SEJAK akhir-akhir ini banyak berlaku kes yang melibatkan kanak-kanak. Perkongsian seorang bapa mengenai situasi mencemaskan yang mana anaknya lemas menimpa wajar dijadikan pengajaran.

Siapa menyangka kemahiran melakukan resusitasi kardiopulmonari (Cardiopulmonary Resuscitation – CPR) ibunya membantu menyelamatkan kanak-kanak terbabit, Alita Raysha.

Perkongsiannya disiarkan semula oleh Public Health Malaysia boleh dijadikan iktibar kepada kita tentang pentingnya CPR.

“Ini kronologi apa yang berlaku kepada keluarga Encik Abdul Rahim, harap jadi iktibar kepada ibu bapa yang lain.

“Syukur ibunya SuperMom, tidak pernah menyerah dan terus memberi bantuan CPR,” kongsi page kesihatan awam itu.

Cemas dan mendebarkan, itulah yang dapat dilihat menerusi paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ituasi yang dilalui.

Berikut kronologi kejadian yang diceritakan Abdul Rahim:

1. Jam 3.20 petang anak bongsu kami Alita Raysha lemas dalam kolam ketika bermain. Dia telah mengambil kerusi dari belakang rumah dan memanjat penghadang.

2. Kemudian kebetulan abangnya lalu dan nampak Alita kaku di dalam kolam.

3. Abangnya panggil saya dan isteri. Isteri saya cepat – cepat mengangkat Alita yang sudah kaku dari kolam.

4. Isteri saya, seorang bekas jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya yang selayaknya digelar Super Mom, Atikah Mohd Ramzan dengan tenang melakukan CPR ke atas anaknya sendiri yang sudah tidak bergerak ketika  itu.

5. Badan Alita dah keras dan membulat masa buat CPR tu, tiada respon apa-apa langsung. Memang dah terasa seperti kehilangan anak kami masa tu.

6. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT setelah lakukan CPR dengan sabar sambil memanggil nama anak kami tanpa mengalah, Alita kemudian merengek dengan sangat perlahan. Anak kami telah kembali kepada kami lima minit selepas lakukan CPR. Kami terus hantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

7. Setelah stabil di Jabatan Kecemasan, anak kami dihantar ke Paediatric High Dependency Unit (PHDU). Namun pada jam 10.00 malam, Alita diserang sawan yang memberi isyarat mungkin ada gangguan pada otak akibat terputus oksigen seketika pada insiden petang tadi.

8. Pada jam 10.30 malam, doktor memindahkan anak kami ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik untuk pemerhatian rapi.

9. Alhamdulillah, pagi (keesokannya) Alita telah sembuh sepenuhnya dan menunggu tempoh 24 jam untuk discaj.

Gambar hiasan

Menurut Abdul Rahim, dia berkongsi hal ini kepada orang ramai agar ia dijadikan pengajaran pentingnya untuk tahu melakukan CPR.

Saya naikkan video ini hari ini agar menjadi pengajaran kepada yang lain untuk sentiasa berhati – hati. Lima minit sudah cukup untuk insiden seperti ini berlaku.

“Kami jadikan ini pengajaran dan pengalaman betapa pentingnya pengetahuan CPR.

“Tanpa tindakan pantas isteri saya semalam, kami mungkin kehilangan anak selama – lamanya dan menghabiskan baki usia kami dengan penyesalan yang tak berkesudahan. Tak dapat malah tak sanggup kami bayangkan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kolam di rumahnya itu digunakan untuk mengajar anak-anak tentang pengetahuan berenang dan mengapungkan badan dalam air ketika kecemasan.

Tambahnya, kakak dan abang Alita sudah pandai berenang dan mengapungkan diri. Bagaimanapun tapi Alita belum habis belajar lagi.

“Hari ini kami ambil keputusan untuk simpan kolam ini, cuma mungkin pasang kemudian apabila anak dah betul – betul dewasa nanti. Mungkin juga tidak pasang terus.

“Ia juga menjadi pengajaran kepada kami yang mana setinggi mana penghadang sekalipun, anak tetap boleh ambil kerusi dan panjat. Pengawasan maksima ke atas anak – anak sentiasa diperlukan,” tambahnya.

Gambar hiasan.

Sementara itu, Abdul Rahim berkongsi bahawa Alita telah dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi Pediatrik dan mungkin akan discaj sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Bapa kepada empat cahaya mata itu bersyukur semuanya berakhir dengan baik. Dia menzahirkan penghargaan buat pasukan perubatan atas rawatan dan layanan yang diterima sepanjang berada di hospital

“Alhamdulillah. Semuanya selesai. Terima kasih kepada yang mendoakan.

Iklan

“Kepada isteri, saya ingin dia tahu yang dia telah melakukan perkara yang tepat pada hari itu.

“Sekalung penghargaan kepada Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB yang memberi layanan terbaik. Hanya Tuhan dapat membalas jasa baik kalian.

“Semoga apa yang berlaku pada kami ini akan menjadi pengajaran pada ibu bapa yang lain juga. Anak adalah rezeki dan juga tanggungjawab. Jagalah sebaiknya,” katanya.

Diharapkan kita semua berwaspada dan melengkapkan diri dengan ilmu pertolongan cemas CPR yang berguna seperti dalam situasi membahayakan dan kemalangan.

Baca juga: Kanak-kanak lemas dalam kolam buatan sendiri, ibu bapa ambil iktibar awasi anak

Baca juga: Budak lemas depan mata, gagal kesan mak ayah. Perkongsian pemuda kongsi buka mata ramai

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Kredit : Abdul Rahim