Jangan seronok sangat guna aplikasi tukar jantina, hadam dulu penjelasan ini

Aplikasi ubah jantina
July 3, 2020
Oleh Nurulfatiha

ZAMAN sekarang, nak edit gambar tak macam dulu. Tak perlu lagi guna komputer atau peralatan sokongan yang lain.

Guna telefon bimbit masing-masing saja dah boleh buat. Malah, hasilnya nampak seperti gaya seorang profesional mengedit gambar.


Begitulah penangan era digital kini. Semua perkara boleh buat dengan mudah. Tambahan pula, kita ada lambakan aplikasi dalam telefon bimbit.

Hanya download saja secara percuma. Aplikasi tersebut juga memang mesra pengguna dan mudah dikendalikan membuatkan ramai berlumba-lumba menyunting gambar mengikut cita rasa masing-masing.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, ramai warganet berkongsi gambar peribadi yang siap diedit menggunakan aplikasi seperti FaceApp dan seumpamanya menerusi media sosial. Sekali pandang, gambar berkenaan mirip dengan wajah individu tersebut, cuma berlainan jantina.

Iklan

Bayangkan gambar lelaki gagah dan kacak bertukar menjadi wanita cantik yang rupawan. Begitu juga sebaliknya. Kemudian, dengan bangganya, individu berkenaan berkongsi transisi gambar mereka secara terbuka di alam maya.

Walaupun perbuatan itu dilakukan sekadar untuk suka-suka sahaja, namun ia memberi impak yang kurang elok kepada umat Islam dan khususnya pada agama itu sendiri.

Iklan

Islam secara jelas melarang lelaki menyerupai wanita dan kaum Hawa menyamai Adam. Justeru, apakah hukumnya sekiranya kita mengubah wajah sendiri kepada jantina lain dengan menggunakan aplikasi berkenaan?

Unsur Syubhah

Bagi mendasari isu itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan. 

IMAM MUDA HASSAN

Ujar beliau, meskipun penggunaan aplikasi berkenaan tidaklah sampai kepada mengubah ciptaan ALLAH secara fizikalnya, tetapi perbuatan tersebut termasuk dalam perkara syubhah iaitu hampir kepada haram.

“Memang asal suatu perkara itu diharuskan, tetapi keharusan itu perlu kita tengok pula sama ada ia bertentangan dengan agama, masuk perkara-perkara berunsur haram yang melanggar Islam dan sebagainya, maka ia boleh berubah menjadi haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Mudah kata, tegas Imam Muda Hassan, aplikasi berkenaan hanya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding manfaat, bahkan, ia boleh memberikan implikasi tidak baik kepada seseorang manusia.

Semestinya tiada faedah yang bakal diperoleh, ia hanya sekadar hiburan semata-mata. Namun demikian, natijahnya jauh lebih besar dan berupaya mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, kata beliau lagi.

“Saya nampak apabila orang ramai kongsi (gambar wajah bertukar jantina dengan) FaceApp ini jadi bahan tawa orang lain, selain bahan jenayah kepada mereka. Sedangkan kita tidak tahu siapa yang buat aplikasi tersebut.

“Sudah tentu ada sesuatu (tujuan) atau keuntungan tertentu. Barangkali dia boleh gunakan data kita, dedahkan identiti wajah kita kepada musuh Islam dan seumpamanya. Orang nak buat jahat pada kita pun boleh. Ini bahayanya aplikasi sebegini kepada diri kita,” jelas pendakwah itu.

Justeru, Imam Muda Hassan mengingatkan kepada seluruh umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya mencampakkan diri kita ke lembah kebinasaan.

“Ketahuilah, impaknya begitu besar sehingga boleh menceroboh peribadi kita. Ia seolah-olah kita sendiri yang mendedahkan aib masing-masing (dengan berkongsi gambar peribadi berlainan jantina). Sedangkan, ALLAH begitu menjaga aib-aib kita selama ini dengan menyimpannya daripada diketahui orang.

“Kita pula sebagai hamba-NYA mengapa senang-senang saja buka aib sendiri. Itulah mudaratnya bila kita gunakan aplikasi yang lebih mendatangkan kemudaratan berbanding manfaat,” ujar beliau.

Ibarat iktiraf tukar jantina

Imam Muda Hassan meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menegur sikap sebilangan masyarakat yang menempelak golongan lelaki yang mengubah fizikal dan penampilannya menjadi wanita dan begitu juga sebaliknya.

Aplikasi ubah jantina
WALAUPUN perbuatan menyunting gambar lelaki menjadi wanita untuk simpanan peribadi tidak jatuh hukum haram, tetapi sebaiknya elakkan diri daripada melakukan perbuatan tersebut.

Begitupun, dalam hal menyunting gambar meskipun menggunakan teknologi, segelintir orang pula begitu teruja melakukannya. Ia seolah-olah kita mengiktiraf penukaran jantina berkenaan, terang beliau.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan wanita yang menyerupai kaum Adam dalam hadis baginda.

“Walaupun hadis ini mungkin tertuju kepada mak nyah, tomboi, lelaki jadi perempuan dan sebaliknya, tapi perbuatan itu memang jelas dilarang dalam Islam.

“Dalam keadaan kita begitu marah kepada golongan-golongan tersebut kerana bertentangan dengan fitrah Islam, tapi dalam isu FaceApp ini, kita seolah-olah ‘bersetuju’ pula bila (edit gambar) lelaki jadi wanita dan sebaliknya. Kemudian, kita kongsi pula di media sosial hingga menyebabkan orang hilang kewarasan. Jelas ia memberi kemudaratan dan bahaya kepada diri. Lebih baik kita tinggalkan,” nasihat beliau.

Bercanggah

Bagaimana pula jika gambar tadi hanyalah untuk tujuan peribadi? Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menjelaskan, tidak jatuh hukum haram andai aplikasi berkenaan untuk tujuan keseronokan secara tertutup dan hasil gambar itu tidak dikongsikan kepada umum, lalu kemudiannya dipadamkan.

DR MOHD HAPIZ

Bagaimanapun, apabila individu tersebut berkongsi gambarnya dari sisi jantina lain untuk tontonan umum, ia bukanlah suatu perbuatan yang terpuji.

“Ia boleh menjadi makruh atau tidak digalakkan kerana pelbagai faktor luaran. Contohnya ada elemen tadlis (memperdaya). Walaupun kita lakukan main-main, tapi ia hampir sama dengan unsur kita menipu rupa bentuk seakan memperdayakan orang bagaimana rupa kita sebagai perempuan atau lelaki.

“Meskipun ‘penukaran’ jantina berkenaan hanyalah dalam bentuk aplikasi, namun ia mempunyai penyerupaan, seolah-olah kita hendak tunjukkan kepada orang bagaimana cantiknya atau kacaknya kita apabila jantina berubah, walaupun sekadar untuk berhibur.

“Ketahuilah bahawa hiburan (bentuk) ini adalah tersasar daripada anjuran akhlak mulia atau makarimul akhlaq. Andai kata orang lelaki tiba-tiba saja pakai gincu, ia ada unsur penyerupaan (tasyabbuh) dengan identiti kaum Hawa kerana bercanggah dengan makarimul akhlaq dan adab-adab perhiasan lelaki,” katanya kepada Sinar Islam.

Dr Mohd Hapiz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang menambah, apa sahaja yang bercanggah dengan akhlak terpuji adalah perkara yang sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling aku sayangi dalam kalangan kalian ialah yang paling berakhlak mulia.” (Riwayat al-Bukhari)

Antara akhlak tersebut, baginda turut bersabda: “Antara kecantikan Islam seseorang itu, dia meninggalkan perkara-perkara yang tiada keperluan baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis-hadis berkenaan, jelas ahli akademik berkenaan, tidak sepatutnya kita mengedit gambar, walaupun sekadar suka-suka hingga menukar jantina yang telah diciptakan oleh ALLAH SWT.

“Tinggalkanlah setiap perkara yang tidak berfaedah kepada diri seseorang, tidak kira sama ada ia makruh tahrim atau makruh tanzih, apatah lagi jika ia jelas haram. Jika dilihat objektif hadis berkenaan, Rasulullah SAW mahukan setiap umatnya beradab mulia dalam pelbagai posisi yang sepatutnya ketika berinteraksi di depan khalayak umum.

“Ini juga termasuklah tentang peranan khusus iaitu apa orang lelaki kena buat dan apa yang wanita perlu lakukan. Ia juga termasuk dalam bab akhlak.

“Justeru, setiap kita perlu menunjukkan tingkah laku yang baik walaupun ketika berinteraksi dalam media sosial kerana setiap perbuatan tidak terlepas daripada kaitan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Gunakan teknologi untuk kebaikan

Meskipun dunia kini bersifat tanpa sempadan dengan pelbagai teknologi dan aplikasi canggih, umat Islam tidak boleh menongkah arus berkenaan.

Sebaliknya, kita perlu tetap berhadapan dengannya sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan. Apa yang penting, tugas kita adalah untuk menjadi ‘penapis’ yang baik menerusi akal sihat yang dikurniakan ALLAH SWT kepada manusia.

Demikian pandangan yang dilontarkan pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid tentang kepelbagaian aplikasi ‘permainan’ yang tidak mendatangkan manfaat kepada umat Islam.

USTAZ WAN AKASHAH

“Ya, kita berada pada zaman yang mana Rasulullah SAW sebut sebagai zaman penuh dengan fitnah. Apa yang nabi sebut dulu berlaku di zaman kita sekarang,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Justeru, sebagai umat Islam yang berilmu, Ustaz Wan Akashah mengingatkan agar kita tidak tersasar daripada landasan Islam. Sedarlah bahawa setiap perbuatan yang dilakukan akan dinilai oleh ALLAH SWT kelak.

Firman ALLAH SWT: “Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasan(nya). Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasan(nya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

“Jadi, ingat bahawa ALLAH sentiasa memantau gerak-geri kita. Malaikat Raqib dan Atid tidak pernah terlepas mencatit segala apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk tingkah laku kita,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam menggunakan teknologi yang ada untuk tujuan kebaikan dan memberi manfaat kepada keindahan agama Islam itu sendiri.

“Tidak kiralah apa saja tujuan teknologi atau aplikasi itu dibangunkan, sama ada tersembunyi agenda tertentu atau tidak, apa yang penting adalah jati diri kita sebagai umat Islam.

“Kalau kita (terus) salahkan orang lain, selagi itulah kita tidak akan jadi orang yang baik,” jelas beliau.

Ditanya tentang amalan yang boleh menunjukkan keindahan Islam menerusi media sosial, Ustaz Wan Akashah mengemukakan sebuah hadis masyhur untuk panduan kita bersama.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh  Abdullah bin Amru bin al-‘As RA. Beliau menyatakan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?” Lalu baginda bersabda: “Memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak kiralah secanggih mana teknologi pada hari ini, kita perlu mengingatkan diri sendiri agar tidak mudah terpengaruh dengan ikutan yang bercanggah dengan syariat dan akidah Islam, jelas beliau.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis