LEBUH raya sesak penuh dengan kenderaan. Kebanyakan daripada kita sudahpun meninggalkan kediaman menuju ke kampung halaman untuk sama-sama merayakan 1 Syawal bersama keluarga tercinta.

Hari raya adalah peluang untuk kita bersama-sama berkumpul dengan adik beradik dan saudara mara merapatkan ukhuwah. Mungkin ada yang sudah bertahun tidak bersua terutama selepas dua tahun pandemik, Aidilfitri adalah peluang untuk bertemu mata sesama ahli keluarga.

Pun begitu, tidak kurang yang terpaksa menempah bilik hotel atau inap desa (homestay) susulan pelbagai kekangan. Konsep pulang beraya ke kampung, namun tinggal di hotel telah menjadi trend.

Walaupun ada yang kurang bersetuju dengan trend tersebut, jumlah ahli keluarga yang terlalu besar, batasan aurat dan pergaulan antara ipar duai atau sepupu yang serumah menyebabkan sesetengah hotel di negara ini hampir penuh pada minggu pertama Aidilfitri.

Baca juga: Trend “Unboxing by Husband” merosakkan, mulakan hidup berumah tangga dengan perbuatan maksiat

Bagaimanapun ada yang memberikan tanggapan negatif trend tersebut. Menurut pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, mungkin ada dalam kalangan ibu bapa, adik beradik atau saudara mara yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang kerana ahli keluarga memilih tidur di inap desa atau hotel sedangkan pelbagai perkara terpaksa dipelihara.

“Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.

“Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur.

“Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahuakbar,” kongsinya.

PUNCA KANAK-KANAK TERJEBAK PORNOGRAFI

Selain itu, Ustazah Asma’ turut mendedahkan situasi percampuran tanpa batasan mencetuskan pelbagai kesan buruk kepada anak-anak.

“Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.

“Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak,” titipnya.

Ustazah Asma’ menekankan peranan suami memelihara aurat isteri dan anak. Justeru situasi berkenaan perlu difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada.

Firman ALLAH SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”
(Surah at-Tahrim 66: 6)

Baca juga: Riak, menunjuk-nunjuk semata-mata mahu meraih pujian manusia boleh membinasakan iman kita

ANAK PERLU JUJUR, IBU BAPA FAHAM

Dalam menyuarakan hasrat untuk tidur di hotel atau inap desa, anak-anak perlu menerangkan dahulu sebab agar ibu bapa di kampung perlu memahami dulu situasi dan punca.

Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada pendingin hawa, suasana kampung dan lain-lain. Tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel atau inap desa.

“Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang kala mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.

“Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syarak. Bukan kerana tidak selesa dan lain-lain kerana dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.

“Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga,” katanya.

BATAS AURAT WANITA

Ustazah Asma’ menekankan perihal batasan aurat. Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras dan lain-lain.

Iklan

Batas aurat bagi seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau mengatakan:

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا: لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.”

(Kitab Asna al-Matalib, 1/176)

TIDUR ASING LANGKAH BERJAGA-JAGA

Dalam pada itu, beliau menekankan tidur berasingan adalah lebih baik meskipun aurat dapat dipelihara.

“Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.

Iklan

“Kecuali jika di kampung memang tidak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka,” katanya.

Firman ALLAH SWT:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.”

(Surah an-Nur 24: 31)

Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak mudah berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.

Baca juga: Trending pengantin gelabah, ketar sarung cincin, ustazah beri ‘teguran’ sayang

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI