Rakan kongsi lari Firzah tak patah semangat, bina empayar Bell Popcorn raih RM1 juta masa PKP
JIKA tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pelbagai dugaan dan ujian ditempuh mematangkan diri dalam membuat keputusan dan tindakan.
Demikian yang menceritakan perjalanan usahawan, Firzah Puasa, 37, dalam bidang perniagaan.
Pemilik jenama Bell Popcorn ini telah berhadapan pelbagai cabaran sejak bergelar usahawan empat tahun lalu.
Bekas eksekutif pemasaran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (Pemasaran) Universiti Teknologi MARA ini menjadikan ‘tenant’ di tempat kerja lama sebagai inspirasi.
Baca juga: Eksekutif akaun kini pengusaha bakeri, 9 tahun Norliyana cipta nama Dinda Delights hingga dikenali
"Saya dahulu bekerja di sebuah syarikat pengurusan pusat membeli-belah.
"Di sana saya melihat usahawan-usahawan yang menyewa tapak perniagaan berjaya dan meraih pendapatan lumayan. Dari situlah timbul idea untuk berniaga,” ujar Firzah.
Atas asbab itu Firzah mengorak langkah membina empayar sendiri.
Pada tahun 2019 wanita kelahiran Negeri Sembilan meletakkan jawatan dan memulakan perniagaan pertama bersama seorang rakan.
Berbekalkan fikiran positif dan tekad yang tinggi, wanita itu terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
"Syukur kerana saya ada mengikuti kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Kenalan di sana mencadangkan saya mencuba perniagaan bertih jagung atau popcorn.
"Saya mencubanya dan tak sangka menerima sambutan menggalakkan dari masyarakat.
"Para pelanggan menempah bertih jagung Bell Popcorn untuk dijadikan bingkisan tetamu dan kudapan keluarga,” tutur Firzah yang merupakan penggemar bertih jagung.
Baca juga: Laku keras musim PKP jualan cecah 1 juta, Adila mula jual cheese tart dari ceruk dapur
Kebanyakan pelanggan adalah wanita daripada golongan ibu-ibu yang ingin menyediakan kudapan buat anak dan keluarga.
Pada peringkat awal itu juga Firzah melakukan penghantaran sendiri kepada pelanggan yang secara tidak langsung membantu memicu proses pemasaran.
BERKEMBANG
Bermula dari ceruk dapur rumah dan mesin bertih jagung yang kecil, ibu kepada dua cahaya mata ini bertatih dari bawah.
Dalam masa setahun Bell Popcorn berkembang ke satu lot kedai kecil bersaiz 10 x 10 kaki dan kemudian berkembang kepada empat lot.
Bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin bertambah Firzah berpindah ke unit kedai dua tingkat yang lebih besar.
Pada penghujung 2019, wanita ini tekad meluaskan empayar Bell Poprcorn dengan menggunakan sistem ejen dan dropship.
Ternyata usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Berkat ketekunan dan ketabahannya memajukan bisnes, wanita ini meraih kemanisan pada akhirnya.
RM1 JUTA SEMASA PKP
Ketika kebanyakan perniagaan gulung tikar kerana pandemik, Bell Popcorn berjaya meraih jualan RM1 juta pertama pada tahun 2020 kala negara melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan.
"Syukur Alhamdulillah atas sambutan yang menggalakkan. Untuk mendapatkan popcorn yang bulat dan cantik kami melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) beratus kali.
"Suhu memasak juga perlu betul kalau nak hasilnya cantik. Api yang sekata penting agar karamel menyaluti dengan sekalta.
"Buat masa ini Bell Popcorn mempunyai dua variasi iaitu karamel dan coklat. Kedua-duanya tidak muak dan tidak terlalu manis. Sesuai dijadikan kudapan ringan,” ujar Firzah.
Baca juga: Dulu pengacara TV, sekarang bekerja dari rumah, Nisa Aznan puas berniaga
VARIASI KARAMEL DAN COKLAT
Kerangupan bertih jagung premium ini boleh anda rasai sendiri. Bell Popcorn kini sebaris dengan jenama terkenal dan boleh didapati di stesen minyak, kafe dan restoran, pasar mini dan pasar raya AEON.
Mendapat kelulusan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bell Popcorn kini sudah menembusi pasaran di Brunei melalui ejennya di sana.
Untuk dijadikan goodies, bertih jagung yang enak ini boleh didapati dalam bentuk bucket, cawan dan pek pelbagai saiz.
Bertemakan warna kuning, pembungkusan Bell Popcorn sangat menarik dan praktikal.
CABARAN
Menjalankan perniagaan ini bersama suami tercinta, Ahmad Lutfi Mohamad Lockman, 37, Firzah mengakui lelaki itu adalah tulang belakangnya.
Ibu bapa, mentua dan ahli keluarga tidak ketinggalan memberikan perangsang dan dorongan buatnya untuk terus berjaya.
Firzah pernah diuji ejen yang membuat jualan RM100,00 tiba-tiba menarik diri dan berhenti menjual.
Mengakui ia memberikan impak kepada perniagaan, namun wanita ini memandang dugaan itu dari sudut yang positif.
"Jika diuji dengan cabaran, anggaplah ia sebagai proses pembelajaran dalam perniagaan.
"Ambil ia dari sudut positif dan berlaku untuk mengangkat kita ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Firzah yang kini mempunyai lima pekerja.
Ingin melihat ramai lagi wanita lain berjaya dalam perniagaan, Firzah berpesan agar menetapkan nawaitu.
Menurutnya kecekalan, istiqamah dan tidak putus asa adalah resipi kejayaan.
"Pertama sekali kita perlu perbaiki niat. Untuk apa sebenarnya perniagaan anda, misi dan visi. Semestinya, jika berniat baik sudah tentu kita akan mendapat balasan yang baik.
"Selain itu konsisten dan fokus. Walaupun ramai yang berkata kenapa tidak mencuba perniagaan itu dan ini, saya tekad menumpukan kepada popcorn. Walaupun dengan sejenis produk, kita boleh grow.
"Ketiga, kita dilahirkan sebagai bukan selebriti jadi buatlah sehingga orang kenal produk.
"Sejak 2019, saya memakai pakaian kuning dan putih untuk represent popcorn. Kadang-kadang baju atau tudung.
"Supaya orang tahu dan mengingati Firzah sinonim dengan popcorn,” jelasnya.
Tidak hanya itu, usahawan muda ini menekankan aspek berkaitan ilmu.
Biarpun empunya diri berkelulusan bidang pemasaran, beliau tetap mengambil kelas dan berguru untuk memantapkan perniagaan.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang mempunyai mindset yang sama dalam perniagaan membantu agar diri kekal bersemangat.
"Circle yang betul penting untuk berjaya. Jangan segan untuk bergaul dengan orang-orang bisnes atau networking kerana dari situ kita boleh belajar cara berfikir.
"Circle yang baik juga akan menarik hal-hal yang positif, insya-ALLAH,” kongsinya.
Teruja sekali melihat kejayaan wanita ini. Ternyata dugaan dan cabaran tidak mematahkan semangatnya, malah dengan sentiasa positif kejayaan menyusuli setiap usaha yang dilakukan.
Semoga kisah ini memberikan inspirasi!
Baca juga: Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya, Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.