Pernah diuji sakit berkaitan mental… Ini ikhtiar yang dilakukan oleh bekas pesakit hingga sembuh

Diuji sakit mental
November 20, 2020
Nurulfatiha

UJIAN ALLAH SWT kepada manusia diturunkan dalam pelbagai bentuk. Segala bentuk ujian yang diberikan itu bersesuaian dengan kemampuan kita untuk menghadapinya dan menanggungnya.

Andai kata, kita diuji dengan kesakitan, ketahuilah, ia bukanlah penamat kepada kehidupan, tetapi hanyalah perkhabaran.

Sebagai seorang manusia, kita perlu bertawakal, reda dan pada masa sama berusaha mencari solusi atau kaedah terbaik untuk merawat penyakit itu.

Begitulah situasi yang dilalui Nurus Saadah Ahamad Suhim, 24, yang didiagnos mempunyai sakit berkaitan dengan mental suatu ketika dulu.

Nurus Saadah merupakan tetamu program TickTalkTV Edisi 5 telah berkongsi pengalamannya menerusi segmen bertajuk You are loved.

Gadis itu berkata, dia berdepan dengan kemelut berkenaan pada lima tahun lalu.

“Namun, atas izin ALLAH SWT, saya kini mampu mengawal diri dan sembuh selepas merujuk serta menerima rawatan daripada pakar perubatan.

“Sepanjang tempoh berkenaan, saya mengikuti beberapa langkah rawatan seperti terapi dan sokongan sosial,” katanya ketika sesi penggambaran rancangan Tick Surah Talk Santun: Suara Remaja Milenia di Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Rancangan berkenaan yang dihoskan oleh Dai’e Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Hifdzi Zaim Zamri dan disiarkan menerusi platform digital YouTube. Ia menjadi medium anak remaja untuk meluah rasa dan bicara dan mencari solusi daripada al-Quran.

Nurus Saadah yang juga siswi Kolej Poly-Tech Mara, Kota Bharu, Kelantan, beliau pernah melalui trauma pada usia kanak-kanaknya hingga menyebabkan dirinya mengasingkan diri daripada bergaul dengan keluarga, rakan dan orang sekeliling.

“Apabila saya menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir, kehidupan berada tempat asing menyebabkan saya kembali tertekan. Setelah didiagnosis kemurungan, saya berhenti belajar dan kembali tanah air.

“Alhamdulillah, begitu cantik susunan takdir ALLAH. Saya kini menyambung pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang telah memberi peluang kepada saya untuk mempelajari psikologi kanak-kanak,” katanya.

Untuk mengetahui bagaimana Nurus Saadah mengatasi masalah penyakit beliau, ikuti perkongsian selanjutnya dalam program Tick Surah Talk Santun Edisi 5 menerusi platform YouTube TickTalkTV pada 21 November ini (esok), jam 9 malam.

Sementara itu, Hifdzi Zaim berkata, program TickTalkTV merupakan usaha yang baik untuk mendengar keluhan dan masalah remaja yang sering hadapi.

“Tetamu jemputan berkongsi pengalaman sendiri yang mungkin remaja lain hadapi. Kita bukan sekadar mendengar keluhan, tetapi solusi itu kembali kepada al-Quran.

“Kebanyakan remaja mencari penyelesaian ke tempat lain selain daripada al-Quran. Sedangkan kita perlu yakin al-Quran menjadi solusi dan ubati masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

Tick Surah Talk Santun mengandungi empat segmen dalam program tersebut iaitu Suara Remaja Milenia (curahan suara hati anak muda); Apa Kata al-Quran (kupasan pentadabbur mengenai isu anak muda); Pesan Ibu & Ayah (mesej ibu atau ayah) dan doa daripada Surah Al-Furqan, ayat 74 bagi membina legasi anak soleh serta diakhiri dengan istighfar.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti dan like TickTalkTV di Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter.

***Artikel ini ditulis oleh Fouziah Amir

Foto: Freepik & Fouziah Amir

About Nurulfatiha

Biodata Penulis