PEMBIUSAN umum atau “general anaesthesia” ialah proses di mana pesakit akan ditidurkan untuk pembedahan.

Semasa pembedahan sedang dilakukan, pesakit akan berada dalam keadaan tidak sedar (tidur) dan tidak merasa kesakitan.

Menurut Pakar Anestesiologi, Jabatan Anaesthesiologi dan Unit Rawatan Rapi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Isqandar Adnan, dalam tatacara pengurusan pesakit untuk pembedahan, doktor bius akan dimaklumkan oleh doktor bedah tentang apakah jenis atau bentuk pembedahan yang akan dilakukan, jangka masa pembedahan dan pengurusan pesakit selepas pembedahan.

“Sebelum pembedahan dilakukan, doktor bius akan berjumpa dan memeriksa pesakit. Proses ini dinamakan pengurusan pra-pembedahan. Pesakit akan diperiksa dengan teliti samada sesuai atau tidak untuk diberi bius semasa proses pembedahan.

“Maklumat penyakit yang lengkap termasuk sejarah alahan atau alergi, pemeriksaan fizikal termasuk berat dan tinggi amat penting semasa proses pengurusan pra-pembedahan. Setiap pesakit mempunyai masalah perubatan yang berbeza dan ini akan menentukan perancangan pembiusan.

”Pada masa yang sama, pesakit berpeluang bertanyakan soalan dan kemusykilan yang ada. Soalan-soalan ini akan cuba dijawab sebaik mungkin oleh doktor bius,” katanya.

Pesakit atau waris akan diminta untuk menandatangani kebenaran untuk pembiusan. Seterusnya, pesakit akan diminta untuk berpuasa sekurang-kurangnya enam jam sebelum pembedahan dijalankan.

Selepas urusan pra-pembedahan dan berpuasa selesai, pesakit akan dibawa ke dewan bedah pada hari pembedahan. Di dalam dewan bedah, data pesakit akan disemak untuk memastikan semua maklumat yang diterima adalah betul. Selepas itu pesakit akan ditempatkan di atas meja pembedahan dan alat pemonitoran asas fisiologi disiapkan.

Jarum plastik (branula) akan dipasang di bahagian tangan untuk tujuan pemberian ubat bius, ubatan lain dan cecair badan. Doktor bius akan menyediakan ubat bius dan alat resusitasi yang bersesuaian dengan pesakit berdasarkan latar belakang perubatan dan berat badan. Mesin anaestesia, tiub endotrakea dan alatan pernafasan lain akan diperiksa sebelum proses pembiusan dimulakan.

Pemantauan monitor asas fisiologi lengkap semasa pembiusan merangkumi EKG (penjagaan denyutan jantung), Dinamap (tekanan darah), Oksimetri (saturasi oksigen) dan Kapnograf (paras karbon dioksida) direkodkan sepanjang proses pembiusan dan pembedahan. Selepas persediaan ini selesai dan keadaan pesakit stabil, proses pembiusan pesakit akan dimulakan.

Menurut Dr Isqandar, terdapat empat fasa secara amnya untuk pembiusan penuh.

Fasa 1

Pembiusan ialah fasa induksi pembiusan atau ‘induction anaesthesia’. Fasa ini bertujuan untuk memenuhkan paru-paru pesakit dengan oksigen. Ia dilakukan dengan pemberian oksigen melalui topeng muka pernafasan. Pesakit akan diminta bertenang dan bernafas seperti biasa.

Selepas itu, ubat bius intravena akan disuntik melalui jarum plastik (branula) dan pesakit akan tidur dalamasa 13 hingga 15 saat. Pada masa ini, pesakit terus mendapat oksigen dan gas bius (gas tidur) yang diberi menggunakan mesin anestesia.

Tiub endotrakea kemudiannya akan dimasukkan ke dalam salur pernafasan pesakit. Mesin anaestesia akan berterusan menyalurkan oksigen dan gas tidur kepada pesakit.

Fasa 2

Pembiusan pada fasa ini ialah fasa penyelenggaraan pembiusan atau ‘maintenance of anaesthesia’. Fasa ini merupakan fasa di mana doktor bius akan berada sepanjang masa bersama pesakit, memantau pemonitoran fisiologi dan memberi ubat dan cecair badan yang diperlukan semasda proses pembedahan.
Dalam fasa ini, keadaan pesakit boleh menjadi stabil atau sebaliknya. Denyutan jantung, tekanan darah, kadar saturasi oksigen terus dipantau dan dos gas tidur akan dikawal untuk memastikan ia mencukupi untuk pembiusan dan tidak diberi secara berlebihan.

Ubat bius lain yang diperlukan akan diberikan dalam fasa ini termasuk ubat loya atau ubat tahan muntah, pelbagai jenis ubat penahan sakit dan ubat relaksasi otot. Doktor bius mesti berada dengan pesakit sepanjang tempoh pembedahan sedang berjalan. Keselamatan semasa pembiusan dan pembedahan menjadi satu keutamaan yang sangat penting dalam menjaga nyawa pesakit.

Fasa 3

Fasa ini ialah pembalikan pembiusan atau ‘reversal of anaesthesia’. Selepas pembedahan selesai, pesakit akan melalui proses untuk disedarkan semula dari keadaan tidak sedar (tidur). Pemberian gas tidur akan dihentikan dan kadar aliran oksigen akan dinaikkan. Ini bertujuan untuk mempercepatkan gas tidur dibuang dari badan pesakit melalui paru paru dengan cepat.

Selepas itu, pesakit secara perlahan-lahan akan mula bernafas sendiri dan sedar sedikit demi sedikit. Ubat pembalikan relaksasi otot akan diberikan jika perlu. Pemantauan pemonitoran asas fisiologi terus direkodkan semasa proses penyedaran ini berlaku.

Perlahan-lahan pesakit akan semakin sedar dan boleh menurut arahan mudah seperti membuka mulut sendiri. Air liur di rongga mulut akan disedut keluar jika ada. Pesakit kemudiannya akan semakin sedar dan tiub endotrakea akan dicabut keluar. Pesakit akan dipastikan agar dapat bernafas sendiri, diberi oksigen menggunakan topeng muka. Pesakit akan dipindahkan ke bilik pemerhatian setelah sedar sepenuhnya.

Fasa 4

Fasa ini ialah proses pemulihan pembiusan atau ‘recovery from anaesthesia.’ Pesakit berada di bilik pemerhatian, dijaga oleh doktor bius dan jururawat. Pesakit akan diberi oksigen dan pemantauan denyutan jantung, tekanan darah dan saturasi oksigen diteruskan.

Iklan

Sekiranya perlu, ubat tahan muntah dan penahan sakit boleh diberi. Pesakit akan dinilai dari segi tahap kesedaran diri dan pemeriksaan komplikasi pembiusan dan pembedahan (jika ada). Pesakit berada di bilik pemulihan selama sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit. Sekiraya keadaan stabil, pesakit akan dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan selanjutnya.

Baca juga: 7 Info Vaksin CoronaVac Yang Sesuai Untuk Remaja, Telah Diluluskan Oleh KKM

Seperti pembedahan, pembiusan umum juga mempunyai risiko yang tersendiri. Antara risiko yang biasa berlaku tetapi tidak memudaratkan pesakit ialah:

  1. Kesakitan atau bengkak di bahagian tangan iaitu kesan suntikan ubat melalui jarum plastik branula. Keadaan ini akan sembuh dengan sendirinya.
  2. Pesakit juga berisiko mengalami rasa loya dan muntah selepas pembiusan. Ia dapat dikurangkan dengan pemberian ubat tahan loya dan muntah.
  3. Pesakit juga boleh juga merasa tidak selesa atau sakit tekak akibat tiub endotrakea yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan, tetapi ini hanya bersifat sementara sahaja.
  4. Risiko pening dan sakit kepala boleh juga berlaku selepas pembiusan umum. Tiada rawatan khusus diberi, pesakit hanya perlu berehat beberapa jam, dan biasanya keadaan ini baik dengan sendirinya.
  5. Kecederaan kecil kepada tubuh badan seperti mata, gigi dan juga lidah mungkin boleh berlaku semasa proses induksi pembiusan. Ini satu keadaan yang boleh dielakkan iaitu dengan melakukan prosedur bius secara berhati-hati dan selamat.

Terdapat juga dalam rekod pembiusan tentang risiko pembiusan umum tentang kejadian alahan atau alergi atau ‘allergic reactions’ kepada ubat bius, sehingga boleh mengancam nyawa pesakit.

Dalam hal ini rekod sejarah alahan atau alergi terhadap ubatan adalah amat penting. Jika ia berlaku semasa pembiusan, rawatan segera akan diberi bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk berlaku.

Ada juga beberapa risiko yang jarang tetapi boleh berlaku semasa pembiusan umum. Pesakit mungkin separuh sedar atau ‘awareness during anaesthesia’ (pesakit merasa sakit dan boleh mendengar) semasa pembiusan dan pembedahan berlangsung.

Untuk memastikan keadaan ini tidak berlaku, pemantauan denyutan jantung, tekanan darah, saturasi oksigen, kabon dioksida dan kadar dos gas tidur yang diberi menjadi amat penting.

Iklan

Di negara-negara barat, terdapat satu komplikasi pembiusan yang sangat jarang berlaku di negara ini. Sindrom hiperthemia malignan atau ‘malignant hyperthermia syndrome’ berlaku kepada pesakit yang memang mempunyai sejarah penyakit otot skeletal.

Memang telah menjadi satu tradisi dan kewajipan, di sepanjang proses pembiusan, doktor bius dan jururawat bius akan sentiasa menjaga dan memantau keadaan pesakit semasa pembedahan. Sekiranya berlaku sesuatu kecemasan semasa pembiusan, bantuan serta merta dengan segera dapat dilakukan.

Seiring dengan jajaran masa, pembiusan umum menjadi semakin selamat dengan adanya perkembangan teknologi alat perubatan tercanggih dan penggunaan ubat bius baru yang lebih efektif dan selamat.

Walau bagaimanapun, fungsi doktor bius untuk menjaga dan memantau pesakit semasa pembiusan umum tidak boleh digantikan oleh teknologi alat perubatan itu sendiri.

Keselamatan dan nyawa pesakit adalah satu keutamaan mutlak dan hanya dapat dicapai dengan kerjasama dan perhatian penuh pasukan doktor bius dan doktor bedah dalam pengurusan pesakit.

Jangan lupa follow kami di Instagram!