BERTAUBAT wajib dilakukan oleh setiap orang. Ia bukan sekadar untuk golongan pendosa sahaja.

Sebagai hamba kepada ALLAH SWT, selayaknya kita beristighfar dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Apatah lagi, manusia sememangnya bukan golongan yang maksum.

Kadangkala apabila sudah bertaubat, ujian lain pula datang menjengah. Sebagai manusia biasa, memang kita tidak dapat lari daripada merentasi ujian yang sudah ditetapkan-NYA.

Sedikit sebanyak situasi itu kadang-kadang membuatkan kita goyah seolah-olah gagal dalam taubat yang telah dilakukan sebelum itu.

Walaupun kesalahan yang dilakukan selepas bertaubat bukan termasuk dalam kategori dosa besar, tetapi ia sudah merencatkan proses taubat kita tadi.

Situasi itu kadangkala membuatkan kita agak kecewa kerana gagal untuk bertaubat dengan penuh kesempurnaan.

Bagaimana sebenarnya cara untuk kita tidak kembali berbuat dosa selepas bertaubat?

Iklan

Pendakwah terkemuka Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid menjelaskan, dalam perihal taubat, ia menuntut kita kepada dua perkara supaya ia dapat disempurnakan dengan sebaiknya.

Pertama, kita perlu berterusan untuk bertaubat dan tidak berputus asa walaupun terpaksa berulang kali melalui proses yang sama, terang beliau.

"Kedua, berusahalah untuk mengelak daripada asbab yang menjatuhkan kita tergelincir buat kali yang berikutnya. Contohnya, kalau seseorang tergelincir dengan dosa yang pernah dilakukan disebabkan oleh kawannya, maka tinggalkan kawan itu.

(Artikel berkaitan: Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar)

"Jika yang menjadi asbab adalah Facebook misalnya, 'cutikan' Facebook itu. Berilah masa yang cukup sehingga kita terbiasa hidup tanpa Facebook.

Buat maksiat lepas bertaubat
SEANDAINYA media sosial menjadi penyebab kita kembali tergelincir selepas bertaubat, maka jauhkanlah diri kita daripadanya.

"Seandainya dengan Facebook itu kita akan tergelincir kepada dosa dan macam-macam, hentikan Facebook itu dan begitulah seterusnya.

Iklan

"Kalau (asbab) itu adalah telefon contohnya, hentikan penggunaan telefonnya. Sampai kepada peringkat kholas (selesai), ditinggalkan perbuatan dosa yang berkali-kali tergelincir dilakukan," katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Justeru, agamawan itu menyeru agar kita jangan terus berhenti untuk bertaubat. Sebaliknya, mantapkanlah proses taubat berkenaan dengan penuh kesungguhan untuk berhenti daripada perbuatan maksiat.

"Kalau tergelincir berulang-ulang (selepas bertaubat), cari asbab kenapa tergelincir.

"Maka penyebabnya itulah perlu kita elakkan. Kesungguhan kita mengelak tergelincir daripada dosa dengan cara-cara tadi akan dibantu oleh ALLAH SWT.

"Dengan izin-NYA, kita tidak mudah untuk tergelincir pada (waktu) berikutnya walaupun berjumpa lagi dengan kawan (tersebut) atau gunakan telefon. Ini kerana  kita sudah bersungguh-sungguh untuk berhenti sehingga dapat tutup asbab atau faktor-faktor yang boleh menjerumuskan kepada dosa yang sama," katanya.

Justeru, jangan pernah berhenti daripada untuk bertaubat kepadanya. ALLAH akan menerima taubat hamba-NYA yang ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana sifatnya yang MAHA PENGAMPUN.

Sumber: Instagram habibalizaenalalhamid