“ISH, tak boleh jadi ni. Jiran sebelah ada beli kereta baru. Kita pun kena beli juga, abang. Saya nak kereta kita lagi besar dan mewah daripada dia.”

Selalu kita dengar ungkapan ayat itu ketika menonton drama di televisyen. Dengan jiran sendiri pun nak dengki. Pantang tengok orang lain senang. Hakikatnya, ia juga berlaku dalam dunia secara realitinya.

Memang kita rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Ada orang jenis memang tak boleh tengok orang lain hidup senang. Kalau nampak orang lain lebih sikit daripadanya, mulalah hati mendongkol geram tak puas hati.

Mereka rasa terancam setiap kali melihat keistimewaan dan kelebihan yang dinikmati oleh orang lain.

Dalam benaknya, penuh dengan firasat jahat. Sentiasa mencongak strategi dan mencari jalan bagaimana untuk menjatuhkan orang yang lebih daripadanya. Senang kata, individu yang memiliki sifat sedemikian mempunyai perasaan hasad dengki yang membuak-buak.

Berhati-hatilah andai dalam hati kita bersemayam segala jenis rasa yang menjelikkan itu. Ketahuilah bahawa hasad dengki merupakan sifat yang paling tercela di sisi agama. Ia boleh menjerumuskan pelakunya kepada perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Bahananya sangat dahsyat kerana ALLAH SWT membalasnya bukan sahaja di akhirat kelak, tetapi di dunia juga pelakunya akan merasai balasannya.

Kenapa hasad dengki dianggap sebagai akhlak tercela dalam Islam? Apakah natijahnya andai sifat itu bersarang dalam diri seorang Muslim?

Sifat tertua di dunia

Pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat menjelaskan, hasad dengki adalah sifat tertua di dunia. Ia bermula sejak iblis dan syaitan menolak untuk sujud kepada Nabi Adam AS apabila diperintahkan ALLAH kerana merasakan mereka ‘lebih mulia’.

USTAZAH NOURUL IMAN

Menyingkap semula peristiwa itu, ia memberikan kesan kepada kita pada hari ini, terang beliau. Impaknya bukan sahaja kepada orang mukmin, tetapi seluruh umat manusia. Sifat mazmumah itu akan merosakkan seluruh sistem tubuh badan manusia yang asalnya dilahirkan sebagai fitrah.

“Ia juga akan merosakkan sistem rohani dalam diri dan jiwanya, seterusnya merebak kepada jasad. Hasad dengki inilah penyakit rohani yang paling berbahaya.

“Ini kerana pelakunya akan mendapat kemurkaan ALLAH di dunia dan di akhirat, menghapuskan kebaikan-kebaikan si pelaku dan paling parah, ia menutup pintu hatinya daripada menerima sebarang bentuk nasihat serta menerima nur (cahaya) daripada ALLAH. Kesannya, hati si pelaku tadi menjadi keras,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang menjadi akar semua dosa. Jagalah dirimu dan waspadalah terhadap ketiganya. Waspadalah terhadap kesombongan, sebab dengan kesombongan telah menjadikan iblis menolak untuk sujud kepada Adam. Waspadalah terhadap kerakusan sebab kerakusan telah menyebabkan Adam memakan buah dari pohon yang terlarang. Dan jagalah dirimu dari (hasad) dengki sebab dengki telah menyebabkan salah seorang anak Adam membunuh saudaranya.” (Riwayat Ibnu Asakir)

Justeru, Ustazah Nourul Iman berpesan agar kita mengambil iktibar daripada peristiwa iblis dan Nabi Adam AS. Iblis telah berjanji untuk mengganggu anak Adam hingga hari akhirat.

Kepada satu soalan, beliau berkata, hasad dengki dan ghibtah adalah dua perkara berbeza. Hasad dengki terarah kepada keinginan dan perbuatan seseorang untuk mendapatkan nikmat sama dengan pelbagai cara. Pada masa sama, dia hendak individu yang didengkinya ‘jatuh’ serta ditarik nikmatnya.

Ghibtah pula kita hendak dapatkan nikmat yang sama, tetapi tidaklah sampai berfikir mahu nikmat orang lain ditarik semula. Justeru, kalau kita hendak mencapai suatu kejayaan itu, gunakan cara yang dibenarkan syarak,” katanya sambil berpesan supaya melazimi Surah al-Falaq agar dihindarkan daripada sifat tercela berkenaan.

(Artikel berkaitan: Perasan hebat, lupa diri tujuan hidup di dunia ni, tunggulah balasan Tuhan!)

Iklan

Menelan kebaikan

Benarkah sifat hasad dengki menghapuskan kebaikan pelakunya? Jawab pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz, perkara itu jelas disebutkan dalam hadis.

USTAZ HASSAN MAHMUD

Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad akan menghapuskan kebaikan sepertimana api menghanguskan kayu bakar.” (Riwayat Abu Dawud)

Berdasarkan hadis itu, agamawan tersebut mengingatkan agar umat Islam menjauhi penyakit rohani itu kerana amat merugikan diri. Bayangkan sebaik manapun kita, segala kebaikan yang dilakukan tadi akan ditelan begitu sahaja.

“Contohnya, katalah orang itu solat tapi pada masa sama dia ada perasaan hasad dengki, buat fitnah dan seumpamanya, bermakna kebaikan yang dibuat seperti puasa, solat dan zakat semuanya akan hilang menjadi debu-debu berterbangan,” jelas beliau.

Ustaz Hassan Mahmud menambah, lawan kepada hasad dengki adalah mahmudah (sifat terpuji). Penyakit itu disebabkan oleh kurangnya iman dan kurang yakin kepada diri sendiri.

“Jika (hasad dengki) berlaku dalam keluarga, boleh bercerai-berai. Andai terjadi dalam masyarakat, boleh bergaduh. Begitu juga kalau dalam negara, boleh ‘terbakar’ sesebuah negara itu dengan peperangan dan seumpamanya.

Iklan

“Justeru, ia perlu dirawat dengan sifat qanaah iaitu memadai dengan apa yang kita ada. Bersyukurlah dan reda dengan apa yang ALLAH bagi. Tengoklah diri sendiri, banyak kelebihan diri (yang kita tak nampak sebelum ini). Mungkin jiran kita berkereta besar, tapi kita pula ada keluarga yang besar, bersyukurlah dengan nikmat ini,” nasihat beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Justeru, jangan sesekali kita tunduk dengan hasutan iblis dan syaitan yang sentiasa cuba memesongkan kita dari jalan yang lurus. Andai tersasar, masih ada waktu lagi untuk kita bertaubat dan memperbaiki diri.

Namun, jika kita sudah masuk ‘perangkap’ hasad dengki ini, sia-sialah amal kebaikan kita selama ini hangus begitu sahaja. Bayangkan lelah mengumpul saham akhirat selama ini akhirnya tidak boleh dihitung hanya kerana diri terkena ‘virus’ sifat paling tercela di sisi agama itu.

ANEKDOT

Penangkal bahaya hasad dengki menurut Ibn Qayyim

– Memohon perlindungan ALLAH SWT dengan membaca Surah al-Falaq sebelum tidur.
– Bertakwa kepada-NYA dengan melaksanakan semua perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-NYA.
– Bersabar ketika menghadapi si pendengki dan tidak mengeluh.
– Bertawakal kepada ALLAH.
– Kosongkan hati dan fikiran daripada sifat dengki.

(Sumber: republika.co.id)