya.
Menjawab pertanyaan tentang isu perut buncit atau disebut sebagai obesiti sentral, Dr Norsham Juliana berkata, ia disebabkan daripada pelbagai faktor pemakanan dan aktiviti fizikal individu.
“Bagi saya, adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap pengambilan santan semata-mata sebagai penyebab masalah tersebut.
“Kita perlu melihat isu perut buncit ini daripada skop yang lebih besar melibatkan makanan yang dimakan secara menyeluruh termasuk aktiviti harian yang dilakukan,“ katanya sambil menambah, orang ramai masih boleh menikmati keenakan dan khasiat santan tanpa meningkatkan risiko masalah kesihatan.
Bahan pengganti
Kepada satu soalan, Dr Norsham Juliana berkata, tindakan memanaskan kuah bersantan sebenarnya akan menggalakkan penghasilan minyak.
Minyak yang terhasil itu akan meningkatkan lagi lemak tepu dalam masakan.
“Oleh itu, cuba hindarkan daripada pemanasan yang lama dan berulang dalam makanan bersantan. Selain itu, pastikan pengambilan porsi yang sedikit bagi makanan bersantan yang dimasak lama dan mengandungi minyak daripada pemanasan santan tersebut,“ katanya.
Pakar itu menambah, jika diberi pilihan, santan segar akan menjadi opsyen terbaik kerana ia tidak dicampur dengan sebarang bahan pengawet berbanding di dalam kotak.
“Bagaimanapun, alternatif santan di dalam kotak banyak membantu individu yang mempunyai kekangan masa untuk memasak. Pada masa sama, boleh menggalakkan lebih ramai orang untuk menyediakan makanan sendiri di rumah.
“Pendekatan sebegitu amat digalakkan memandangkan kita boleh mengatur cara penyediaan yang lebih sihat dan menetapkan porsi yang terbaik untuk setiap hidangan,“ katanya memberi pendapat.
Pun demikian, seseorang yang alergi terhadap santan perlu mengelak makan makanan yang mengandungi bahan terbabit.
“Selain itu, nasihat saya, mereka yang mempunyai masalah kolesterol dan penyakit jantung juga diminta mengurang atau mengelakkan langsung makanan bersantan,“ ujarnya.
Apakah alternatif lain dalam bahan masakan dalam menggantikan santan? Beritahu Dr Norsham Juliana, selain susu lembu, orang ramai boleh menggunakan santan kelapa sawit, susu soya atau susu badam.
Sumber antioksidan
Dari satu sisi, terdapat manfaat santan segar untuk kesihatan manusia.
Kongsi Dr Norsham Juliana, terdapat pelbagai penulisan yang menekankan kebaikan asid laurik yang terdapat dalam santan.
“Antaranya, santan mempunyai kesan antibakteria seterusnya menjaga kesihatan sistem penghadaman seseorang.
“Makanan bersantan juga didapati boleh memberikan rasa kenyang yang lama kepada kita. Terdapat juga kajian menunjukkan penyedap masakan itu merupakan sumber antioksidan yang baik untuk tubuh,“ katanya.
Pun begitu, ungkap pakar berkenaan, sehingga ke hari ini, terdapat banyak pendebatan berdasarkan bukti saintifik tentang kebaikan dan bahaya santan terhadap kesihatan.
“Tidak kira apa pun hasil dapatan masing-masing, tidak dinafikan santan mempunyai khasiatnya tersendiri. Namun, bagi mengelak risiko kesihatan, kita perlu mengambilnya secara sederhana seperti saranan diet harian yang sihat,“ katanya.
Ya, sememangnya Aidilfitri memang menguji diet kita. Mustahil lauk-pauk yang barangkali muncul setahun sekali dibiarkan tanpa dijamah.
Apa pun nasihat Dr Norsham Juliana, beliau menyarankan agar semua pihak menyediakan hidangan lebaran secara sedar dan jaga limitasi terhadap makanan bersantan.
Seperti kata pakar berkenaan, tiada jalan pintas untuk sihat. Kita perlu bijak dalam memilih makanan dan mempunyai kekuatan diri untuk makan secara sihat dalam kuantiti yang sederhana.
“Selain itu, amalkan cara makan yang perlahan, ini bagi membantu minda kita menikmati makanan tersebut dan merangsang rasa kenyang yang cepat. Usah gelojoh dalam menikmati hidangan lebaran,“ katanya.
Santan boleh turunkan berat badan, tingkatkan sensitiviti insulin-Kajian
JIKA kita beranggapan santan boleh menggemukkan, berbeza pula dengan pandangan Medical News Today, sebuah laman perubatan yang menjadi rujukan pengamal perubatan.
Menurut sumber sahih itu, santan yang terhasil daripada sebiji kelapa itu boleh menggalakkan penurunan berat badan dan merendahkan kolesterol.
Selain itu, penyelidikan juga mendapati, ia juga baik untuk imuniti seseorang.
“Santan mengandungi sejenis lemak yang dipanggil trigliserida rantai sederhana (MCTs). MCTs merangsang tenaga melalui proses yang dipanggil thermogenesis atau pengeluaran haba.
Baca juga: Pastikan sukatan air, santan tepat, kuih punten akan cantik dan sempurna
Baca juga: Cara simpan lebihan santan kotak agar tak basi
Hasil penyelidikan mendapati, MCTs mungkin membantu dari beberapa aspek seperti:
Mengurangkan berat badan dan pengumpulan lemak.
Seseorang akan berasa kenyang lebih lama selepas makan.
Meningkatkan sensitiviti insulin yang mungkin menggalakkan penurunan berat badan. Insulin adalah hormon penting yang memecahkan glukosa dan mengawal paras gula dalam darah.
Meningkatkan daya tahan senaman.
Menurut Medical News Today lagi, penyelidikan pada tahun 2020 mendapati, ujian makmal terhadap tikus yang mengambil santan lebih berkemungkinan menurunkan berat badan dan lemak viseral berbanding dengan yang mengambil jenis susu lain serta kombinasi diet berbeza.
“Hasilnya juga mencadangkan bahawa menggabungkan santan dengan diet protein tinggi boleh membantu mengurangkan atau menguruskan tahap lemak perut, penambahan berat badan, pengambilan makanan, kolesterol dan trigliserida,“ kata sumber itu.
Bagaimanapun, banyak faktor yang boleh mempengaruhi berat badan seseorang, termasuk tahap aktiviti fizikal dan jumlah makanan yang dimakan.
“Seperkara, santan mengandungi lemak dan karbohidrat yang tinggi. Ini bermaksud pengambilan terlalu banyak boleh menyebabkan berat badan meningkat,“ ujar Medical News Today sambil menambah, lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai bagaimana santan boleh menyebabkan kegemukan.
Dalam pada itu, sumber berkenaan turut memberi panduan kepada orang ramai mengenai jenis santan yang perlu dibeli.
Kata mereka, sesetengah bahan tersebut mempunyai kandungan lemak dan kalori yang lebih tinggi daripada yang lain.
Ia sebenarnya bergantung kepada cara pengilang mengadun santan dan berapa banyak air yang telah ditambah.
Santan dalam tin biasanya mempunyai 'konsistensi' pekat seperti krim dan lebih tinggi lemak. Untuk kategori itu, biasanya suri rumah atau tukang masak menggunakannya untuk membakar atau memasak.
“Ada santan yang tidak terlalu pekat dan mempunyai ‘konsistensi‘ seperti susu tenusu yang lain. Simpan di dalam peti sejuk dan perhatikan tarikh luputnya. Selain itu, sesetengah jenama menambah gula, jadi anda kena semak label sebelum membeli.
"Kena berhati-hati, pastikan tiada gula tambahan atau pun pengawet dan ejen pemekat tiruan lain,“ kata sumber itu.
Layari portalSinarPlusuntuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami diTwitter,Instagram,YouTube&Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kamiDI SINIuntuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang