PERASAAN kekok dan canggung pasti dirasai oleh mereka yang buat kali pertamanya mendirikan solat sunat tarawih di rumah.

Maklum saja, kebanyakan kita rata-ratanya lebih selesa dan betah untuk menunaikan ibadah istimewa bulan Ramadan itu di surau ataupun masjid.

Namun begitu, hasrat itu terpaksa dilupakan seketika kerana ‘berkurung’ di rumah bagi ‘melawan’ pandemik Covid-19.

Paling penting adalah usaha kita untuk sama-sama membantu kerajaan dan pihak berkuasa dalam memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Barangkali terdetik rasa khuatir dan ragu-ragu untuk melaksanakan sendiri atau mengimamkan keluarga masing-masing menunaikan solat tarawih.

Apa tidaknya, ia hanya dilakukan selama sebulan dalam tempoh setahun sahaja. Tambahan pula, solat tarawih lazimnya dilakukan di rumah ALLAH, bolehlah kita mengikut imam solat dan bilal membaca zikir serta doa.

Seandainya tidak dilakukan, alangkah ruginya kita. Sudah duduk di rumah, tetapi tinggalkan pula solat tarawih.

Ketahuilah solat tarawih adalah dituntut untuk umat Islam melakukannya. ALLAH SWT menjanjikan ganjaran yang sangat besar.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari)

Qiam yang dimaksudkan itu termasuklah juga solat tarawih dan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti membaca al-Quran, zikir dan doa.

Sebenarnya, mudah saja hendak menunaikan solat tarawih di rumah.

Solat tarawih di rumah
TUNAIKAN solat tarawih di rumah bersama ahli keluarga masing-masing ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini. -Gambar hiasan

Berikut perkongsian pendakwah yang juga Pengasas Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan tentang cara solat tarawih di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laman sosial Facebook miliknya  baru-baru ini:

Iklan

1. Kita perlu mengetahui dengan jelas hukum menunaikan solat tarawih. Hukumnya adalah sunat muakkad iaitu amalan sunat yang amat dituntut.

2. Solat tarawih boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian. Berjemaah adalah lebih afdal. Namun begitu, jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjemaah, maka dibolehkan untuk melakukannya secara bersendirian.

3. Solat tarawih boleh dilaksanakan sama ada 8 atau 20 rakaat diikuti dengan solat sunat witir. Terpulang kepada diri masing-masing untuk menunaikan ibadah ini mengikut kemampuan dan keikhlasan terhadap Pencipta.

4. Solat tarawih dilakukan dengan 2 rakaat, 2 rakaat sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW. Sabda baginda: “Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari)

5. Untuk menunaikan solat tarawih, niat dalam hati sewaktu takbiratul ihram dengan lafaz berbunyi ‘Sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat imam/makmum kerana ALLAH’.

6. Bagi bacaan pada setiap rakaat, wajib membaca Surah al-Fatihah. Tanpa membacanya, maka kita telah meninggalkan rukun. Sementara itu, bagi mereka yang meninggalkan rukun, maka solatnya tidak sah. Selepas membaca Surah al-Fatihah, kita boleh membaca apa sahaja surah hafalan yang mudah bagi kita sama ada yang pendek mahupun panjang.

7. Selesai mengerjakan 2 rakaat solat tarawih yang pertama, maka bolehlah berzikir seperti kebiasaan bagi mereka yang mampu. Akan tetapi, bagi mereka yang tidak mampu dek kerana tidak menghafal atau tidak mengetahui bacaannya, maka boleh sahaja berdoa atau berzikir dengan apa yang mereka tahu. Ini kerana bacaan-bacaan zikir itu bukanlah satu kewajipan yang harus dilakukan dan ia tidak memberi sebarang kesan terhadap ibadah tarawih yang kita lakukan.

8. Usai mengerjakan 8 rakaat atau 20 rakaat solat tarawih, maka kita bolehlah pilih sama ada mahu terus melakukan solat sunat witir atau dilakukan pada 2/3 malam nanti. Lafaz niat solat witir dalam hati ‘Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat imam/makmum kerana ALLAH’.

Jelas, begitu mudah untuk kita menunaikan solat tarawih, bukan? Jangan risau kita ada kekurangan di mana-mana tidak kiralah dari segi surah hafalan, zikir dan sebagainya.

Solat tarawih kan hanya ibadah sunah. Insya-ALLAH solat kita akan diterima asalkan memenuhi rukun-rukun yang ditetapkan.

Ayuh sama-sama kita lakukan secara istiqamah sepanjang bulan Ramadan ini. Tambah seronok bila kita dapat berjemaah bersama keluarga masing-masing.

Iklan

Bagi mereka yang mendirikan solat tarawih secara berjemaah, ia boleh didirikan sebaik sahaja selesai solat Isyak dan tempoh pelaksanaannya boleh dilakukan sehingga terbitnya fajar.

Moga-moga ibadah yang dilakukan kita pada siang hari dan malam Ramadan akan menjadi asbab kepada pengampunan dosa-dosa kita selama ini.

(Sumber: Facebook Nur Mohammad Hadi & Al-Kafi #1706: Hukum Melaksanakan Solat Tarawih di Rumah Bersama Keluarga, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Foto: Freepik & 123rf