BERSIKAP jujur merupakan amalan terpuji. Ia adalah antara empat sifat Nabi Muhammad SAW yang perlu dicontohi.

Namun begitu, bukan mudah untuk bersikap jujur. Masakan tidak, mulut yang berbicara kadangkala tidak seiring dengan apa yang tersirat dalam hati.

Apatah lagi, jika kita berada dalam situasi terhimpit. Risau benar andai kejujuran tadi akan memusnahkan sebuah hubungan kekeluargaan atau persahabatan yang terjalin.

Maka, segala kepahitan akan ditelan dalam hati. Itu belum lagi andai diri sendiri yang tersepit akibat melakukan suatu kesalahan.

Untuk menutup kesilapan itu, sikap jujur terpaksa diketepikan. Malah, pelbagai helah baharu terpaksa dicipta. Semuanya demi melepaskan diri daripada hukuman dunia.

Ketahuilah, sifat jujur sebenarnya mengikur tahap keimanan seseorang. Demikian tegas pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sampai hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” (Riwayat al-Hakim)

Jelas Habib Ali Zaenal Abidin, seandainya ada keinginan kita yang bertentangan dengan syariat Islam, kita perlu mengutamakan ajaran baginda SAW terlebih dahulu. Ia termasuklah dalam hal hukuman jika seseorang itu berlaku jujur terhadap perbuatan salahnya.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan), maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

Jujur
BERLAKU jujurlah dalam setiap perkara dan urusan yang dilakukan.

Beliau turut menceritakan kisah tiga orang sahabat Rasulullah SAW yang bersikap jujur tidak mengikuti Perang Tabuk. Ia sebagaimana disebutkan dalam kalam ALLAH pada ayat 81, Surah al-Taubah.

(Artikel berkaitan: Tak guna buat baik kalau ada sifat hasad dengki)

“Diceritakan bahawa ada tiga orang sahabat yang tidak ikut berperang bersama Rasulullah SAW, lalu baginda bertanyakan siapa yang tidak ikut berperang.

“Maka, datanglah tiga orang sahabat ini mengaku dan ketika ditanya sebabnya, mereka berterus terang bahawa tiada keuzuran pun yang menyebabkan mereka berbuat demikian.

“Baginda bersabda: ‘Tunggu, nanti hukuman akan datang’,” cerita beliau.

Selepas ketiga-tiga sahabat keluar, mereka dihampiri orang di sekeliling yang tidak bersetuju dengan jawapan dikemukakan oleh para sahabat tadi kerana terlalu jujur, terang beliau.

Iklan

“Mereka mempersoalkan kenapa tiga sahabat tadi tidak memberikan alasan uzur kepada baginda.

“Namun, ketiga-ketiga mereka berkata: ‘Jika kami tipu nabi, ALLAH pun akan tahu bahawa memang kami menipu’,” cerita beliau.

Habib Ali Zaenal Abidin menambah, ketiga-tiga sahabat tadi kemudian dipulaukan. Ahli keluarga masing-masing juga dipindahkan ke rumah lain.

“Tinggallah mereka berseorangan di rumah masing-masing. Tidak ada orang bercakap dengan mereka pun selama hampir dua bulan lamanya.

“Lalu, turunlah ayat 118, Surah al-Taubah bahawa ALLAH SWT mengampunkan dan menerima taubat tiga sahabat tadi termasuk Ka’ab bin Malik kerana sikap jujur mereka mengaku kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Jujur
JIKA ada kesilapan, kejujuran itu penting dan mohonlah kemaafan walaupun barangkali terpaksa berdepan dengan hukuman.

Berdasarkan kisah berkenaan, ujar Habib Ali Zaenal Abidin, jelaslah bahawa biarpun kejujuran itu pahit untuk ditelan dan diperjuangkan, namun ALLAH tetap MAHA PENGAMPUN.

“Orang yang berpegang kepada kejujuran dan kebenaran walaupun menerima hukuman daripada Rasulullah, tetapi ALLAH puji mereka bertiga,” jelasnya.

Iklan

Sesungguhnya, keampunan menjadi milik mereka walaupun terpaksa berdepan dengan hukuman.

Justeru, berlaku jujurlah lebih-lebih lagi jika kita melakukan kesalahan. Meskipun kita bakal berdepan dengan tindakan, itu lebih baik berbanding hukuman akhirat yang pastinya lebih berat.

Sumber: Instagram habibalizaenalalhamid

Foto: Freepik