MENGHANTAR dan menjemput anak di taska adalah rutin ibu bapa yang bekerja. Oleh kerana pelbagai tuntutan kerja atau kesesakan lalu lintas, adakalanya waktu untuk menjemput mungkin terlewat daripada kebiasaan.
Bagaimanapun ibu bapa tidak perlu risau kerana mengetahui kakitangan taska pasti akan menjaga si kecil dengan baik sehingga dijemput.
Bagaimanapun, apa yang terjadi kepada kanak-kanak berusia dua tahun di Florida ini boleh menimbulkan trauma kerana ditinggalkan seorang diri dalam keadaan gelap dan terkunci di taska.
Situasi cemas itu disedari si ibu, Stephanie Martinez yang ke taska untuk menjemput anaknya bernama Anastacia.
Bagaimanapun, alangkah terkejutnya Martinez. Setibanya dia di taska, kawasan parkir kosong dan bangunan itu berkunci.
Baca juga: Nota kakak bongkar penemuan adik 4 tahun maut dalam peti sejuk, mangsa dera kekasih ibu
Dia kemudian menghubungi ibu saudara kanak-kanak itu untuk bertanya sama ada anaknya sudah dijemput.
"Saya mula mengetuk setiap tingkap. Saya tidak dapat melihat apa-apa kerana semuanya gelap.
"Dan akhirnya, saya mendengar suaranya dan dia muncul di tingkap kecil dan pintu,” katanya.
Menyedari tiada siapa pun di taska berkenaan, Martinez dalam cemas terus menghubungi perkhidmatan kecemasan 911.
Dia kemudian mendapati pekerja taska berkenaan meninggalkan lokasi pada 6.20 petang, hanya lapan minit sebelum dia tiba.
Difahamkan dua kakitangan taska berkenaan dilaporkan diberikan cuti sementara siasatan dijalankan.
"Tiada sesiapa pun yang sepatutnya melalui ini. Anda membayar perkhidmatan mereka tetapi diabaikan. Saya masih terkejut hingga sekarang,” katanya ibu itu.
Martinez dilaporkan mengambil tindakan undang-undang ke atas taska terbabit supaya kejadian serupa tidak berlaku kepada kanak-kanak lain.
INFO KESELAMATAN KANAK-KANAK DI TASKA
Bagi kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun, mereka mula memiliki keupayaan fizikal yang lebih baik. Pada peringkat usia ini kanak-kanak mudah terdedah kepada pelbagai risiko kecederaan seperti berikut:
1. Terjatuh
2. Lemas
3. Luka
4. Patah
Langkah-langkah keselamatan
- Sentiasa mengawasi kanak-kanak ketika bermain.
- Meneruskan pengawasan ketika mandi.
- Mengajar mereka supaya berhenti, melihat, mendengar dan berfikir.
- Menyediakan tempat permainan yang selamat di dalam dan di luar rumah.
- Menyimpan peralatan berbahaya dan tajam seperti cangkul, gunting serta lain-lain ke dalam tempat khas yang tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
Diharapkan peristiwa yang dihadapi Stephanie Martinez dan anaknya, Anastacia menjadi pengajaran kepada kita semua. Pelbagai perkara buruk boleh berlaku dalam masa beberapa minit kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian.
Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab orang dewasa di sekelilingnya, usah lalai dan cuai.
Baca juga: Bayi maut retak kepala, lepas 15 minit hantar ke rumah pengasuh. Warganet titip doa
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sumber: Daily Mail, Metro UK, infosihat.gov.my (Panduan Pengendalian Kesihatan & Keselamatan Kanak-Kanak di Taska)