Oleh: NURULFATIHA MUAH

CERITA tentang hantu dan roh orang jahat memang tidak lari daripada radar perbualan masyarakat.

Apatah lagi, kawasan perkuburan sering menjadi tempat laluan utama penduduk di kawasan setempat.

Apabila begitu situasinya, memang sukar untuk kita elak daripada berbicara mengenainya.

Kemudian, mulalah timbul cerita orang itu ‘diganggu’ ketika melalui kawasan perkuburan terutama pada waktu tengah-tengah malam.

Tidak kurang pula yang mengaitkan perihal itu dengan roh jahat yang berkeliaran akibat tidak diterima oleh bumi. Benarkah pernyataan itu?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Azhar Idrus menjelaskan, tidak disebut secara jelas perihal tentang roh yang merayau-rayau akibat tidak diterima oleh bumi sama ada ia melibatkan orang Islam atau kafir.

“Cuma yang disebut dalam hadis itu adalah roh orang beriman akan dinaikkan ke langit.

“Dalam satu lagi hadis berkaitan roh yang jahat, para ulama ada berbeza pendapat mengenainya. Ada pendapat menyatakan, ia hanya melibatkan roh orang kafir yang tidak dibenarkan naik ke langit.

“Malah, ada juga ulama yang berpendapat, roh jahat itu termasuklah orang Islam yang banyak melakukan kejahatan.

“Maka, para ulama bersepakat, kedua-dua roh berkenaan tidak boleh naik ke langit,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram @serantaumuslim.

Di manakah roh berkenaan ‘duduk’ jika tidak dapat naik ke langit?

Ujar Azhar Idrus, terdapat tiga tempat roh berkenaan ‘duduk’ sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih.

Tempat berkenaan termasuklah di bumi (ada pendapat yang menyatakan di dalam kubur), telaga Barhut (di Yemen) dan duduk di dalam lubang pada bumi.

Iklan

“Tiada tafsiran hakikat mana satu yang detil. Justeru, kita perlu beriman dengan perkara ini.

“Begitupun, tanggapan yang menyatakan roh balik rumah atau jadi zombie, ja tidak boleh diterima sama sekali. Itu tidak sahih,” tegasnya.

Seandainya kita melihat sesuatu di tanah perkuburan, tegas Azhar Idrus, ia merupakan roh dan bukannya hantu.

“Andai ia melibatkan kubur milik orang Islam, segelintir ulama menyatakan bahawa ua adalah roh orang Islam yang jahat kelakuannya hingga tidak naik ke langit. Contohnya, roh orang bunuh diri, dosanya sangat besar dan roh orang yang tidak pernah menunaikan solat, tidak suka agama dan seumpamanya.

Iklan

“Ingatlah, apa yang ada di kubur bukanlah syaitan, tetapi roh. Jika kita lalu di kawasan berkenaan, nampak (kelibat) atau dengar suara orang menangis, jangan lari. Itu adalah roh, biarkan dia menangis,” ujarnya.

Andai kata, kita berada di luar rumah ketika waktu Maghrib, ujar beliau, itu adalah kerja syaitan kerana itu waktu mereka berkeliaran.

“Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita membawa anak-anak masuk ke rumah sebelum Maghrib kerana syaitan berkeliaran pada waktu berkenaan.

“Seperkara lagi, jangan lupa untuk membaca bismillah apabila masuk ke dalam tandas. Ia supaya aurat kita terpelihara daripada pandangan syaitan ketika sedang membuang air kecil atau besar,” nasihat beliau.Sumber: Instagram @serantaumuslim