Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi

Imam al-Ghazali
July 24, 2020

MENYELAK kembali lembaran sejarah Islam, nama Imam al-Ghazali memang tidak asing lagi. Tokoh yang masyhur dengan ketinggian ilmunya. Namanya juga meniti di bibir ramai orang di seluruh dunia dengan panggilan Algazel oleh orang Barat.

Masakan tidak, tokoh ulama itu terkenal dengan bait-bait nasihat beliau yang tidak ternilai harganya. Malah, ia tersemat kemas dalam ingatan dan sentiasa menjadi rujukan hingga ke generasi pada hari ini.

Iklan

Sekiranya riwayat hidupnya diperhalusi satu per satu, sesiapa pun akan menginsafi keupayaan, kesungguhan dan kecekalan Imam al-Ghazali dalam memperjuangkan agama dan ilmu. Tidak hairanlah mengapa beliau mendapat jolokan Hujjatul Islam kerana taraf keilmuannya yang tinggi.

Pemilik nama sebenar Abu Hamid Muhammad al-Ghazali itu lahir di bandar Tusi, Khurasan (Iran) pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi.

Bapanya merupakan seorang pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Walaupun kehidupan mereka diselubungi kemiskinan, didikan keluarga membuatkan Imam al-Ghazali suka mempelajari ilmu agama dan mendampingi para sufi.

Selepas kematian bapanya ketika usianya masih kecil, tokoh itu dan seorang lagi saudaranya bernama Ahmad menuntut ilmu dengan sahabat bapanya. Arwah bapanya sempat menyerahkan sedikit wang saraan dan mewasiatkan urusan pembelajaran kedua-dua anak itu  kepada sahabatnya yang juga guru dan ahli tasawuf.

Iklan

Selepas kehabisan wang peninggalan arwah bapa, Imam al-Ghazali berhijrah ke Tusi dan belajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh perdana menteri Nizam.

Beliau kemudian berguru dengan Abu Nasr Al Ismaili dan mempelajari tasawuf daripada Yusuf Annasaj, seorang sufi terkenal serta ramai guru lain.

Kecintaannya kepada ilmu membuatkan tokoh Islam itu menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Bukan sahaja faqih dalam ilmu agama seperti fiqah, malah beliau menguasai ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Diriwayatkan, Imam al-Ghazali juga mengetahui pelbagai mazhab dan pendapat masing-masing. Keintelektualannya dikatakan telah berupaya untuk mengimbangi keilmuan gurunya. Kurniaan itu tidak disia-siakan begitu sahaja apabila beliau mengarang pelbagai jilid buku dan bidang.

Secara keseluruhannya, terdapat 62 karya yang telah dihasilkan oleh cendekiawan ulung itu. Antara karyanya yang terkenal termasuklah Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Kitab Ihya Ulumuddin yang merangkumi topik berkaitan ibadah, akhlak dan metodologi disebut antara yang paling masyhur. Ia dianggap sebagai karya utama Imam al-Ghazali sebagai pengenalan seorang yang beriman kepada Tuhan.

Kitab berkenaan turut diterjemahkan oleh al-Sheikh Abdul Samad Palembang dalam kitabnya, Siyar as-Salikin.

Imam al-Ghazali
IMAM AL-GHAZALI terkenal dengan ketinggian ilmunya dan sehingga hari ini, buku-buku karangannya menjadi rujukan ramai.

Kaji hadis Rasulullah

Sifat kepimpinan dan kepintaran Imam al-Ghazali telah menarik minat Nizam al-Mulk, wazir Kesultanan Seljuk untuk melantiknya sebagai pengetua di Madrasah al-Nizamiyyah di Baghdad.

Ketokohannya juga membuatkan figura itu diberi kepercayaan penuh menjadi ulama yang disegani di ibu kota kerajaan. Ketika itu, usianya baru sahaja 33 tahun.

Kemasyhuran beliau sebagai orang alim, guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat. Kuliahnya semakin menarik perhatian ramai.

Begitupun, Imam al-Ghazali tidak berpeluang mengajar dalam tempoh yang lama. Beliau menghadapi krisis spiritual sehingga membuatkan tokoh itu tidak berupaya mengajar dalam tempoh beberapa ketika.

Sekitar 1095 Masihi, Imam al-Ghazali tekad meninggalkan kariernya. Bahkan, ilmuan genius itu juga meninggalkan Baghdad dengan alasan untuk menunaikan haji di Makkah.

Bayangkan, tokoh hebat itu sanggup membuang segala kekayaan dan kariernya yang hebat. Sebahagian hartanya diwakafkan dan sebahagian lagi dijadikan bekal untuk berkelana di Damsyik dan Jerusalem serta melawat Makkah.

Beliau juga terkenal sebagai ulama utama dalam sejarah pemikiran Islam. Al-Ghazali telah mengkaji pemikiran dan falsafah Yunani. Pada masa sama, tokoh itu mengkritik hinggakan pengaruh Yunani dalam alam pemikiran Islam menjadi lemah.

Bukan itu sahaja, al-Ghazali juga berjaya menghidupkan semula fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta tuli kepada punca petunjuk yang betul iaitu kitab ALLAH dan sunah Rasulullah SAW.

Ketika akhir hayatnya, beliau banyak menumpukan kepada usaha mengkaji hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih dengan cara sistematik. Namun, usaha murninya itu tidak sempat dihabiskan kajiannya.

Ilmuan hebat itu telah terlebih dahulu menemui Pencipta-NYA. Beliau meninggal dunia di bandar Tusi pada hari Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah bersamaan 19 Disember 1111 Masihi.

PROFIL

Nama: Abu Hamid Muhammad al-Ghazali

Gelaran: Imam al-Ghazali dan Algazel

Asal: Bandar Tusi, Khurasan (Iran)

Tahun kelahiran: 450 Hijrah (1058 Masihi)

Tahun kematian: 505 Hijrah (1111 Masihi)

Kepakaran: Fiqah, ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Karya agung: Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Sumbangan: Ulama terkenal dalam sejarah pemikiran Islam, menghidupkan fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta-tuli untuk kembali kepada al-Quran dan sunah.

Sumber dan Foto: maktabah-ibn-badawi.com, republika.co.id, sabah.edu.my, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tawaduk.com & Wikipedia

About Nurulfatiha

Biodata Penulis