NAMA saja duduk di rumah, tetapi langsung tak ambil ‘pusing’ tentang jiran sebelah. Sepatutnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lebih cakna.

Jika hari biasa, bolehlah dimaafkan kalau kita mungkin tidak bertegur sapa atau langsung tidak kenal mereka kerana kekangan waktu bekerja.

Namun begitu, andai kata waktu sekarang pun kita masih beralasan tidak kenal dengan jiran masing-masing, memang pelik bunyinya!

Apabila duduk di rumah, paling tidak pun mesti terdengar pintu rumah jiran dibuka, vakum membersihkan kediaman mereka dan sebagainya. Itu pun jika duduk di rumah yang dekat-dekat seperti flat, apartmen dan kawasan perumahan.

Kalau duduk di kawasan kejiranan yang jauh, itu cerita lain.

Walaupun ‘berkurung’ di rumah untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19, kita masih perlu menitikberatkan adab-adab berjiran.

Islam kan begitu mementingkan hubungan yang baik sesama manusia. Ia termasuklah dengan jiran tetangga tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang mereka.

Ia sebagaimana Firman ALLAH SWT: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Dalam tempoh PKP ini, jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita selepas ahli keluarga di dalam rumah.

Iklan

Justeru, kita sama-sama saling memerlukan antara satu sama lain khususnya apabila berada dalam kesusahan atu berlaku kecemasan.

Dengan mengambil kira penjarakan sosial untuk membanteras wabak Covid-19, adab-adab berjiran yang baik masih boleh dibuat antaranya:

1. Saling bertegur sapa dan tolong-menolong dengan mengamalkan penjarakan sosial.

2. Pelihara hak-hak berjiran seperti berlapang dada dan bertolak ansur dengan mereka.

3. Mengambil berat tentang jiran sama ada ketika sihat atau sakit, gembira atau sedih, kenyang atau lapar, ketika mereka berada di rumah atau tiada. Ia tetap perlu ditunaikan dengan sebaiknya.

4. Jauhilah sikap buruk sangka, iri hati, dengki, fitnah dan sebagainya.

Adab berjiran
DENGAN mengambil kira penjarakan sosial dan memakai topeng muka, kita masih boleh bertegur sapa dengan jiran. -Gambar hiasan

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mereneh sup, banyakkan kuahnya, kemudian perhatikanlah (jumlah) ahli keluarga dalam kalangan jiranmu dan berikanlah sebahagiannya kepada mereka dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Lagi satu, janganlah sakiti hati jiran kita dengan tindak-tanduk yang kita lakukan di rumah contohnya pasang televisyen dengan kuat hingga mengganggu ketenteraman jiran sebelah.

Iklan

Nampak macam remeh, tetapi ketahuilah bahawa perbuatan memuliakan jiran, berbuat baik dan tidak menyakiti perasaan mereka adalah lambang kesempurnaan iman.

(Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ustaz Abd Razak Muthalib)

Foto: Sumber internet