Jangan mencari kesalahan orang lain. Sifat berburuk sangka hanya membawa jalan menuju dosa dan fitnah!

October 1, 2021
Oleh Lynn Mazlina

DALAM kitabullah, ALLAH SWT menyebut bahawa manusia mempunyai dua sifat iaitu baik dan tercela. Perilaku yang elok disebut menerusi firman ALLAH SWT: "DIA mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq, ayat 5)

Manusia juga mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran seperti yang tercatat dalam Surah al-Kahf, ayat 54. Selain itu, mereka juga tidak lari daripada bersikap zalim, jahil, pelupa, berprasangka buruk dan sombong.

Daripada semua itu, antara sikap yang sukar dikikis adalah berburuk sangka dengan sesama manusia. Misalnya, seorang hamba ALLAH akan tertanya-tanya, kenapa jutawan A menyalurkan dana untuk membantu mangsa banjir, sedangkan jutawan B tidak berbuat demikian?

Walhal dia tidak tahu barangkali jutawan B memberi sumbangan secara dalam diam, berbanding jutawan A yang menghebahkannya kepada umum.

Bukankah telahan semberono berkenaan sudah mengundang dosa kerana sikap mazmumah itu merupakan sebahagian daripada fitnah? Justeru, apakah cara terbaik untuk kita menghindarkan diri daripada terus berperangai fasiq?

Berdosa besar

Sinar Islam Plus mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob untuk berbincang lanjut mengenainya.


Jelas beliau, bersangka buruk atau dalam bahasa Arab su’udzan merupakan satu sifat tercela yang amat dilarang dalam Islam.

Sikap itu wujud kerana rasa dengki, iri hati, tidak puas hati dan segala punca yang negatif. Apabila diluahkan, maka akan muncul tindakan seperti mencari kesalahan orang lain, memburukkan, mengadu domba dan akhirnya mendedahkan kelemahan dan aib seseorang," katanya membuka mukadimah.

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12, ALLAH berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa."


Ujar Dr Mohd Ashroff, sesungguhnya sifat buruk sangka atau sangsi hanya akan merosakkan diri dan minda jika fikiran kita 'merajainya'.
"Individu yang ada sikap itu seolah-olah dia seperti memfitnah orang lain kerana sangkaan buruk itu sendiri bersifat tidak pasti dan hanya berasaskan maklumat yang tidak benar, perasaan syak atau keraguan. Ia wajib dijauhi kerana merupakan satu dosa besar," tegasnya.

Ujar beliau, Rasulullah SAW pernah memberi amaran kepada golongan sebegitu. Daripada Abu Hurairah RA, baginda bersabda: "Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Justeru, kata Dr Mohd Ashrof, peri pentingnya setiap umat Islam untuk sentiasa bersangka baik (husnudzan). Secara umumnya, beritahu beliau, husnudzan mempunyai tiga bahagian iaitu bersangka baik dengan ALLAH SWT (berprasangka baik dengan apa yang telah ditakdirkan-NYA).

Kedua, bersangka baik kepada diri sendiri (percaya terhadap kemampuan diri sendiri) dan bersangka baik kepada orang lain (dengan menganggap semua orang adalah baik sebelum terbukti kesalahan atau keburukannya).


Beliau kemudian memberi satu contoh situasi yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini.

Iklan

Apabila jiran kita jarang bertegur sapa atau tersenyum, pastinya akan terlintas dalam hati kita bahawa dia adalah seorang yang sombong dan tidak pandai bersosial. Lihat, kita sudahpun membuat sangkaan buruk kerana kita tak tahu berkemungkinan individu itu memang memiliki karakter semula jadi yang pemalu atau sedang memikirkan masalah besar. Bukankah lebih baik jika bersangka baik kerana ia akan menjadikan hidup sesama kita aman dan harmoni serta mengelakkan berlakunya permusuhan?" katanya.

 

Lebih baik diam

Dr Mohd Ashrof kemudian ditanya sama ada perbuatan berprasangka buruk umpama seseorang makan daging saudaranya yang telah mati?
Mendengarkan persoalan itu, beliau lantas membacakan potongan ayat ke-12, Surah al-Hujurat. Firman ALLAH SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya."


Berdasarkan ayat tersebut tegasnya, jelas menunjukkan pengharaman mengumpat. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya juga menyatakan ghibah (mengumpat) diibaratkan seperti memakan daging saudaranya kerana perbuatan hina itu bererti menyiat-nyiat kehormatan.

Pastinya sikap syak wasangka ini akan menyebut perihal yang tidak benar dan tidak disukai oleh individu yang terbabit. Justeru, wajib untuk kita mengelakkan diri kerana ia seolah-olah mengumpat seseorang. Jijiknya perbuatan itu seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati," katanya yang menyarankan individu yang terlanjur berburuk sangka segera bertaubat kepada ALLAH dan memohon maaf kepada individu yang terlibat.

Diskusi kami seterusnya menghala kepada keterbukaan media sosial yang telah menguak ruang yang luas kepada perangai mazmumah dalam kalangan masyarakat.

Iklan

Ujar Dr Mohd Ashrof, realiti perkembangan teknologi komunikasi masa kini memberi dampak yang baik, namun terdapat sisi negatif yang adakalanya memberi kesan yang mendalam sehingga boleh meninggalkan parut yang berpanjangan.


"Dunia tanpa sempadan ini telah melebarkan lagi penyebaran maklumat, tetapi sebagai seorang Muslim, kita wajib menjaga pertuturan dengan berbicara perkara yang baik saja atau berdiam diri," katanya.

Dalam hal itu, katanya, ikutilah saranan Nabi Muhammad SAW. Sabda baginda: "Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam." (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Beri teguran berhemah

Sudah lumrah manusia, apabila ditimpa kesusahan, penyakit atau bencana seperti virus Covid-19, sesetengah daripada kita akan menaruh rasa ragu-ragu atau berwalang hati kepada ALLAH.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor, Rafiuddin Mohd Yusof yang dilontarkan soalan itu terus memberi peringatan tegas kepada individu yang berfikiran seperti itu.


"Ingat, segala musibah, ujian dan dugaan adalah ketentuan daripada ALLAH. Jangan sesekali menyalahkan takdir sebagai punca atas sesuatu malapetaka yang berlaku.

"Sebaliknya, jadikan ia sebagai pemangkin untuk kita terus mendekatkan diri dengan-NYA. Sentiasalah menjaga hati dan minda agar tidak wujud tanggapan negatif terhadap apa yang ditentukan ALLAH YANG MAHA ESA," ungkapnya.

Menjawab satu tanda tanya lain, Rafiuddin berkata, apabila kita melihat atau terdengar seseorang berprasangka buruk terhadap orang lain, hendaklah kita menegur dengan cara berhemah.

Tak boleh hanya mendiamkan diri. Pun demikian, kita ditegah daripada menggunakan kekerasan ataupun melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu kerana kelak akan merugikan," ujarnya.

Pendakwah itu juga mahu semua umat Islam mengambil iktibar daripada petikan Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

Rafiuddin menambah, walaupun pada dasarnya kita melihat atau mendengar sesuatu perkara yang dianggap satu kesalahan, namun bersangka baiklah terlebih dahulu sebelum kebenaran cerita diselongkar.


Ini kerana mungkin pada pandangan kita ia merupakan satu kesalahan, namun hakikatnya boleh jadi perkara itu adalah satu kebaikan.

"Oleh yang demikian, sentiasa berfikiran positif dalam setiap kejadian dan yakinilah, sesuatu ujian yang diberikan merupakan satu hikmah. Ganjaran besar akan sentiasa menanti jika kita sentiasa bersyukur dengan segala ujian ALLAH SWT tanpa sesekali mempertikaikannya. Sentiasalah berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah," saran beliau.

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis