PERGELANGAN tangan kebas dan kesakitan. Adakalanya satu urusan pun tidak mampu dilakukan, rasa ngilu sukar digambarkan. Rupa-rupanya ia Carpal Tunnel Syndrome yang banyak menyerang wanita.
Mungkin ramai dalam kalangan wanita yang mengalami Carpal Tunnel Syndrome atau sindrom terowong karpal tetapi tidak menyedarinya atau beranggapan ia adalah kebas-kebas biasa.
Pegawai Perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang melalui entri Facebooknya, berkongsi Carpal Tunnel Syndrome ataupun sindrom terowong karpal adalah penyakit disebabkan himpitan pada saraf median tangan.
Ia lazimnya menyebabkan tangan berasa kebas, sakit dan 'semut-semut' khususnya pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.
Baca juga: Awas! Rasa kebas lepas bangun tidur mungkin petanda 5 masalah kesihatan ini
Baca juga: Wanita, awas jika jantung tiba-tiba laju. Ini punca, tindakan perlu buat
Baca juga: Demam selesema biasa, influenza, denggi, ini tanda yang membezakan. Wanita wajib tahu
BAGAIMANA IA TERJADI?
Mengulas bagaimana keadaan ini terjadi, Dr Ahmad Samhan menerangkan proses himpitan yang melibatkan beberapa struktur tangan.
"Terowong karpal adalah salah satu laluan untuk beberapa struktur daripada bahagian lengan ke bahagian tapak tangan. Struktur yang berada di dalam terowong tersebut adalah saraf median dan juga tendon daripada otot.
"Terowong ini disempadani dengan tulang karpal pada bahagian bawah dan ditutupi tisu penghubung yang dinamakan sebagai ‘Flexor retinaculum’,” katanya.
Menurutnya, apabila kawasan dalam terowong itu membengkak, ia akan menghimpit saraf median dan seterusnya mengganggu fungsi saraf tersebut.
"Hasilnya, kekuatan genggaman tangan semakin berkurangan dan pada tapak tangan dapat dilihat otot tersebut semakin mengecut," tambahnya.
SIAPA YANG BERISIKO?
Terdapat sembilan kumpulan individu yang berisiko mengalami Carpal Tunnel Syndrome seperti berikut;
1. Pekerjaan: Melibatkan pekerjaan yang menggunakan tangan yang banyak seperti menaip sepanjang hari, cef dan tukang jahit.
2. Umur yang meningkat: Kebanyakan pesakit berumur 30 tahun ke atas
4. Berat badan yang semakin meningkat
5. Mereka yang memiliki ukuran ketinggian yang rendah
6. Mengandung
7. Hypotiroidisme (kurang hormon tiroid)
8. Keturunan: Mereka yang mempunyai saudara yang menghidapi Carpal Tunnel Syndrome berkemungkinan lebih besar untuk turut mengalaminya. Ia mungkin disebabkan oleh persamaan struktur badan.
9. Beberapa jenis penyakit: Kencing manis, rheumatoid arthritis, kegagalan buah pinggang, tumor dalam terowong karpal, amyloidosis dan beberapa jenis penyakit lain
SIMPTOM
1. Tangan kebas
2. Sakit
3. Rasa 'semut-semut'
4. Selalunya ketiga-tiga simptom ini akan menjadi semakin teruk apabila waktu malam. Pesakit akan tiba-tiba terbangun disebabkan kesakitan pada tangan yang terlibat.
5. Kekuatan untuk genggaman dan mencubit juga semakin berkurangan
6. Dapat dilihat perbezaan otot di antara tangan yang mengalami sindrom tersebut dengan tangan yang normal. Tangan yang mempunyai masalah tersebut mempunyai otot yang lebih kecil.
Baca juga: Wanita pengguna vape, pod, bahaya menanti, kisah paru-paru bocor ini jadikan pengajaran
RAWATAN
Langkah rawatan di bawah boleh dilakukan untuk mengurangkan simptom sindrom terowong karpal iaitu:
1. Penggunaan anduh pada pergelangan tangan: Ia perlulah digunakan terutamanya waktu tidur supaya kedudukan tangan pada posisi yang neutral
2. Menjalani fisioterapi
3. Penggunaan ubat: Suntikan steroid dalam terowong karpal telah terbukti mampu mengurangkan simptom tersebut. Ia selalunya dibuat apabila rawatan lain tidak berkesan
4. Pembedahan: Pesakit yang masih mempunyai simptom setelah menerima rawatan mungkin akan dinasihatkan untuk melakukan pembedahan
Baca juga: Wanita ini kongsikan teknik ‘deep clean tilam’ dengan cara mudah. Jadikan rutin empat bulan sekali
Dalam pembedahan ini, bahagian atas terowong karpal iaitu tisu flexor retinaculum akan dibuka dan dilepaskan untuk mengurangkan tekanan di dalam terowong tersebut.
Selalunya, pembedahan akan melibatkan bius setempat. Iaitu bius pada bahagian tangan sahaja. Pesakit tersebut masih sedar ketika mana pembedahan tersebut dibuat. Pesakit akan dibenarkan pulang pada hari sama pembedahan kerana ia melibatkan pembedahan yang kecil sahaja.
Baca juga: Kenali tanda 5 jenis kemurungan wanita, bukan efek emosi saja, fizikal turut terjejas
Sumber: Facebook Dr Ahmad Samhan Awang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan