Portal rasmi berkaitan zakat beri kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam di Selangor

DALAM dunia serba pantas hari ini, manusia semakin sibuk dan mereka sentiasa mencari pelbagai inisiatif yang boleh mempercepatkan segala urusan.

Tidak ketinggalan juga bagi umat Islam, mereka ingin menunaikan kewajipan berzakat dan turut mahukan alternatif pembayaran yang mudah, cepat dan pantas.

Alasan kesibukan, tak nak beratur panjang dan membuang masa lama di kaunter pembayaran zakat menjadi faktor mereka mahukan perkhidmatan berasaskan teknologi dan inovasi terkini.

Memahami kehendak dan keperluan umat Islam semasa, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mewujudkan pelbagai platform atas talian seperti laman sesawang Zakatselangor.com.my serta pelbagai aplikasi terkini bagi memenuhi tuntutan dunia siber.

Bak kata orang, tiada alasan yang lazim digunakan oleh mereka yang tidak sempat membayar zakat. Kesesakan jalan raya, susah nak cari parkir dan kena pula beratur serta menunggu giliran di kaunter zakat, tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk tak tunaikan kewajipan zakat.

Pendek kata semuanya kini hanya di hujung jari. Yang tinggal hanya ‘nak dengan tak nak saja’.

Dengan adanya portal rasmi Lembaga Zakat Selangor, rakyat Malaysia terutamanya yang berada di Selangor akan mendapat manfaat dan perkhidmatan atas talian di hujung jari.

Apa tidaknya, semua kemudahan disediakan di portal itu untuk kemudahan umat Islam. Sebagai contoh kemudahan e-zakat yang disediakan di laman sesawang LZS cukup untuk memenuhi keperluan para pembayar zakat.

E-zakat adalah satu kaedah pembayaran zakat secara online di www.zakatselangor.com.my yang menyediakan platform transaksi kewangan secara atas talin dan menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Pembayaran melalui kaedah ini terbuka kepada pembayar-pembayar yang mempunyai Akaun Simpanan atau Semasa dengan ejen kutipan yang dilantik dan mendaftar sebagai pengguna kemudahan perbankan internet.

Dengan hanya satu klik, kita bukan sahaja mampu mendapatkan pelbagai informasi berguna mengenai zakat, tetapi juga melakukan taksiran dan juga menunaikan zakat dengan cepat dan tepat.

Selain e-zakat, portal rasmi Zakatselangor juga turut menyediakan urusan atas talian lain, antaranya urusan penunaian zakat, adalah e-Zakat Pay, kad kredit, perbankan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), perbankan telefon dan mesin ATM.

Setakat hari ini juga, sebanyak sembilan institusi bank telah mengambil bahagian menyediakan perbankan internet bagi transaksi zakat.

Manakala, kad kredit Islamik dan kad debit menjadi medium baharu transaksi tanpa tunai yang diidamkan ramai golongan muda sekarang.

Malahan portal ZakatSelangor juga turut dijadikan medium oleh LZS untuk menyalurkan bantuan-bantuan tertentu. Para pemohon boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh LZS.

Ini termasuklah Bantuan Banjir Selangor yang digerakkan di bawah inisiatif LZS Peduli, di mana bantuan secara ‘one-off’ diberikan kepada ketua keluarga yang terjejas akibat bencana alam di negeri itu baru-baru ini.

Kemudahan ini menjadi sebahagian daripada inovasi transaksi zakat menerusi internet yang boleh dicapai. Insya-ALLAH di masa hadapan mungkin banyak lagi kemudahan zakat atas talian dapat disediakan LZS untuk keselesaan para pengeluar zakat di negeri ini.

Apa yang penting, ia bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat; bahkan memungkinkan umat Islam terhindar daripada dosa melalaikan zakat kerana alasan kesibukan dan sebagainya.