Paduan nasi ambeng dan rebung madu masak lemak cili padi memang wow! Itu sebab Nasi Ambeng D'Rebung tak putus dengan pelanggan
KEBUN buluh rebung madu seluas 0.8 hektar yang terletak di Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor pada asalnya mahu dibangunkan untuk tujuan komersial.
Pun demikian, kata Shafie Idris, 46, pelan cadangan itu berubah.
Beliau akhirnya membangunkan lokasi tersebut menjadi sebuah restoran yang dinamakan Nasi Ambeng D'Rebung.
Keputusan berkenaan langsung tidak dikesali kerana populariti premis usahawan itu mencanak naik dan menjadi tumpuan kepada kaki media sosial yang suka mencipta kandungan viral.
Apa yang SinarPlus boleh katakan, suasana restoran yang santai dan dikelilingi alam semula jadi, ditambah stail makan secara bersila dengan hidangan set dulang membuatkan para pelanggan seperti berada di rumah.
Mengulas mengenai kelebihan sajian signatur mereka, nasi ambeng, Shafie berkata, beliau memiliki adunan resipi tersendiri.
“Elemen yang membezakan nasi ambeng kami dengan premis lain adalah gabungan lauk paling laris iaitu rebung madu masak lemak cili padi. Rasanya yang pedas dan berlemak memang mengiurkan. Lagi satu, rebung madu kami memang manis, lembut dan tidak gatal.
“Tidak ketinggalan, ayam masak ungkep yang direneh selama sejam juga menjadi pilihan utama. Rempah-ratus asli selain kuah ungkep yang tidak terlalu pekat dan cair memang kena dengan selera pelanggan kami tak mengira usia,” ujarnya yang turut menyediakan lauk-pauk seperti sambal Jawa versi pedas, serunding kelapa, ikan masin dan mi tumis.
Shafie menambah, hidangan sampingan lain yang wajib dicuba ialah sambal taun kulit lembu, pecal Jawa, begedil dan rempeyek kacang tanah.
“Buat mereka yang mahukan pilihan makanan lain, kami juga menyediakan mi rebus Jawa dan mi kari,” katanya yang memberitahu semua masakan tersebut merupakan air tangan ibunya, Misriah Natijo, 65.
Nasi Ambeng D'Rebung turut membuka premisnya untuk orang ramai mengajak seisi keluarga bersarapan pagi pada hujung minggu.
Antara menu yang menanti anda semua ialah lempeng, ubi rebus, nasi lemak dan bubur. Sambil menjamu selera, pelanggan akan ditemani dendangan lagu klasik daripada kumpulan buskers tempatan.
Pada hari tertentu, Nasi Ambeng D’Rebung juga menyajikan satu hidangan yang dinamakan Nasi Bacaan.
Menu itu lazimnya dijadikan juadah istimewa untuk meraikan tetamu pada majlis kenduri atau kesyukuran.
Ujar Shafie, Nasi Bacaan persis nasi ambeng, namun pengisian lauk agak berbeza kerana dilengkapi ayam goreng, ikan masin dan telur rebus.
Sajian itu dikatakan boleh membuatkan orang ramai lebih berselera kerana dihidangkan bersama dengan sayur urap atau keluban yang terdiri daripada campuran taugeh, pucuk paku, daun meranti dan timun.
Kemudian, ia akan digaul rapi dengan kelapa parut serta daun cekur.
“Kepada yang merancang untuk anjurkan apa jua majlis keraian, jangan lepaskan peluang untuk menikmati Nasi Bacaan yang jarang-jarang jumpa sekarang ini,” sarannya.
Nasi Ambeng D’Rebung
Alamat: Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor
Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang (Isnin dan Selasa tutup) dan 8.30 pagi hingga 5 petang (hujung minggu)
Pakej: Bermula RM6 hingga RM47
Facebook: Nasi Ambeng D’Rebung
Instagram: @drebung.banghuris
#jomsinggah
NASI ambeng yang merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Jawa mempunyai peminat tersendiri.
Menariknya, sebilangan masyarakat daripada keturunan Tionghua dan India amat menggemarinya.
SinarPlus senaraikan beberapa lokasi yang menyajikan makanan itu yang pastinya membuatkan anda bertandang lebih daripada sekali.
Nasi Ambeng Tersohor Wardas
Alamat: Penghantaran sekitar Selangor dan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Tempahan sehari awal sebelum jam 6 petang
Harga: Bermula RM13 hingga RM35
Instagram: @wardas.homecooking
Original Nasi Ambeng Kampung Melayu
Alamat: No 41 B, Jalan Merdeka, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 4.30 petang
Harga: Bermula RM14.50
Facebook: Original Nasi Ambeng Kampung Melayu
Instagram: @onakm1991
Nasi Ambeng Warung Ibu
Alamat: Jalan Kampung Teluk Piai-Kampung Permatang, Kampung Ujong Permatang, Kuala Selangor, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi hingga 4 petang
Harga: Bermula RM12
Facebook: Warung IBU
Baca juga Nasi ambang enak di Warung Ketupat Air Tangan Ibu, lebih 50 lauk buat ramai rambang mata!
Nasi Ambeng Kayangan
Alamat: Penghantaran sekitar Selangor dan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Tempahan sehari awal
Harga: Bermula RM15
Instagram: @nasiambengkayangan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang