EMAK tulang belakang terkuat, didikan bapa bentuk diri, demikian ungkap pendakwah wanita, Ustazah Asma’ Harun menerima Anugerah Tokoh Sayidatina Aishah daripada kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini.
Lembut bicara dalam menuturkan ilmu dan memiliki karakter tegas, tidak hairan beliau sentiasa menjadi ikutan dan rujukan wanita.
Tidak pernah jemu berkongsi dan memberikan inspirasi kepada masyarakat, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu berkongsi berita dikurniakan pengiktirafan tersebut dalam Program Hari Sayyidatina Aishah Kali Ke-2 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2022.
Baca juga: Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
"Anugerah Tokoh Sayidatina Aishah suatu amanah bukan untuk bermegah. Perjalanan dalam medan dakwah ini tiada penghujungnya, selagi masih bernyawa maka kaki ini akan terus melangkah.
Anugerah ini tidak sesekali dipinta dan ia bukanlah sebagai ukuran kejayaan bagi sesiapa kerana makna berjaya sebenar adalah kejayaan di sisi ALLAH iaitu mencapai reda-NYA. Masih banyak yang perlu dipelajari, demi menyampaikan dakwah.
Beliau yang juga penaung Yayasan Al Hijrah, Pengarah Hijrah Excel AF Sdn Bhd dan penaung badan sukarela Sahabat Amal Care (SAC) tidak lupa mengenang dua insan istimewa iaitu ibu bapanya.
[caption id="attachment_93884" width="800"] Ustazah Asma' bersama ibu, arwah bapanya dan adik.[/caption]
"Insan terdekat yang menguatkan diri ini serta merupakan tulang belakang terkuat adalah emak yang melahirkan diri ini, Hajah Fikriah binti Awang dan arwah ayah yang membentuk diri saya yang sekarang, Haji Harun Bin Ismail. Tanpa keberkatan doa serta didikan mereka, tiadalah saya seperti hari ini,” katanya.
Menggalas tugas sebagai ibu, isteri dan dalam masa yang sama bergelar pendakwah tentunya bukan mudah. Justeru, wanita hebat itu turut menitip penghargaan buat suami dan tujuh orang anak yang banyak berkorban.
Baca juga: Siapa nak buat baju tak seksi, boleh roger aku tau- azam Rico Rinaldi selepas balik dari haji
"Suami tercinta, Tengku Fazli Tengku Yahya dan anak-anak iaitu Atikah, Luqman, Maisarah, Imran, Sofwan, Raihanah dan Fatimah. Sentiasa menyokong, membantu dan banyak berkorban dalam jatuh bangun di sepanjang jalan dakwah ini. Allahuakbar, semoga syurga tertinggi balasan buat mereka,” titipnya.
Asma’ yang memiliki Ijazah Sarjana Pengajian Islam, OUM Negeri Sembilan, Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar dan Diploma Syariah dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (kini Universiti Sultan Zainal Abidin) menyeru wanita mencontohi keperibadian wanita hebat, isteri Rasulullah SAW iaitu Sayidatina Aisyah RA.
"Kalian semua ada bahagian tersendiri dalam perjuangan ini. Mudah-mudahan kita sama-sama menjadi wanita yang berilmu, dipenuhi dengan jiwa yang tenang dan terus kuat dengan menjadikan Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA sebagai contoh teladan. Untuk menjadi wanita dambaan syurga perlukan usaha dan mujahadah,” titipnya.
Selayaknya anugerah ini dikurniakan untuk Ustazah Asma’ Harun atas usaha dakwahnya dan sumbangan kepada masyarakat.
Semoga pengiktirafan diraih beliau menjadi inspirasi buat wanita lain dalam apa juga bidang yang diceburi.
Baca juga: Wanita keliru bab inai celup dan sah solat, Ustazah Asma’ kongsi penerangan lengkap
Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.