Bermain kutu ganti adalah haram kerana melibatkan peserta makan harta orang lain secara batil

November 19, 2021
Oleh Lynn Mazlina

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

SAYA ada menerima satu pertanyaan melalui WhatsApp mengenai kutu ganti. Sebelum saya membicarakan lebih lanjut tentang kutu ganti, saya jelaskan dahulu tentang permainan kutu.

Permainan kutu merujuk kepada sekumpulan orang yang bersepakat untuk sama-sama mengeluarkan sejumlah wang dalam tempoh tertentu seperti setahun dan diserahkan kepada ibu kutu (pengurus wang kutu).

Setiap peserta akan membuat undian bagi menentukan bulan giliran masing-masing untuk mendapat jumlah wang terkumpul. Sebagai contoh, seramai 10 orang bersepakat untuk mengeluarkan wang sebanyak RM100 seorang setiap bulan selama 12 bulan. Jadi jumlah terkumpul setiap bulan adalah sebanyak RM1,200. Oleh itu, setiap peserta akan mendapat RM1,200 bila tiba bulan gilirannya.

Berbalik kepada isu kutu ganti, ia akan berlaku apabila ada di antara peserta lama yang menarik diri. Ibu kutu akan mencari peserta lain untuk menggantikan tempat peserta yang menarik diri tersebut.

Berdasarkan penerangan daripada ibu kutu melalui mesej bersuara yang dipanjangkan kepada saya, dinyatakan bahawa peserta kutu ganti ini hanya perlu membuat bayaran sehingga setakat bulan giliran peserta lama yang menarik diri itu sepatutnya mendapat jumlah terkumpul.

Contohnya, giliran peserta lama yang menarik diri untuk mendapat jumlah terkumpul adalah pada bulan Disember. Dia menarik diri mulai bulan September.

Iklan

Oleh itu, pada bulan Januari tahun berikutnya, peserta kutu ganti akan mendapat bayaran balik jumlah keseluruhan wang telah dibayar kepada ibu kutu selama tiga bulan dan selain daripada itu dia juga akan diberi bayaran tambahan.

Bayaran tambahan ini diambil daripada wang yang telah dibayar oleh peserta lama dalam tempoh Januari hingga Ogos kerana peserta yang menarik diri tidak akan mendapat kembali wang yang telah diserahkan kepada ibu kutu.

Iklan

Berdasarkan iklan yang dipanjangkan kepada saya melalui WhatsApp, jika peserta kutu ganti membayar sebanyak RM250 selama tiga bulan, pada bulan terakhir iaitu September misalnya, dia akan mendapat RM750 + RM150. Jika yang dibayar adalah RM1,500 selama tiga bulan, maka pada bulan terakhir yang diganti itu, dia akan mendapat RM4,500 + RM1,000.

Sangat menarik tawaran pulangan yang dijanjikan oleh ibu kutu tersebut sebagai gula-gula untuk menarik minat peserta kutu ganti. Ibu kutu turut menyatakan bahawa para peserta jangan risau tentang soal riba kerana semuanya ada akad yang dilakukan dan dengan itu isu riba tidak berbangkit kerana semua sudah ada persetujuan bersama.

Dalam ruang terhad ini, saya ingin jelaskan bahawa permainan kutu ini adalah satu permainan pinjaman wang (qard). Para peserta saling pinjam meminjam dalam tempoh yang ditetapkan. Peserta kutu ganti juga telah meminjamkan wangnya dalam tempoh bulan gantian berkenaan.

Oleh itu, bayaran tambahan yang diterima oleh peserta kutu ganti adalah RIBA dan ia diharamkan dalam Islam. Alasan ibu kutu bahawa sudah ada akad yang dipersetujui bersama tidak menjadikan bayaran lebihan itu halal kerana Allah mengharamkan riba.

Begitu juga dengan tindakan ibu kutu yang tidak memulangkan kembali jumlah wang yang telah dibayar oleh peserta lama yang menarik diri. Riba dan tidak memulangkan kembali wang peserta lama  temasuk dalam bab memakan harta orang lain secara batil.

Oleh itu, umat Islam disarankan menjauhi permainan kutu seumpama ini kerana ia mengandungi unsur memakan harta orang lain secara salah (batil). Memakan harta orang lain secara batil adalah diharamkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’, ayat 29.

Wallahu a’lam.

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *