Bukan suka-suka tak boleh makan guna tangan kiri, tapi ada sebabnya

Tak boleh makan tangan kiri
May 14, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEJAK kecil lagi, kita diajar untuk makan dengan tangan kanan. Sekalipun seseorang itu kidal, tapi dia tetap makan guna tangan kanan.

Jarang sekali kita tengok orang makan dengan tangan kiri kecuali tangannya sakit atau luka.


Orang kata tak elok dan tak sopan bila kita makan dengan tangan kiri. Apa tidaknya, tangan kiri itu kan ‘tangan cebok’.

Hakikatnya, ia bukan setakat ‘kata-kata orang’ saja. Tapi Islam sendiri menganjurkan umatnya supaya mendahulukan bahagian kanan berbanding yang kiri dalam urusan seharian yang melibatkan perkara kebaikan.

Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.” (Sahih Bukhari)

Majoriti ulama berpandangan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunat, manakala makruh jika menggunakan tangan kiri kerana keuzuran yang menghalang kita guna tangan kanan seperti sakit atau luka.

Iklan

Sabda baginda SAW: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.” (Sahih Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Imam al-Nawawi berpandangan, makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram.

Pada masa sama, beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/190-191)

Iklan

Bagaimanapun, jika kita sengaja berserta niat makan dan minum menggunakan tangan kiri untuk memperlekehkan sunah Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam, ia jatuh hukum haram.

Macam mana pula jika kita makan guna sudu dan garfu untuk hidangan tertentu yang memerlukan kedua-dua tangan ketika makan?

Dalam kes ini, penggunaan kedua-dua belah tangan tidak diharamkan.

Namun begitu, seboleh-bolehnya kita perlu berusaha untuk menyuap makanan dan minuman dengan tangan kanan pada setiap keadaan.

Perbuatan itu bukan sekadar beramal dengan sunah Rasulullah SAW.

Tapi kita menjauhkan diri daripada mengikuti syaitan yang jelas makan dengan tangan kiri.

Bukan itu sahaja, ada satu hadis yang mana Nabi Muhammad SAW mendoakan keburukan terhadap orang yang makan dengan tangan kiri.

Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab: “Aku tidak mampu.” Baginda bersabda: “Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.” Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya. (Sahih Muslim)

Kata Imam al-Nawawi, doa nabi itu adalah kerana perbuatan lelaki tersebut yang melanggar hukum syarak.

Sementara itu, Imam al-San’ani berpandangan, Rasulullah SAW tidak mungkin mendoakan keburukan kecuali untuk orang yang meninggalkan kewajipan.

“Jika doa itu kerana alasan orang itu bersikap sombong, memang ada kemungkinan demikian. Dan tidak dapat dinafikan juga kemungkinan Nabi Muhammad SAW berdoa kerana kedua-dua alasan tersebut.” (Rujuk Subulus Salam 3/159)

Justeru, jika tiada sebab yang mendesak, janganlah kita suap makanan guna tangan kiri.

Ada sebab kenapa kita tak boleh suap makanan guna tangan kiri. Lagi-lagi yang makan guna sudu, garfu dan pisau untuk jenis-jenis hidangan tertentu.

(Irsyad al-Fatwa 272: Hukum Makan dan Minum dengan Tangan Kiri, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis