JIKA ditanya tentang kematian, tiada siapa yang mahu pengakhiran hidupnya dalam keadaan yang buruk.

Ramai yang mengimpikan agar kita dicabut nyawa dalam keadaan khusnul khatimah (kesudahan yang baik).

Bercakap tentang hal ini, ada pendapat mengatakan bahawa orang Islam yang meninggal dunia akibat wabak koronavirus (Covid-19) dikira sebagai mati syahid.

Adakah benar kenyataan itu? Jika benar mereka mati syahid, apakah yang dimaksudkan dengan syahid berkenaan?

Ini jawapan pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki apabila Sinar Islam ajukan persoalan ini:

USTAZ MUSTAFAR

“Kebanyakan hadis yang menyebut kematian disebabkan taun (wabak) dianggap sebagai mati syahid.

Berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mati kerana taun (wabak) maka ia dikira syahid.”

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim menyatakan, taun sejenis wabak yang cepat tersebar dan menyakitkan.

Maka, dapat kita ketahui bahawa mati kerana wabak seperti Covid-19 yang cepat tersebar dan menyakitkan itu termasuk dalam kategori mati syahid.

Demikian juga telah difatwakan di peringkat antarabangsa seperti di Mesir Darul Ifta al-Misriyyah dan selainnya.

Syahid yang dimaksudkan apabila terkena wabak tersebut adalah syahid akhirat. Ia bermaksud pahalanya seperti mati syahid berjuang pada jalan ALLAH SWT seperti disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari.

Akan tetapi, perlu diketahui bahawa agama melarang kita daripada sengaja mendedahkan diri kepada terkena virus itu. Langkah-langkah keselamatan wajar diambil seperti mematuhi arahan pemerintah dan pihak berkuasa,” jelas beliau.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang dianugerahkan mati syahid akhirat ini. Semoga ALLAH ampunkan segala dosa mereka. Mudah-mudahan semua amalan kebajikan yang dilakukan sepanjang hayat diterima oleh-NYA dan roh mereka dicucuri rahmat.

Kepada keluarga yang kematian orang yang tersayang akibat Covid-19, bersabarlah atas ujian ALLAH.

Teruskan berdoa memohon perlindungan daripada-NYA. Semoga wabak ini segera berakhir.