HOBI bertukar menjadi perniagaan, kemahiran menjahit mampu menjana pendapatan yang lumayan andai dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Tidak semua mempunyai kemahiran menjahit kerana ia memerlukan kemahiran, minat dan latihan. Namun dengan semangat dan latihan berterusan, kepandaian boleh dipupuk.

Demikian yang dilakukan Norhidayati Azmi, 40. Tanpa pengalaman menjahit dan tidak pernah menyentuh mesin jahit, kini beliau muncul sebagai usahawan.

Baca juga: Dulu pengacara TV, sekarang bekerja dari rumah, Nisa Aznan puas berniaga

TIDAK PERNAH MENJAHIT

Hanya mula menjahit tujuh tahun yang lalu untuk mengisi masa lapang, wanita ini mendapat kepuasan apabila melihat hasil seninya dipakai atau digunakan.

Segalanya berkat dorongan ibu tercinta yang tidak jemu memberi galakan dan kata-kata semangat. Norhidayati bertatih dari bawah. Bermula dengan menjahit keperluan keluarga kemudian mengambil tempahan di rumah,

MULA MENERIMA JAHITAN PUKAL

Bertahun memantapkan kemahiran diri dan beliau kini mampu memiliki pusat jahitannya sendiri. Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga melangkah lebih jauh dengan mengasaskan jenamanya sendiri, UmmiYT pada pada tahun 2017.

“Kami menerima tempahan untuk pelbagai produk seperti tudung pelbagai saiz seperti bawal, selendang dan tudung sarung (instant), blaus, kraf, beg sandang dan ‘tote bag’. Alhamdulillah ia sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, pelitup muka UmmiYT paling laris. Ia menjadi pilihan pelanggan kerana fabriknya yang selesa dan lembut, elok melekap pada muka,” jelasnya yang mempelbagaikan rekaan dengan perincian manik.

UmmiYT yang digilap mempunyai potensi yang cerah. Daripada menerima tempahan daripada individu, Norhidayati mengembangkan perniagaan setapak ke hadapan dengan mengambil pesanan jahitan pukal.

Baca juga: Minat mekap, tampil bergaya cetus Noorain Seman keluarkan produk kosmetik, suplemen

KEDAI TERBAKAR

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kini selepas tujuh tahun berada dalam pasaran, UmmiYT tidak dapat lari daripada cabaran dan fasa ‘jatuh bangun’.

“Sebelum pandemik melanda, kedai terbakar. Ketika itu lokasi kami di Bazar Uptown Puchong. Sayang sungguh kerana ketika itu ia baharu sahaja sebulan dibuka. UmmiYT mengalami kerugian kerana hampir 90 peratus barangan jualan dan mesin jahit hangus.

“Saya mengambil masa untuk mengumpul kekuatan diri dan modal untuk kembali beroperasi. Syukur Alhamdulillah ALLAH mempermudahkan jalan,” tutur Norhidayati.

Baca juga: Dulu tak mampu bayar, kini Hidayah berjaya miliki kereta idaman berkat jualan sabun, produk kosmetik

Bagi mengembalikan semangat, beliau mendekati ‘geng jahit’ untuk bertukar-tukar fikiran serta menyertai program keusahawanan bagi memantapkan ilmu perniagaan.

Kini kembali membuka pusat jahitan di Bazar Prima Walk, Puchong, wanita cekal itu berjaya mengumpul aset tujuh unit mesin jahit termasuk jenis industri bagi melancarkan proses menyiapkan tempahan.

Iklan

BIDANG MENJAHIT LUAS

Norhidayati juga tidak lokek berkongsi rezeki dengan rakan-rakan terutama ketika mendapat tempahan yang besar dengan mengupah mereka untuk proses tertentu seperti pemotongan kain.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu menitipkan pesanan buat wanita agar tidak gentar menceburi bidang perniagaan jahitan. Kebolehan yang ada harus dimanfaatkan, ia sama sekali tidak boleh dipandang rendah.

Baca juga: Dulu kelilingi dunia, kini buka bisnes jual ayam gara-gara PKP. Transisi hidup lelaki ini cetus inspirasi

“Menjahit memang boleh ‘buat duit’. Bidang ini sangat luas, tidak terhad kepada jahitan pakaian semata-mata. Anda boleh menjahit barangan kraf seperti beg, beg tangan, barangan keperluan bayi, langsir dan sebagainya.

“Seperti waktu Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh hasilkan pelitup muka dan jual. Asalkan rajin berusaha, rezeki akan datang, insya-ALLAH,” kongsinya.

Iklan

Mengimpikan untuk memiliki kilang jahitan sendiri suatu hari nanti, Norhidayati ada cara tersendiri untuk memastikan diri kekal bermotivasi.

Bagi memastikan semangat dan momentum pada tahap optimum, Norhidayati menyarankan peniagawati bergaul dengan rakan-rakan dalam bidang yang sama.

‘Networking’ katanya memberi peluang bertukar-tukar fikiran atau kemahiran, malah membuka lebih banyak peluang perniagaan pada masa akan datang.

Buat anda yang memiliki kemahiran menjahit, manfaatkan sebaiknya. Ia bukan kemahiran murahan, sudah ramai bergelar jutawan daripada cabang perniagaan ini. Jadikan kisah ini sebagai pendorong untuk memajukan diri!

Baca juga: Influencer Aisyah Hijanah ucap syukur berjaya miliki kereta Porsche, harga hampir RM1 juta

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi