Yang ada emas dan wang simpanan, jangan lupa bayar zakat

Zakat emas dan wang simpanan
May 22, 2020
Oleh Nurulfatiha

KALAU bab zakat fitrah, memang laju saja orang bayar. Maklum sajalah, ia perlu dibayar pada bulan Ramadan. Tempohnya pula hanya sebulan. Kalau terlupa, tiada masalah sebab amil ada di mana-mana hatta di pusat beli-belah sekalipun.

Itu dululah ketika negara kita bebas daripada wabak. Namun, situasi kini berbeza kerana pembayaran zakat fitrah kebanyakannya dilakukan secara online demi mengekang penularan wabak Covid-19 ini.


Cumanya, zakat fitrah ini memang waktu pembayarannya ketika bulan Ramadan.

Bagaimana pula dengan zakat-zakat yang lain seperti emas dan wang simpanan? Adakah perlu juga ditunaikan dalam bulan Ramadan sepertimana zakat fitrah dan bilakah waktu sesuai untuk membayarnya?

Kemusykilan ini Sinar Islam ajukan kepada pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki untuk menjawabnya.

Iklan

USTAZ MUSTAFAR

Ini jawapan agamawan tersebut:

“Zakat merupakan Rukun Islam ketiga yang wajib dikeluarkan apabila cukup syarat-syaratnya iaitu Islam, merdeka, milik sempurna, cukup haul, cukup nisab dan harta itu berkembang. Ia termasuklah zakat emas dan simpanan.

Iklan

Adapun zakat fitrah pula disyaratkan apabila mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi raya, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari, memeluk Islam sebelum terbenam matahari akhir Ramadan atau meninggal selepas terbenam matahari Ramadan.

Waktu wajib membayar zakat fitrah pula secara ringkasnya mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki bermula waktu Maghrib malam raya. Waktu sunat pula mengikut Mazhab Syafie adalah sebelum solat sunat hari raya, manakala waktu haram adalah selepas solat sunat hari raya tanpa uzur mengikut pandangan Mazhab Syafie dan selainnya.

Bagaimanapun, bagi zakat emas atau simpanan, ia mestilah dikeluarkan zakatnya apabila cukup syarat-syaratnya seperti di atas tanpa melengahkannya seperti arahan ALLAH SWT dalam Surah al-An’am, ayat 141. Itulah pendapat Imam Ibn Battal, al-Hafiz Ibn Hajar dan selain mereka.

Mengikut logik akal, bagus dikeluarkan pada bulan Ramadan. Akan tetapi, dalil dan pendapat para ulama lebih diutamakan untuk dipakai,” jelas beliau.

Oleh sebab waktunya yang tidak semestinya sama dengan pembayaran zakat fitrah, namun janganlah kita lupa untuk menunaikan kewajipan kita ya. Ingat, dalam rezeki yang kita peroleh, terkandung hak orang lain di dalamnya!

Foto: Bernama

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis