KEGIGIHAN sebuah keluarga yang menggali setiap kawasan tanah di sepanjang sungai yang terjejas akibat letusan gunung berapi di Jawa Timur, Indonesia sejak lebih lapan bulan lalu membuatkan netizen sebak.
Tujuan mereka bukanlah mahu mencari hasil emas atau barangan berharga, tetapi demi jasad anak mereka yang tertimbus akibat insiden menakutkan tersebut.
Ahmad Rendy Pratama yang berusia 19 tahun dipercayai hilang selepas keluar untuk mengambil ayahnya yang bekerja sebagai pembuat gula di seberang sungai di Lumajang.
Lapor Kompas, mangsa dipercayai melalui kawasan sungai tersebut ketika berlakunya letusan gunung berapi dan hilang tanpa dapat dikesan.
Meskipun kejadian sudah berlaku pada Disember tahun lalu, namun bapa mangsa, Muhammad Zuhri tidak pernah putus asa dan terus mencari anaknya yang dipercayai masih tertimbus.
Walaupun hanya berbekalkan cangkul dan sabit, lelaki tersebut tidak pernah berhenti berharap untuk bertemu kembali dengan anaknya walaupun hanya tinggal rangka.
Baca juga Letusan gergasi 1,000 tahun sekali gunung berapi Tonga beri impak hingga ke Alaska!
Sudah berhabis duit demi mencari putera sulungnya dengan menyewa jentera berat dan peralatan menggali, Muhammad tidak betah hanya duduk diam.
Walaupun dalam keadaan sakit sekalipun, lelaki itu tetap gigih berulang-alik ke kawasan sungai dengan harapan cukup tinggi.
PENCARIAN BERAKHIR
Selepas sekian lamanya, penemuan rangka manusia yang tertimbus di kawasan sungai di Dusun Kampung Renteng, Lumajang baru-baru ini benar-benar membuatkan keluarga itu tergamam.
Jasad yang lengkap dengan pakaian yang ditemui oleh seorang pencari pasir membuatkan bapa malang berkenaan percaya bahawa itulah anaknya yang dicari-cari selama ini.
Hal itu diperkuatkan lagi dengan jenis pakaian berwarna hitam dengan tulisan Jogja manakala seluar jean yang dipakai buat kali terakhir berwarna biru gelap.
Saat dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh penduduk kampung, Muhammad sedang berehat di rumah disebabkan keletihan melampau terus bergegas ke lokasi kejadian.
Baca juga Terpisah 24 jam lari dari debu panas gunung berapi, isteri menangis lihat suami masih hidup
Selepas diamati satu persatu rangka tersebut, Muhammad dan isterinya yakin bahawa jasad yang diperkatakan sememangnya anak mereka.
Pasangan suami isteri itu kemudian terus membawanya pulang untuk disemadikan tanpa sebarang prosedur bedah siasat, malah kenduri tahlil selama tujuh hari turut diadakan.
Kisah yang terjadi kepada Muhammad turut dialami lebih 40 buah keluarga lain yang kehilangan ahli keluarga.
Berdasarkan rekod, gunung terbesar di Pulau Jawa tersebut meletus pada 4 Disember lalu dan menjejaskan lebih 900 keluarga.
Debu tebal, gas dan lava mengalir sepanjang 800 meter ke kawasan sungai berhampiran sekali gus menyebabkan ramai terkorban.
Sayu melihat kesungguhan keluarga berkenaan yang tidak mengenal erti putus asa demi mencari jasad anak yang dikasihi.
Bukan mudah untuk menerima hakikat kehilangan orang tersayang sekelip mata, jadi sayangilah ahli keluarga masing-masing sementara mereka masih ada.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan