Persis perkampungan zaman dulu kala, Kampung Adat Melayu Seri Banian tular. Ini sebab-sebabnya
SELAIN terkenal dengan keindahan Langkawi, Kedah mempunyai cukup banyak destinasi jalan-jalan yang unik.
Antaranya di Kampung Adat Melayu Seri Banian yang terletak di Kampung Bendang Bukit, Pendang.
Sarat dengan seni bina bercirikan rumah tradisional Melayu purba, ia juga boleh diibaratkan sebagai pintu gerbang untuk menerobos ke zaman silam.
Perkampungan persis set penggambaran filem tempatan terkenal, Magika memang kelihatan 'hidup' apabila 'para pelakonnya' berjaya membawakan watak dengan baik.
Mereka antara lain memakai tanjak dan berbaju Melayu Kedah, sementara si gadis pula cantik menggayakan busana tradisional.
Bercerita mengenai desa penuh magis itu, pemiliknya, Dil Akbar Jaafar atau Aki berkata, pengunjung bukan sahaja boleh melihat sebuah perkampungan Melayu Nusantara, tetapi lebih daripada itu.
“Di sini kami cuba untuk memperkenalkan seni, adat dan budaya suku kaum terdahulu seperti Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau dan lain-lain yang boleh dikatakan semakin pupus ditelan waktu.
“Kami juga membina Rumah Adat Kedah, Perak, Thailand dan Sunda yang diperbuat daripada kayu meranti dan buluh sebagai tatapan generasi muda,” katanya yang membangunkan kampung tersebut bersama adiknya, Syahmi Mohd Abdul Kahar, 30.
Baca juga Perkampungan kontena viral Solesor Kampong Beach Resort, lengkap pertunjukan api tepi pantai
Menurut jurusilat berusia 42 tahun itu lagi, idea mewujudkan Kampung Adat Melayu Seri Banian tercetus selepas gelanggang silat dan tempat riadah yang dibangunkan di tanah sendiri seluas 1.2 hektar tersebut viral di media sosial.
“Ketika itu, tapak gelanggang kami menjadi tumpuan. Melihat sambutan yang menggalakkan, kami pun wujudkan sebuah desa terasing demi memartabatkan semula adat dan budaya Melayu,” katanya.
Sebagai tambah nilai, para pengunjung turut diberi kesempatan untuk menyewa persalinan busana tradisional lengkap dengan aksesori unik di sana.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengasah skil memanah dengan bayaran RM1 atau menunggang kuda (RM5).
Tambah Aki, pihaknya juga merancang untuk menambah 12 lagi rumah klasik bertemakan kisah dongeng Melayu seperti Badang, Bawang Putih Bawang Merah, Raja Bersiong dan banyak lagi pada masa akan datang.
Baca juga Seolah-olah berada di perkampungan Inggeris. Sixty Nine Avenue Residence jadi tumpuan ramai
Seperkara, orang ramai yang berkunjung ke destinasi tersebut tidak perlu pening memikirkan soal makanan.
Ini kerana pelbagai sajian seperti Sate Ante Berahi, Ayam Panggang Sembah Diraja, Ikan Siakap Masak Lara Sutra dan Rendang Seri Kanasih Fatma disediakan.
“Setiap menu mempunyai sejarahnya sendiri. Ada di antaranya adalah gabungan resipi asli Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Baca juga Rasai kehangatan aura Lord Of The Rings dengan menginap di Humble Hobbit Home Kundasang
“Jika berkunjung ke sini, jangan lupa juga untuk mencuba kuih lagenda Ang Phidra yang bermaksud perempuan dari langit dan kuih Tirana Baiduri yang warna-warni,” ujarnya memasang impian untuk menjadikan Kampung Adat Melayu Seri Banian setanding taman tema Disneyland.
#rekreasipilihan
Kelainan yang ditonjolkan Kampung Adat Melayu Seri Banian di Kedah memang membuatkan ramai teruja.
Masakan tidak, pengunjung boleh merasai kedamaian desa yang masih mengekalkan aura Melayu Nusantara yang semakin pupus ditelan zaman.
Boleh jadi, konsep percutian unik tersebut menjadi inspirasi buat pengusaha lain untuk terus memartabatkan kehebatan seni dan budaya negara yang terkenal dengan kepelbagaian etnik.
Berikut empat lagi destinasi rekreasi pilihan yang boleh disinggah jika kalian berada di kawasan berhampiran:
Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu
Alamat: Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak
Harga: Caj berkuda bermula RM10
Aktiviti: Persembahan kebudayaan, bengkel tanjak, berkuda dan memanah
Facebook: Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu
Kampung Budaya Terengganu
Alamat: Muzium Negeri Terengganu, Kampung Bukit Losong, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
Harga: Caj masuk RM5 (dewasa) dan RM2 (kanak-kanak 8 hingga12 tahun)
Facebook: Kampung Budaya Terengganu
Instagram: @terengganuculturalvillage
Monsopiad Heritage Village
Alamat: Kampung Kuai Kandazon, Jalan Ramayah Putatan, Penampang, Sabah
Waktu operasi: 9 pagi hingga 4 petang (Selasa tutup)
Harga: Bergantung kepada promosi semasa
Facebook: Monsopiad Heritage Village
Instagram: @monsioiad
Kampung Budaya Sarawak
Alamat: Pantai Damai, Santubong, Sarawak
Waktu operasi: 9 pagi hingga 5 petang
Harga: Caj masuk RM60 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak)
Facebook: Sarawak Cultural Village
Instagram: @SarawakCulturalVillageOFFICIAL
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang