BANJIR besar yang melanda kota Jeddah di Arab Saudi telah menghalang jalan yang menghubungkan kota itu dengan kota suci Makkah. Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut dalam banjir tersebut seperti yang laporkan Middle East News.
Taburan hujan yang sangat tinggi di wilayah tersebut menjadi faktor penyebab banjir kilat di Arab Saudi. Jeddah sendiri adalah sebuah bandar dengan kira-kira empat juta penduduk yang terletak berhampiran Laut Merah.
Bandar ini juga sering disebut sebagai ‘pintu masuk ke Makkah.’ Berjuta-juta orang menunaikan haji dan umrah setiap tahun. Ribut hujan musim sejuk dan banjir berlaku hampir setiap tahun di Jeddah.
Baca juga: Keajaiban 15 Ramadan. Hujan lebat 3 jam, Makkah dilanda banjir kilat, hujan batu
Banjir yang melanda pada Khamis sejak 8.00 pagi sehingga 2.00 petang (waktu tempatan) dikhabarkan mengganggu lalu lintas dan menenggelamkan banyak kereta di jalanan. Jurucakap pertahanan awam Arab Saudi di wilayah itu menggesa penduduk untuk kekal berada di dalam rumah melainkan ada keperluan mendesak.
10 FAKTA PERLU TAHU TENTANG BANJIR DI JEDDAH
1. Taburan hujan di wilayah selatan Jeddah antara 8.00 pagi hingga 2.00 petang pada Khamis telah mencapai 179 milimeter dalam tempoh enam jam. Ini merupakan rekod hujan tertinggi yang dicatatkan Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi. Angka ini melebihi jumlah hujan yang dicatatkan pada 2009, apabila berates-ratus mangsa maut dalam kejadian banjir kilat.
2. Banjir yang berlaku telah menyebabkan kelewatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.
3. Sekolah dan universiti juga ditutup, menurut laporan dari media kerajaan Arab Saudi. Agensi Akhbar Saudi (SPA) rasmi melaporkan bahawa sekolah di bandar itu terpaksa ditutup kerana hujan dijangka berterusan sepanjang hari. Selain itu, sekolah-sekolah di bandar Rabigh dan Khulais yang berdekatan juga ditutup untuk keselamatan para pelajar.
4. Kejadian banjir yang berlaku hampir setiap tahun di Jeddah disebabkan kemudahan insfrastruktur kurang sempurna.
Baca juga: Baitulmaqdis dilanda ribut salji, dilitupi hablur ais setebal 25cm
5. Pada 2009, kejadian banjir di Jeddah meragut 123 nyawa.
6. Banjir tahun ini merupakan banjir terburuk di Jeddah dalam tempoh 13 tahun.
7. Jabatan Perbandaran Jeddah mengerahkan sejumlah 2,564 pekerja, dilengkapi kira-kira 960 jentera, mengeluarkan air dari jalan raya. Langkah itu dibuat bagi membolehkan pergerakan trafik disambung semula.
9. Perenang dari Pertahanan Awam Jeddah menyelamatkan ramai pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka yang tenggelam dalam terowong Jalan Raja Abdullah yang ditenggelami air.
10. Banyak kereta ditenggelami air di jalan timur Jeddah. Jalan tersebut ditutup sepenuhnya akibat hujan lebat.
Baca juga: Wanita jika ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, jangan pakai abaya warna terang, sarat hiasan
Sumber: Detik.com, Samaaenglish.tv, Middle East News, Viva.co.id
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi