MANUSIA zaman sekarang lebih berfikiran terbuka. Walaupun mungkin ada yang bersifat sebaliknya, namun kita tetap perlu meraikan perbezaan dalam setiap kalangan masyarakat.

Begitupun, sifat terbuka itu perlulah kena pada tempatnya. Bukan semua isi hati terutama yang terlalu bersifat peribadi perlu diluahkan secara terbuka.

Apatah lagi jika ia dikongsikan di laman sosial masing-masing. Natijahnya, hampir satu dunia tahu apa yang tersirat dalam sanubari kita.

Masakan tidak, jika rasa marah atau tidak berpuas hati dengan apa sahaja perkara, semuanya mahu diluahkan di media sosial berkenaan.

Status menyakiti orang lain
BERHATI-HATILAH apabila memuat naik status atau hantaran di media sosial masing-masing terutama ketika sedang tertekan atau marah. 

“Ish, dia ni sikit-sikit up status marah, lepas tu tak puas hatilah, nak mengamuk dan macam-macam lagi. Benda boleh settle di luar, tak perlulah update di laman sosial. Rasa macam tak seronok bila status macam ni lalu dekat wall Facebook.”

(Artikel berkaitan: Sedih, benci, marah, murung atau gagal… ini cara ‘move on’ berkesan)

Barangkali itulah yang dirasakan orang lain yang membaca status media sosial individu berkenaan.

Apa pandangan Islam tentang sikap segelintir orang yang gemar memuat naik hantaran atau status yang menyakiti orang lain?

Pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, sebenarnya, golongan yang suka meluahkan perasaan atau apa sahaja yang dimuat naik di media sosial yang menggambarkan rasa hatinya itu menunjukkan bahawa mereka sedang ‘berpenyakit’.

AHMAD DUSUKI

“Apatah lagi jika kita menunjukkan diri kita dalam keadaan yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu. Ia tidak kiralah sama ada di laman sosial Facebook, Instagram atau TikTok,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketahuilah, sebagai seorang Mukmin, kita diajar supaya meluahkan segala apa yang berlaku kepada ALLAH SWT, tegas Ahmad Dusuki.

Ujar beliau, hanya ALLAH SWT sahaja yang menjadi tempat kita mengadu meskipun dalam urusan kehidupan kita.

 

Status menyakiti orang lain
BERDOALAH dan mengadu kepada ALLAH SWT tidak kiralah berkaitan urusan duniawi mahupun ukhrawi.

“Dalam tadahan doa kita, mintalah kepada ALLAH; ‘Ya ALLAH bantulah saya, Ya ALLAH’.

“Jika ada orang yang sakitkan hati kita, kita baca doa supaya ALLAH sembuhkan kita,” ujarnya.

Sesungguhnya, hanya kepada ALLAH SWT sahajalah tempat kita mengadu dan bergantung harap kepada-NYA.

Andai dirundung masalah atau kesedihan, jangan malu untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

ALLAH SWT sebaik-baik pendengar. Berdoalah semoga dibukakan jalan untuk kita menyelesaikan apa sahaja yang membelenggu diri dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi.

Sumber: Instagram @ustazahmaddusuki

Foto: Freepik