KALAU sudah namanya hidup bermasyarakat, pastinya kita kena ambil tahu keadaan di sekeliling terutama jiran berhampiran.

Ia bukanlah bermaksud kita menjaga tepi kain orang. Namun, cukuplah sekadar ambil tahu perihal kesihatan dan keperluannya yang mungkin kita boleh bantu.

Seandainya dikhabarkan jiran, kenalan mahupun saudara-mara dalam keadaan sakit, segeralah melawat mereka.

Ketahuilah, Islam begitu menganjurkan umatnya agar menziarahi saudara seagamanya yang sakit. Ini kerana agama suci itu sangat menitikberatkan umatnya agar menjaga hubungan sesama manusia dan menunaikan hak masing-masing.

Ziarah orang sakit sebenarnya merupakan antara hak-hak yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim kepada saudaranya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hak Muslim ke atas Muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: “Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang, maka penuhilah. Apabila dia meminta nasihatmu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa yarhamukallah). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Riwayat Muslim)

Meskipun kita dianjurkan untuk menziarahi orang sakit, tetapi ada adab dan etika yang perlu dipatuhi sebagaimana yang diajarkan oleh agama Islam.

Ada beberapa adab yang digariskan oleh Islam ketika menziarahi orang sakit tidak kiralah sama ada di rumah atau di hospital.

Antara adab berkenaan adalah:

1. Tujuan ziarah ikhlas kerana ALLAH SWT

Melawatlah orang yang sakit dengan niat yang baik seperti kerana kasih sayang, persaudaraan dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam.

Ingat, janganlah kita menziarahi mereka dengan niat lain seperti ingin mendapatkan kemewahan, pujian dan seumpamanya.

2. Pilih waktu yang sesuai

Jika di hospital, barangkali tiada masalah kerana ada waktu khusus untuk melawat. Andai orang sakit itu berada di rumah, sebaiknya beritahulah mereka atau waris yang menjaganya terlebih dahulu akan kehadiran kita.

Usahlah terlalu lama melakukan ziarah. Bukan apa, dikhuatiri ia akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit. Malah, ia mungkin boleh mengganggu orang sakit berhampiran jika di hospital seperti keadaan bising dan gurau senda yang kuat.

Ziarah orang sakit
DOAKAN agar saudara agama kita yang sakit diberi kesembuhan.

3. Ucapkanlah kata-kata yang baik

Ungkapkanlah kata-kata yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang yang sedang sakit.

Iklan

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” (Riwayat Muslim)

(Artikel berkaitan: 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini)

4. Tidak banyak bertanya atau bercakap

Ketika menziarahi mereka, jangan bercakap atau bertanyakan soalan sensitif yang tidak disukainya. Begitu juga perkataan yang boleh melemahkan semangat dan menambah kesakitannya.

5. Jangan cerita aib atau perkara buruk tentang orang sakit

Sembunyikanlah sebarang keburukan atau keiinginan mereka yang dilihat ketika ziarah.

Iklan

6. Sentiasa mendoakan yang baik-baik

Berdoalah agar mereka diberi kesembuhan atas kesakitan yang dihadapi.

Jagalah adab ketika menziarahi orang sakit. Paling penting adalah menjaga tingkah laku, tutur kata dan tidak membuat bising.

Seperkara lagi, elakkanlah mengambil gambar pesakit ketika di hospital atau di rumah. Andai orang yang sakit itu mengizinkannya, peliharalah aurat dan aibnya ketika gambar dirakam untuk tujuan hebahan dan bantuan. Hukumnya adalah harus.

Jika sebaliknya, jangan melakukan perkara tersebut kerana dibimbangi menimbulkan fitnah.

Sumber: Sinar Islam, laman web Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan