BERSAMA DR MOHD NASIR MASROOM
Timbalan Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia

DALAM meniti kehidupan di dunia serba mencabar ini, manusia tidak mampu hidup bersendirian tanpa meminta pertolongan daripada manusia lain.

Namun begitu, adakalanya kita berdepan dengan situasi yang mendukacitakan apabila tiada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan, apatah lagi jika kita tidak berharta, tiada pangkat mahupun pengaruh.

Sebenarnya, hanya ALLAH SWT yang mampu memenuhi segala kehendak manusia. DIA TUHAN MAHA AGUNG, MAHA KUASA, MAHA KAYA, MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG kepada setiap mahkluk-NYA.

Firman ALLAH SWT: “Berdoalah kamu kepada-KU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Ghafir, ayat 60).

Ayat tersebut secara jelas menyebut tentang janji ALLAH yang akan memperkenankan setiap permintaan hamba-NYA yang berdoa. Bukankah sebagai umat Islam, kita wajib yakin bahawa janji ALLAH adalah benar? Pun demikian, sejauh manakah keyakinan kita terhadap janji itu?

Hakikatnya, tahap keyakinan bergantung pada keimanan seseorang terhadap apa yang dipercayainya. Tahap keyakinan iman pula, dinilai berdasarkan keimanan kepada keagungan, kebesaran dan kekuasaan mengharapkan reda daripada-NYA, bersungguh-sungguh dan ikhlas mengerjakan ibadah.

Sesungguhnya, berdoa kepada ALLAH, manusia tidak akan sesekali rugi. Jika kita mendapat perkara yang dipohon, maka ia adalah satu keberuntungan.

Bagaimanapun, jika tidak diberi sekalipun, ia juga satu keuntungan kerana akan diganti dengan pahala memandangkan berdoa adalah satu ibadah. Perkara yang diminta itu akan diberi pada hari akhirat kelak.

Jika manusia tidak berdoa, ia sekali gus menggambarkan sifat sombong mereka kerana diri merasakan tidak memerlukan pertolongan daripada ALLAH.

doa
DR MOHD NASIR menitipkan dalam konteks seorang mukmin, ALLAH SWT satu-satunya Tuhan layak disembah dan berdoa agar dihapuskan kesusahan yang sedang ditanggung.

Ketahuilah, berdoa merupakan fitrah manusia terutamanya apabila kita berada dalam keadaan sukar, musibah atau terdesak. Dalam keadaan seperti itu lazimnya, manusia akan mencari kekuatan diri dengan berdoa.

ALLAH SWT berfirman: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang menderita apabila dia berdoa kepada-NYA dan yang menghapuskan kesusahan serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan lain bersama-sama ALLAH? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat ALLAH itu).“ (Surah al-Naml, ayat 62)

Dalam ayat tersebut, terdapat dua perkataan perlu direnungi iaitu ‘orang yang menderita (al-mudtharra)‘ dan ‘yang menghapuskan kesusahan‘.  Secara jelas, ALLAH bertanya siapakah yang akan memperkenankan doa orang menderita?

Doa seiring ikhtiar

Ini menunjukkan apabila manusia berada dalam kesengsaraan dan kesulitan, mereka akan berdoa kepada Tuhan yang dipercayai dan diimani.

Dalam konteks seorang mukmin, ALLAH SWT satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan diminta segala harapan serta doa agar dihapuskan kesusahan yang sedang ditanggung.

Terdapat beberapa lagi ayat al-Quran yang menyebut bahawa berdoa kepada ALLAH SWT adalah fitrah manusia. Antaranya dalam Surah Yunus (ayat 12) dan Surah Az-Zumar (ayat 8 dan 48).

Rasulullah SAW sebenarnya telah mengajar pelbagai bentuk doa berdasarkan satu peristiwa, keadaan, tempat dan masa-masa tertentu. Ia bermula dari detik baginda bangkit daripada tidur sehinggalah kembali ke tempat tidur semula.

Doa seiring ikhtiar Ini menunjukkan bahawa doa bukanlah sekadar amalan harian yang perlu dilakukan, tetapi terdapat kelebihan yang akan mencetuskan kekuatan dan harapan kepada seseorang.

Hal itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa seorang mukmin perlu berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada ALLAH SWT yang merupakan Pencipta kerajaan di langit dan di bumi.

doa
BERDOA merupakan fitrah manusia terutamanya apabila kita berada dalam keadaan sukar, musibah atau terdesak.

Pun demikian, sayangnya, sebahagian individu di alam semesta ini beranggapan doa tidak memberi implikasi besar dalam kehidupan mereka.

Mereka berdoa, tetapi secara acuh tidak acuh, seadanya sahaja atau langsung mengendahkannya. Golongan seperti itu berpendapat, kejayaan dan kegagalan bukan ditentukan dengan doa, tetapi usaha bersungguh-sungguh.

Ternyata, tanggapan itu silap sama sekali! Ini kerana doa dan ikhtiar dituntut dilakukan serentak! Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Ini bermaksud, berdoa kepada ALLAH SWT, sama penting dengan usaha.

Ketahuilah, berusaha sedaya upaya, namun meninggalkan doa merupakan perbuatan menjerumuskan diri dalam kepompong keangkuhan diri yang hanya merugikan.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka): ‘Sesungguhnya AKU (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU, maka hendaklah mereka menyahut seruan-KU (dengan mematuhi perintahKU), dan hendaklah mereka beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul.“ (Surah al-Baqarah, ayat 2).

doa
SAYANGNYA, sebahagian individu beranggapan doa tidak memberi implikasi besar dalam kehidupan mereka.

Ayat berkenaan antara lain menjelaskan, ALLAH SWT hampir dengan hamba-NYA terutamanya ketika sedang berdoa. Bagi mereka yang menghadapi kesulitan hidup, inilah saatnya untuk hampir kepada ALLAH melalui amalan berdoa, berharap dan meminta kepadaNYA.

Mengapa doa tidak dimakbulkan ALLAH SWT? Ketika Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni orang ramai. Ada yang bertanya, mengapakah doa mereka tidak dikabulkan oleh Allah, sedangkan mereka selalu berdoa kepadaNYA? Beliau menjawab: “…kerana hati kamu buta disebabkan 10 perkara.“

10 perkara itu adalah:

1. Kamu mengenal ALLAH, tetapi kamu tidak menunaikan hak-NYA.
2. Kamu sangka cinta kepada Rasulullah SAW, tetapi telah meninggalkan sunnahnya.
3. Kamu membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengannya.
4. Kamu makan dan kecapi nikmatnikmat ALLAH, tetapi tidak mensyukurinya.
5. Kamu berkata syaitan itu musuh, tetapi tidak menentangnya.
6. Kamu berkata syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.
7. Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8. Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
9. Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
10. Kamu kebumikan mayat-mayat, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Rasulullah SAW juga ada menyebutkan keadaan doa yang akan dimakbulkan ALLAH SWT. Daripada Abi Umamah baginda bersabda: “Rasulullah SAW pernah ditanya, bilakah waktu berdoa paling didengari? Baginda menjawab, ketika separuh malam kedua dan sesudah solat-solat diwajibkan (solat lima waktu).“ (Riwayat al-Tirmizi)

Baginda SAW bersabda lagi: “Doa tidak ditolak di antara azan dan iqamat.“ (Riwayat al-Tirmizi). Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW pernah bersabda tiga golongan dikabulkan doanya iaitu doa orang dizalimi, doa musafir dan doa ibu bapa kepada anak-anaknya.“ (Riwayat
al-Tirmizi dan Abu Daud)

Berdasarkan keterangan berikut, jelaslah doa boleh dipohon pada bila-bila masa sahaja, terutamanya pada waktuwaktu tertentu seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Foto: Freepik dan 123rf

 

 

 

 

Iklan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Iklan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

a