SEJAK diserang strok pada enam tahun lalu, kehidupan wanita bernama Jamilah Mohamad tidak selincah dahulu. Boleh dikatakan dunianya kini suram dan berubah 360 darjah.

Apa yang lebih menyedihkan, wanita berusia 53 tahun itu tidak mampu lagi untuk menguruskan diri dengan kudrat yang cukup terhad, selain bergantung harap dengan bantuan famili sepanjang masa.

Kepada SinarPlus, ibu anak satu itu memberitahu, serangan angin ahmar buat kali kedua pada Disember 2022 membuatkan kondisi kesihatannya semakin memburuk.

“Ditambah dengan penyakit vertigo, kencing manis dan darah tinggi, saya sudah tak seperti dulu. Nak bergerak sendiri pun tak boleh sangat sebab lemah pada anggota badan sebelah kiri.

“Bila vertigo datang menyerang, nak berdiri pun susah sebab rasa pening teramat sangat.

strok

“Rasa macam ada gempa bumi yang kuat sampai berdesing kepala dibuatnya,” katanya yang menetap di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor.

Segala urusan rumah pada ketika itu dilakukan sepenuhnya oleh suami tercinta, Ishak Abdul Samad yang bekerja sebagai tukang rumah demi menyara hidup mereka sekeluarga.

Pun demikian, musibah yang tidak disangka-sangka menimpa lelaki berusia 55 tahun tersebut apabila terlibat dalam satu kemalangan pada Februari tahun lalu.

Beliau disahkan cacat kekal selepas mengalami kecederaan parah hingga menyebabkan tulang pinggul dan kaki kanan patah teruk.

 

Lebih menyedihkan, pasangan suami isteri itu hilang punca pendapatan sekelip mata selepas Ishak tidak mampu bekerja seperti biasa.

Baca Demam, meracau & kejang, kanak-kanak 12 tahun maut strok haba, berikut kronologi menyayat hati

Bagaikan meluahkan rasa luluh yang terbuku di hati, Jamilah berkata, sambutan Syawal kali ini juga disambut sekadar ala kadar sahaja.

Untuk meneruskan hidup dengan tiada punca pendapatan tetap membuatkan wanita berkenaan kerap diserang anxiety.

Pun demikian, beliau bersyukur apabila satu-satunya zuriat iaitu anak perempuan dan menantu banyak membantu menguruskan mereka tanpa sebarang rungutan sehingga kini.

strok

“Anak sebenarnya masih belajar di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sains Teknologi Makanan Sains dan sekarang menjalani latihan dalam industri di sebuah kilang.

“Menantu pula tak dapat bekerja lebih kurang setahun lamanya sebab menjaga kami berdua. Alhamdulillah sekarang ini dia sudah boleh bekerja,” ceritanya.

Rawatan

Meskipun pergerakan agak terbatas, namun anak jati Jeram itu tetap gigih menjaga ibunya, Kamisah Salehan, 75, yang menghidap kencing manis, gastrik dan vertigo.

strok

“Emak sebenarnya kerap nak pitam, jadi doktor nasihatkan jangan biarkan dirinya seorang diri. Jadi, saya akan pantau mak pada sebelah malam sebab hanya saya seorang yang dekat dengannya.

Iklan

Baca juga Vertigo bukan isu yang boleh dipandang enteng. Berikut tip yang dikongsi doktor untuk atasinya

“Emaklah tempat saya mengadu. Kalau dulu ayah masih ada lagi, memang dialah tempat saya luahkan segala masalah. Sekarang ini rindu kepadanya memang tak tertanggung, lagi-lagi diuji dugaan berat ini,” ujarnya sebak.

Tatkala ditanya soal kos perubatan dan keperluan harian, Jamilah tanpa berselindung berkata, setakat ini beliau sekeluarga terpaksa berhutang hampir RM36,000 untuk menampung kos ulang-alik ke hospital.

“Boleh dikatakan saya terpaksa menebalkan muka untuk mohon bantuan pada saat kami ditimpa musibah berganda-ganda. Nak pergi hospital terpaksa sewa kenderaan kerana kereta yang ada sudah usang.

strok

“Suami masih memerlukan rawatan fisioterapi untuk membolehkan dia berjalan walaupun terpaksa bergantung dengan tongkat,” katanya yang turut menjual baju batik secara online untuk menambah pendapatan.

Baca

Iklan

Kepada orang ramai, Jamilah memohon supaya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung demi menampung perbelanjaan seharian sehinggalah suaminya sembuh sepenuhnya.

“Selain bantuan kewangan, saya juga memerlukan keperluan lampin pakai buang kerana sekarang ini semi terlantar.

“Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalas semua jasa baik kalian yang sudi membantu kami sekeluarga. Semoga yang baik-baik berbalik semula kepada anda,” katanya.

Kepada pembaca SinarPlus prihatin, bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 162133304016 atas nama Jamilah Binti Mohamad.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!