SEIRING bertambahnya usia, banyak perkara dan pengalaman yang dilalui manusia dalam meneruskan hidup di dunia bersifat sementara ini.

Umur yang meningkat juga perlu disyukuri. Walaupun terdapat beberapa perubahan yang menjadikan kehidupan kita tidak seperti dahulu, tetapi kita masih mempunyai banyak peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih bahagia.

Bila sebut pasal usia, hari lahir merupakan hari yang paling bermakna bagi sesiapa sahaja.

Selalunya pada hari tersebut, akan ada sesuatu yang istimewa berbanding hari-hari yang biasa. Ada yang dapat hadiah, ada yang belanja makan, ada yang buat majlis dan banyak lagi sebagainya.

Bagi pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, sempena hari lahirnya ke 39 tahun, beliau mengambil kesempatan mendedahkan 39 kisah tentang diri sendiri.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, pendedahan itu mendapat perhatian ramai, sehingga kini hampir 5,000 titipan doa ditinggalkan di ruangan komen.

Berikut perkongsian beliau.

39 KISAH SEMPENA HARI LAHIR KE-39

1. Alhamdulillah, tepat jam 10.50 malam, 22 September 1983, 39 tahun yang lepas, saya dilahirkan di rumah ibu ayah di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu.

Anak kepada pasangan cinta iaitu Harun Ismail dan Fikriah Awang. Ketika saya dalam kandungan, ibu berumur 20 tahun dan seorang siswazah dalam bidang fizik di Universiti Teknologi Malaysia, saya berada dalam kandungan seorang ibu yang sedang berjuang dalam menuntut ilmu.

2. Saya seorang kanak-kanak yang aktif, berdikari dan suka berkawan/geng di sekolah dan juga di kampung. Ada kalanya, sikap berani buat keputusan dan tindakan sendiri membuatkan ibu dan ayah rasa membelakangi mereka. Ia perlu dikawal.

3. Ketika alam kanak-kanak antara umur tujuh hingga 12 tahun, saya terkenal di kampung sebagai seorang jaguh kepada beberapa permainan. Pertama, permainan lompat getah. Biasanya saya akan menjadi ketua ataupun ibu kepada geng. Permainan lompat getah ini menguji ketahanan dan keseimbangan fizikal. Saya boleh lompat ketinggian melebihi kepala.

4. Permainan yang kedua ialah permainan galah panjang juga antara jaguh kampung dan selalu menang dalam permainan ini. Satu lagi permainan ialah rounders, di kampung dipanggil permaiman bola katok. Permainan rounders ni biasanya akan berlawan antara dua geng, geng perempuan dan geng lelaki, kelebihan lebih kepada lelaki kerana setiap kali bola dilantun, ia akan pergi sangat jauh. Kadang-kadang memecahkan tingkap rumah orang, teruk kena marah tapi main tetap main.

Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
Kredit Gambar: FB Ustazah Asma’ Harun

5. Saya mendapat pendidikan awal di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kampung Batu 6, Kuala Terengganu ketika umur lima dan enam tahun. Setelah itu, belajar di Sekolah Rendah Agama Arab Darul Taqwa. Sekolah ini diasaskan oleh datuk saya, Ustaz Haji Awang Nasaruddin bin Haji Abu Bakar, atau juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin atau Ustaz Awang Tukul Besi. Sekolah Darul Taqwa masih kekal sehingga kini, berusia lebih 41 tahun, moga ia menjadi pahala jariah buat arwah datuk.

6. Pengajian di sekolah ini adalah berasaskan bahasa Arab, sehingga semua subjek dinamakan dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, subjek Matematik dipanggil Al-Hisab, subjek Sains disebut sebagai Al-Ulum, dan subjek Sejarah diberi nama Sirah dan sebagainya.

7. Satu hari ketika di sekolah rendah, ada seorang guru yang bertanya kepada saya, apakah cita-cita saya? Dan secara spontan saya menjawab, saya ingin jadi Penceramah Bebas. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apakah maksud ‘Penceramah Bebas’. Saya mendapat inspirasi dari datuk saya, Tuan Guru Haji Awang Jidin atau Ustaz Awang Tukul Besi.

8. Saya selalu melihat datuk menyampaikan ceramah dan dihadiri oleh ratusan malahan ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Bayangkan pada ketika itu hebahan bukan boleh dibuat seperti sekarang.

Dahulu, tiada teknologi canggih dan tiada media sosial namun arwah datuk seorang yang terkenal dengan kemampuannya menyampaikan ceramah seperti pidato, dengan penyampaiannya yang bersemangat, penuh ilmu dan teratur. Sejak dari itu, saya menyelit rasa ingin menjadi seperti datuk.

9. Ayah saya pula seorang ahli perniagaan yang mengusahakan kedai makan. Salah sebuah restoran kepunyaan ayah adalah Restoran As-Syakirin yang terletak di pintu belakang Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UNISZA) atau dahulunya dikenali sebagai KUSZA.

Ayah pernah membukan restoran sehingga 6 buah, Restoran Nasi Ayam Batu 6 adalah satu-satunya yang masih bertahan selama 41 tahun sehingga ke hari ini, juga terkenal dengan gelaran ‘Nasi Ayam Legend’ dan ‘Nasi Ayam Kayu Api’ kerana masih mengekalkan kaedah masakan tradisional menggunakan kayu api.

10. Walaupun pada ketika itu, 40 tahun yang lepas, jarang orang melayu yang berani menceburkan diri dalam dunia perniagaan, tetapi ia tidak mematahkan semangat Ayah.

Dengan nekad agar anak-anaknya tidak berhutang apabila ingin melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, dan ALLAH permudahkan segalanya.

Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
Kredit Gambar: FB Ustazah Asma’ Harun

11. Ayah merupakan seorang pencinta ilmu juga pelajar yang bijak dan cemerlang di sekolah rendah. Namun, atas faktor kesusahan hidup, ayah tidak berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke sekolah menengah tetapi minat yang mendalam dalam bidang agama tidak terhenti di situ.

Ayah kerap menghadiri kursus secara formal dan tidak formal di merata tempat sehingga diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk menyampaikan kuliah Maghrib dan subuh di masjid dan surau sekitar negeri Terengganu.

12. Pada ketika itu, beliau adalah seorang peniaga dan pada masa yang sama juga sibuk menyampaikan ilmu. Apabila perniagaan semakin baik dan stabil, ayah melepaskan urusan perniagaan kepada pengurus dan pekerjanya sehingga boleh ditinggalkan perniagaan berminggu-minggu, kerana ayah lebih mengutamakan kerja dakwahnya.

13. Ibu ayah sangat menitikberatkan masa berkualiti dengan anak-anak. Contohnya, apabila cuti sekolah, ibu ayah akan bawa kami berjalan hampir seluruh Semenanjung dari Johor, singgah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis hingga Pulau Pinang.

Bergerak dengan kenderaan yang boleh memuatkan semua anak-anak. Ada orang bila dah besar baru kenal negeri orang, alhamdulillah kami sejak kecil dah kenal semua negeri di seluruh Semenanjung. Saat itu, kawan-kawan pun pelik, kerana zaman tersebut ia bukan menjadi kebiasaan, Ini situasi 30 tahun yang lepas.

14. Saya sebenarnya banyak ikut sikap ayah yang mudah mesra dengan orang. Baru jumpa kali pertama dah boleh bergurau dan bercerita, tengok orang susah di tepi jalan, ayah akan berhenti, tanya dan tolong mereka. Pemurahnya ayah, ALLAH beri rezeki berganda.

15. Rumah kami sekeluarga boleh dikatakan hampir setiap hari akan ada asnaf fakir miskin yang datang. Sejak kecil dah biasa dididik menyantuni asnaf yang dengan dihidangkan makanan dan minuman.

Selepas ayah meninggal dunia, ramai yang beritahu bentuk bantuan yang ayah berikan sewaktu hayatnya yang mana kami sendiri tidak ketahui. AllahuAkbar.. semoga arwah aAyah tenang disana.

16. Ayah juga tidak terlepas daripada pelbagai ujian perniagaan termasuk ujian pekerja, tetapi ia tidak menghentikan usaha ayah untuk terus bantu pekerjanya.

Ayah kata; “Ia tidak sedikitpun mengurangkan rezeki.”
Ayah juga seorang yang tidak akan memberhentikan pekerja kecuali jika benar-benar terpaksa. Kadang ada yang berkata; “Pekerja lebih ramai dari pelanggan.” Tapi ayah tetap dengan pendiriannya, kerana bagi ayah, pekerja datang untuk dididik dan dibantu.

17. Ayah sangat menjaga kebajikan dan keperluan rohani dan pembentukan akhlak pekerja, di mana pada setiap minggu, ayah mewajibkan adanya usrah di kalangan pekerja.

Jika pekerja yang asalnya tidak solat, ayah akan bersikap tegas dan memantau solat pekerjanya. Untuk semua restoran semua pekerja adalah lelaki, tidak pernah ada pekerja wanita. Kerana ayah nak elakkan daripada pergaulan yang tidak terkawal.

18. Jelaslah bahawa sedikit kemahiran yang saya ada dalam perniagaan pada hari ini diwarisi dari ayah, manakala dakwah pula lebih kepada sebelah emak yang lahir dari keturunan Alim Ulama’, namun cara saya menyampaikan, banyak juga dipengaruhi oleh arwah ayah.

Baca juga Bella tiba di mahkamah berbaju Frozen jadi perhatian. Warganet sebak, menitis air mata

Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
Kredit Gambar: FB Ustazah Asma’ Harun

19. Datuk sebelah emak, ialah Tuan Guru Haji Awang Nasaruddin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin. Beliau terkenal sebagai seorang pemidato yang hebat dan lantang sehingga mendapat gelaran “tukul besi”.

20. Moyang pula adalah seorang alim yang terkenal dalam bidah feqah iaitu Tok Guru Haji Abas bin Muhammad. Bermula dengan buka pondok dan madrasah di Besut, kemudian telah berhijrah ke Kuala Terengganu dan membuka Pondok Tok Jiring (Sekolah Menengah Agama Tok Jiring) pada tahun 1953. Beliau seorang yang terkenal dengan gelaran “kemuncup” kerana kekuatan daya ingatan yang dimilikinya. Saya merupakan cicit kepada beliau.

21. Baiklah, peringkat sekolah menengah, bermula tingkatan satu di Sekolah Menengah Ugama Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Sekolah ini diasaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di situlah saya dekat dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana asrama betul-betul sebelah rumah Tok Guru. Kami pelajar asrama perempuan, ternanti-nanti waktu yang kami boleh jangka Tok Guru akan keluar rumah untuk menyapu atau siram pokok di bahagian belakang kawasan rumahnya.

Jika salah seorang nampak, kami akan mengintai daripada tingkap asrama tingkat satu atau dua untuk melihat Tok Guru. Kami dididik untuk menghormati Tok Guru agar tidak menganggu privasi beliau walaupun bersebelahan sahaja asrama dengan rumah Tok Guru. Di Masjid Darul Anwar, kami selalu dapat solat berimamkan Tok guru, kenangan saya yang sangat indah.

22. Isteri Tok Guru ada membuka kedai runcit di belakang rumahnya dan di situ kami dapat berinteraksi dengan isteri Tok Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak. Kedai runcit ini sangatlah sederhana kecil, begitulah juga rumah Tok Guru, tak seperti rumah seorang MB.

Selesai solat berjemaah, kami juga akan cuba intai Tok Guru di sebalik tabir, dan untungnya pelajar lelaki kerana dapat bersalaman langsung dengan Tok Guru.

23. Alhamdulillah, selepas peperiksaan pertengahan tahun, saya diterima masuk ke Sekolah Ma’ahad Muhammadi Lil Banat Kota Bharu, Kelantan. Maka bermulalah perjuangan menuntut ilmu di sebuah sekolah yang mempunyai suasana dan sistem sekolah yang ketat. Sekolah ini terkenal bukan hanya di Kelantan, tapi di seluruh Malaysia.

22. Ketika di MMP saya bukan pengawas sekolah, tetapi biasanya akan menjadi ketua kelas atau penolong ketua kelas. Selain itu, saya juga pengerusi badan bimbingan dan kaunseling, mungkin kerana minat dan kecenderungan mendengar masalah orang, bahkan guru-guru pun ada yang berkongsi cerita dengan saya.

23. Saya juga merupakan ketua Kelab Radio merangkap DJ rasmi sekolah. Saya bersiaran lebih kurang 20 minit sebelum waktu kelas bermula dimana suara saya berkumandang di seluruh sekolah dengan membacakan doa serta menitipkan kata-kata motivasi, zikir dan sebagainya.

Iklan

24. Saya sebenarnya lebih aktif di asrama. Pembentukan peribadi, perkembangan bakat kepimpinan dan dakwah banyak dibentuk ketika berada di asrama. Memegang jawatan exco biro dakwah dan kebajikan, saya manfaatkan dengan melakukan sehabis baik amanah yang digalas.

Sebenarnya ada banyak kisah yang menarik untuk dikongsikan. Insya-ALLAH saya akan dinukilkan dalam penulisan khas. Ada tak sahabat satu asrama sudi kongsikan kenangan kita. boleh tuliskan di bawah, tapi yang elok la ya.

25. Alhamdulillah setelah selesai SPM tahun 2000, kami adalah calon SPM sijil terbuka pertama, mendapat keputusan yang agak baik ketika itu, saya mendapat dua tawaran universiti, iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam bidang Syariah.

26. Ketika itu, sebenarnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam syariah. Boleh jadi ia dipengaruhi daripada saranan kawan-kawan, kerana melihat saya aktif dalam pertandingan yang melibatkan perdebatan dan perbahasan. Pernah juga mewakili sekolah dalam forum mahupun debat.

27. Saya hampir lupa cita-cita ketika kecil, iaitu ingin menjadi seperti datuk. Dan syukurlah ibu saya bertegas untuk tidak membenarkan saya menyambung ataupun menerima tawaran tersebut. Ketika itu, UM adalah antara universiti teratas di Malaysia serta paling susah untuk mendapat tawaran.

Kawan-kawan mengatakan bahawa saya telah melepaskan satu peluang yang diimpikan oleh ramai pelajar untuk masuk ke Universiti, dengan memilih masuk ke kolej.

28. Alhamdulillah, dengan memahami perlunya mentaati ibu ayah yang meminta saya ke KUSZA dan mengharapkan saya menyambung ke Al-Azhar Mesir. Supaya saya dapat mengikuti jejak langkah arwah datuk, bapa saudara dan ramai lagi ahli keluarga yang belajar di Mesir. Akhirnya saya menyambung ke Mesir dalam Ijazah Pengajian Syariah.

Baca juga Netizen bengang, lelaki beristeri dua tergamak jadikan anak ‘hamba seks’, dipenjara 45 tahun, 24 sebatan

Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
Kredit Gambar: FB Ustazah Asma’ Harun

29. Sudah tentu ada perasaan yang berbolak-balik dalam diri, antara impian sendiri dan hasrat ibu ayah supaya mengikuti jejak langkah arwah datuk, bapa saudara dan ramai lagi ahli keluarga yang belajar di Mesir.

Akhirnya saya menyambung ke Mesir dalam bidang syariah selepas selesai di KUSZA atau UNISZA. Sesungguhnya perjalanan ini rupanya lebih indah dan bermakna.

30. Di KUSZA, semasa semester pertama, saya dah mula aktif dengan program dan aktiviti bersama persatuan. Dan pada semester ke tiga, saya masuk bertanding pilihan raya peringkat kampus, melihat gambar diri sendiri yang tergantung merata, dan melakukan kempen adalah satu pengalaman berharga.

Alhamdulillah, saya mendapat undian tertinggi ketika itu lalu dilantik sebagai Timbalan Presiden Dewan Tertinggi Pelajar (DTP) ataupun dikenali juga sebagai MPP – Majlis Perwakilan Pelajar.

31. KUSZA adalah satu tempat pengajian yang paling banyak membentuk jatidiri, disiplin dan hala tuju. Dengan memegang pelbagai jawatan dan aktif berpersatuan serta terlibat dengan program-program dakwah dan kebajikan, tidak mengurangkan fokus dalam pelajaran.

Alhamdulillah, pernah mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Wanita Pengajian Islam Syariah dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester kecuali satu sem beroleh cgpa 3.49.

Sesungguhnya para guru dan para pensyarah telah banyak membina kemampuan berfikir dan bertindak dalam diri. Terima kasih tidak terhingga, sentiasa didoakan kebaikan dunia dan Akhirat, moga mengalir pahala jaariah buat para guru yang mulia.

Iklan

34. Kisah perjuangan menuntut ilmu di Mesir, tersusun kenangan indah dan pahit manis di bumi Sahara, Mesir, di tempat sebaik baik manusia dapat dijumpai dan begitulah sebaliknya.

Kerana di bumi Mesir itulah lahirnya Nabi Musa AS dan di bumi Mesir juga adanya Firaun. Akan diceritakan di lain coretan.

35. Sebelum ke Mesir, kami mengikat tali pertunangan. Ada beberapa syarat yang dipersetujui, salah satunya adalah kawalan yang ketat dalam perhubungan, saya ambil tindakan meninggalkan handphone di Malaysia, supaya dapat mengelak daripada berhubung dengan tunang, dan boleh memberi fokus kepada pelajaran yang banyak memerlukan hafalan.

Kami menggunakan email dan surat menyurat sebagai medium jika perlu. Alhamdulillah selesai pengajian di Mesir, saya pulang pada September tahun 2005. Tiga bulan selepas itu kami mendirikan rumah tangga pada 6 November 2005.

36. Alhamdulillah pada tarikh keramat, ALLAH SWT izinkan bersatunya dua hati dan dua rasa pada satu ikatan pernikahan yang suci pada tanggal 6 November 2005. Permulaan kehidupan menjadi seorang isteri, masya-ALLAH.

37. Setelah itu saya mengikuti suami ke Johor Bahru, kerana beliau masih dalam pengajian master dalam bidang Kimia. Kami berkongsi dengan serba sederhana.

Selama dua tahun lebih, saya tidak memohon mana-mana kerja, bila ditanya, saya menjawab ingin menjadi suri rumah yang terbaik dan berjaya.

38. Pada tahun 2015, saya mula menyambung pengajian master pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai penjawat awam. Ketika itu juga sedang mengandung anak yang keenam.

Ada waktu yang sama saya mengandung yang mana akhirnya kandungan itu gugur sebelum mengandung lagi anak yang keenam iaitu Raihana alhamdulillah selesai pengajian Islam di OUM.

39. Bermula tahun 2017 – 2018, dua tahun lebih bergerak sendiri, memandu dan menguruskan semuanya sendirian walaupun ke tempat-tempat jauh di luar daripada Negeri Sembilan. Isu perjalanan jauh dengan sumbangan diberikan tidak mampu untuk menampung kos perjalanan dan pihak yang tidak memberi apa-apa sumbangan adalah perkara yang biasa dilalui.

Setelah beberapa kali kemalangan berlaku ketika saya memandu kerana terlelap dek keletihan. Puratanya tiga ceramah di tiga lokasi yang berbeza. Kadang-kadang, lima kuliah dalam satu hari.

Setelah itu, saya mula berfikir akan keperluan pembantu atau staf yang boleh memandu dan menguruskan jadual, jemputan dan lain-lain. Bermula daripada itulah kami mula buka peluang pekerjaan.

Pada tahun 2019 ada tiga staf, pada tahun 2020 30 orang staf, manakala 2021 lebih kurang 80 orang staf, dan pada tahun 2022 hinggalah sekarang lebih kurang 120 orang semuanya. Doakan semoga semua gerak kerja ini diterima sebagai amal soleh yang diterima ALLAH.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.