INAI adalah hiasan kuku yang menjadi ikutan masa kini walaupun pemakaiannya bagi segelintir masyarakat di Malaysia sudah menjadi adat kebiasaan terutamanya bagi kaum wanita.

Lambakan inai yang mudah digunakan di pasaran seperti inai serbuk, inai siap bancuh atau inah celup menyebabkan ada wanita keliru. Terutamanya berkaitan inai jenis celup yang dikatakan menghalang menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun berkongsi persoalan seorang wanita yang barangkali turut bermain di dalam minda kaum Hawa.

Baca juga: Inai, hati-hati gunakannya, boleh ragut nyawa jika alami tiga masalah kesihatan ini

Baca juga: Neelofa jelaskan bahan inai dan warna, ada sijil halal

Kredit foto: Canva

Berikut perkongsian beliau dan huraian berkaitan isu terbabit;

SOALAN
“Pada malam raya, saya telah memakai inai celup yang kini viral kerana sifatnya yang mudah dan segera. Waktu saya memakai inai celup tersebut, saya dalam keadaan haid. Saya juga memahami konsep inai celup yang cepat merah dan luntur warnanya, lebih-lebih lagi apabila kerap ‘bermain’ air dan sabun.

Kemudian, selepas dua atau tiga hari saya menyedari jari terkena air dan sabun, warna inai luntur. Tetapi dalam bentuk lapisan warna.

Ya, saya yakin inai ini membentuk coating layer pada jari saya sekali gus menghalang air sampai ke kulit. Namun, coating layer ini hanya terbentuk pada kawasan jari sahaja. Di kawasan kuku, warnanya nampak sekata dan tidak tertanggal seperti yang berlaku pada kulit jari.

“Hal ini menambahkan kemusykilan saya, adakah inai celup ini kalis air atau tidak.”

Baca juga: Inai homemade tahan lama, ringkas ‘wuduk friendly’

Gambar hiasan. (Kredit foto: Canva)

JAWAPAN

Hiasan kecantikan merupakan fitrah wanita. Ia mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jilid 3, hlm. 89-90]

Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada Aisyah RA:

أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ
صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: ‏ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ‏.‏ قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ‏.‏ قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ.‏ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.

Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?” Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda SAW berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
(Riwayat Abu Daud, 4166)

Wanita di zaman Nabi Muhammad SAW berurusan di sebalik tabir sehingga ada keperluan untuk membezakan. Mereka juga kebanyakannya berada di rumah kecuali mempunyai keperluan (untuk keluar) dan memakai hijab (yang tidak menampakkan perhiasan) – tambahan saya (Ustazah Asma’ Harun).

Baca juga: Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan

HUKUM INAI YANG DIRAGUI

Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?

Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut).

Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain.

Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal. Bagaimanapun, harus di fahami bahawa status halal sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya.

Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, lemak khinzir dan bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak.

Bagi menentukan pemakaian inai boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila ada di atas sebahagian anggota lilin, tepung, inai dan seumpamanya yang menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya. [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]

Baca juga: Nak melaram masa raya boleh, tapi jangan lebih-lebih

Gambar hiasan (Kredit foto: Canva)

Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]

Berbalik kepada persoalan menentukan kekalisan atau ketelapan air produk inai celup, ujian hendaklah terlebih dahulu dilakukan ke atas produk tersebut.

Bagaimanapun, adalah disarankan sekiranya masih wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebu, lebih baik dirujuk secara langsung kepada Bahagian Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas dapat disimpulkan; sekiranya di yakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang di maksudkan meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka produk tersebut adalah kalis air.

Ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.

STATUS IBADAH DILAKUKAN SETELAH PENGGUNAAN INAI KALIS AIR

Umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa suci daripada hadas kecil dan besar merupakan syarat sah solat.

Iklan

Wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah.

Antara buktinya ALLAH SWT telah mensyariatkan hukum bersuci seperti wuduk/ mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan seseorang itu melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran. [Lihat: Syarah al-Yaqut al-Nafis hlm. 67]

Firman ALLAH SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuh muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Pemakaian inai secara ‘manual’ daripada daun inai yang ditumbuk tidak menimbulkan kesangsian

ALLAH SWT juga berfirman:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.
[Surah al-Maidah: 6]

Antara rukun-rukun wuduk yang wajib dipatuhi ialah membasuh kedua belah tangan meliputi siku.

Perkara penting perlu diberi perhatian bagi mendapatkan basuhan sah dan sempurna ialah memastikan tiada sebarang objek atau bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke seluruh bahagian kulit tangan termasuk celah-celah jari dan kuku.

Justeru, bagaimana pula status ibadah yang dilakukan setelah memakai inai yang sifatnya kalis air?

Baca juga: Turban, tudung pendek nampak dada berdosa. Tidak ikut syariat Islam

Kami berpendapat bahawa, jika inai tersebut kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air.

Oleh itu, tidak sah wuduk dan mandi wajib yang dilakukan pada ketika itu.

Sehubungan dengan itu juga, tidak sah segala ibadat yang ada kaitan dengan taharah seperti solat yang telah dilakukan sebelum ini.

Iklan
Paling merisaukan jika wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna seterusnya menyebabkan solat tidak sah. (Kredit foto: Canva)

Ini adalah kerana antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib.

Justeru pemakai yang terlibat wajib untuk mengqada’ solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.A berkata:
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu, mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air.

Tuntasnya, kami menyarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan.

Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya.

Semoga penerangan Ustazah Asma’ Harun ini memberikan kejelasan tentang perihal inai sebagai perhiasan wanita. Usah terpegun dengan kecantikannya dan alpa. Pilih yang halal dan tidak menghalang taharah agar terjamin ibadah.

Baca juga: Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

Baca juga: Tiada istilah payung emas untuk wanita bermadu, poligami boleh jadi harus, sunat, haram

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.