Syurga di bawah telapak kaki ibu… Berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan

Berbakti kepada ibu
August 28, 2020
Oleh Nurulfatiha

TIDAK terhitung betapa banyaknya jasa seorang ibu kepada kita. Bukan setakat membesarkan dan mendidik kita sejak kecil, tetapi keringatnya sudah bermula sejak kita dalam kandungan ibu lagi.

Saat tahu dirinya hamil, ibu sanggup mengerah kudratnya untuk melawan sakit pening demi memastikan anaknya selamat dalam kandungan. Ketika melahirkan kita, ibulah bertarung nyawa agar kita selamat melihat dunia.

Maka sebab itulah Islam menyuruh umatnya agar berbuat baik kepada ibu bapa. Ada beberapa adab yang diajar dalam kita menyantuni kedua orang tua.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor, Kampus Segamat, Rafiuddin Mohd Yusof ada memperincikan lanjut tentang perkara itu kepada Sinar Islam.

Jom ikuti perkongsian beliau:

Setiap daripada kita dilahirkan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini melalui seorang ibu. Pelbagai gelaran yang dipanggil. Antaranya ialah ibu, emak, umi, mama dan bonda.

Apa jua gelaran sekalipun, seorang ibu telah melakukan pengorbanan besar dalam hidupnya. Mereka mengandungkan dan seterusnya melahirkan kita. Walaupun usia kandungan yang berbeza dan cara kita dilahirkan sama ada secara normal atau pembedahan tetapi semua itu ibarat perjuangan bertarung nyawa untuk melahirkan seorang zuriat.

Justeru, sebagai seorang anak, kita wajib menyayangi dan mengasihi insan yang telah berbakti kepada kita, tidak kira sama ada mereka masih hidup atau telah bertemu Pencipta.

Penat lelah seorang ibu yang sanggup mengorbankan waktu tidur dan rehatnya dalam memastikan kita terus membesar dalam keadaan yang baik memang tidak terbalas. Malah, ada juga yang sanggup tidak makan dan minum semata-mata untuk memastikan kita dijaga dengan baik pada setiap saat.

Iklan

Firman ALLAH SWT: “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada AKULAH kamu kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Ketahuilah, ada banyak cara untuk kita menyayangi dan mengasihi seorang ibu. Bukan bergantung semata-mata kepada wang ringgit sahaja, tetapi berdasarkan pertolongan dan tingkah laku. Maka, beruntunglah mereka yang masih ada ibu di dunia untuk membalas jasa baik mereka.

Namun begitu, kepada yang kehilangan ibu buat selama-lamanya, jangan pernah berhenti berdoa untuk insan yang banyak memerah keringatnya untuk kita. Pelbanyakkanlah berdoa agar dosa ibu kita diampunkan oleh ALLAH dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

(Artikel berkaitan: Ibu panggil ketika solat, apa nak buat? Perlu sahut atau abaikan saja?)

Sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak soleh yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Iklan

Reda ibu

Seperkara lagi, reda ibu sangat penting dalam kehidupan seseorang. Ini kerana ibu merupakan insan yang telah diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT sewaktu mengandung dan melahirkan kita.

Berbakti kepada ibu
SELAGI masih bernyawa, berbakti dan berbuat baiklah kepada ibu dan juga bapa. Gambar kecil kiri, Rafiuddin.

Dalam segala perlakuan dan tindak-tanduk, kita perlu mendapatkan reda seorang ibu terutama bagi seorang lelaki. Masakan tidak, seorang lelaki masih perlu mengikut kata-kata dan nasihat ibu selagi tidak melanggar syariat walaupun telah berkahwin.

Berbeza bagi seorang wanita yang telah berkahwin, suami adalah tempat yang mereka perlu patuh dan taat serta mendengar kata selagi tidak melanggar ajaran agama.

Dalam perbualan mahupun tutur kata, seharusnya kita menggunakan bahasa-bahasa yang baik agar tidak mengguris hati ibu. Sentiasalah berkomunikasi dan berbincang sekiranya ada apa-apa perkara tertentu supaya tidak timbul salah faham.

Namun, ingatlah bahawa dalam berbicara, jangan sesekali meninggikan suara. Apatah lagi menjerkah atau menjerit kepada ibu semata-mata kerana sesuatu yang kita tidak puas hati. Penggunaan bahasa cukup penting dalam menjalin hubungan yang baik dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Sehubungan itu, janganlah kita meminggirkan ibu setelah usia mereka meningkat dengan tidak mengambil berat akan dirinya. Kasihanilah dan sayangilah ibu sebagaimana mereka sangat mengasihi kita sejak berada di dalam kandungan lagi.

Selagi kudrat masih ada, berusahalah untuk bersama-sama menjaga ibu kita kelak sekiranya mereka sakit. Jika ibu dalam keadaan sedih, gembirakanlah mereka dengan selalu menjenguk dan bertanya khabar melalui panggilan telefon, video dan sebagainya.

Ingatlah, pengorbanan seorang ibu sangat besar di sisi ALLAH SWT dan ganjaran pahala yang besar menanti mereka. Oleh yang demikian, jauhi sifat mazmumah terhadap ibu kita.

Paling penting, jangan sampai kita tidak pernah mengaku bahawa mereka merupakan ibu kita. Sentiasalah bermuhasabah diri dan renungilah kata-kata ini: Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis