'Abah sempat tunaikan hajat, saya anak perempuan terakhir...' Sempat jadi wali pernikahan, tak sampai 24 jam bapa pergi selamanya
TIDAK sampai 24 jam melangkah ke alam rumah tangga, wanita terpaksa menerima kenyataan duka kehilangan insan tersayang.
Menerusi video yang tular di laman sosial, Nor Hanisah Ali, 27, berkongsi tragedi pilu dihadapinya menerusi sebuah hantaran di platform TikTok.
Selamat bernikah pada 31 Januari, bapanya, Ali Hassan, 60, rebah selepas ijab kabul dan kembali ke rahmatullah pada petang keesokannya.
"Majlis sanding diteruskan dalam keadaan yang sayu, bersanding dengan air mata yang sentiasa nak jatuh.
"Abah sempat tunaikan hajat dan janji abah nikahkan semua anak perempuan abah. Kakak yang terakhir. Al-Fatihah abah, kakak sayang abah dunia akhirat," titipnya menerusi video berdurasi 27 saat.
Video yang meraih 250,000 tontonan itu memaparkan Allahyarham segak berbaju Melayu ungu menjadi wali pernikahan upacara akad nikah.
Memetik laporan mStar, Hanisah mendedahkan bapanya disahkan menghidap penyakit jantung sejak dua tahun lalu.
“Arwah ayah memang tidak sihat seminggu sebelum majlis akad nikah. Dia cuma demam dan klinik minta dia refer ke hospital, namun arwah tidak mahu. Dia cakap, tunggu majlis selesai.
“Saya selesai akad nikah pukul 2.15 petang, hari Jumaat. Arwah rebah lepas akad.
"Balik rumah, dia terbaring sesak nafas. Kemudian kami bawanya ke Hospital Jasin, Melaka.
“Doktor suruh pilih nak tidurkan atau tidak, risikonya sama. Pagi (Sabtu) sekitar pukul 5, hospital hubungi kami dan beritahu keadaan ayah kritikal,” kongsi Hanisah.
Lebih memilukan, kongsi Hanisah majlis resepsi pada Sabtu tetap diteruskan demi memenuhi permintaan terakhir Allahyarham.
Majlis berkenaan diteruskan tanpa alunan muzik dan kompang.
“Arwah meninggal pukul 6.10 pagi dan selesai dikebumikan pukul 10 pagi. Majlis (kenduri) berlangsung pada pukul 11 pagi dan diteruskan macam biasa tanpa muzik serta kompang. Sunyi.
“Saya tiada di lokasi (pengebumian) kerana perlu bersiap untuk teruskan bersanding dan memikirkan ini merupakan permintaan terakhir arwah. Selesai bersanding baru ke kubur.
“Majlis sanding diteruskan dalam keadaan yang sayu, bersanding dengan air mata yang sentiasa nak jatuh,”kongsinya.
Pun begitu, wanita itu tabah dan cekal meneruskan majlis. Hanisah mengakui kekuatan itu adalah hasil sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Warga maya tidak putus-putus memberikan semangat agar beliau terus kuat menghadapi kehilangan di saat.
"Tak semua orang mampu berada di situasi Nisa. ALLAH memilih Nisa kerana DIA tahu Nisa boleh menghadapinya. Tabah dan bersabarlah dengan pencaturan-NYA kerana ia yang terbaik."
"Arwah sudah serahkan awak kepada suami, dia pun tinggalkan awak. Tanggungjawabnya sudah selesai."
"Sabar banyak-banyak ya dik. Situasi kita sama, kakak kehilangan arwah ayah tahun 26 November 2021. Tarikh keramat dua situasi. Ulang tahun pernikahan dan tarikh kehilangan ayah"
"Semua ALLAH susun dengan cantik, DIA ambil abah dan gantikan cinta hati yang baru buat Nisah. Terus kuat ya."
"Arwah benar-benar pergi selepas serahkan awak kepada penjaga lain sebelum pergi."
Takziah buat Nor Hanisah dan keluarga, semoga roh bapa tersayang dicucuri rahmat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang