SIAPA sangka perniagaan yang dimulakan dari dapur rumah sendiri memberi pulangan lumayan. Malah ketika ramai menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan mencecah RM1 juta!

Kata orang produk makanan paling mudah dijual. Apatah lagi jika sedap dan harganya berpatutan, mudah ‘laku keras’ selepas menjadi bualan dari mulut ke mulut.

Salah satu sajian popular ialah tat keju atau cheese tart. Pastri barat berinti keju itu mempunyai peminat tersendiri daripada pelbagai peringkat usia tua dan muda.

Baca juga: Dulu pengacara TV, sekarang bekerja dari rumah, Nisa Aznan puas berniaga

Lagilah jika ia bersaiz mini, mudah dimakan. Sekali ‘ngap’ sahaja habis sebiji! Rasa lemak, masam manis daripada keju dan kerangupan kulit tat memang padu.

Cheese tart inilah yang menjana pendapatan Adila Azurin Abu Bakar. Sejak tahun 2017 bertempat di dapur rumah sendiri di Southville City, Dengkil, Selangor, beliau yang sememangnya suka berniaga memulakan jualan cheese tart dengan jenama MiniBite Delights.

“Produk pertama yang dijual adalah iaitu cheese tart sejuk beku pertama di Malaysia.

Set CheesyBite Hipstur yang menyelerakan.

“Lebih dikenali sebagai CheezyBite, ia awalnya hanya satu perasa sahaja iaitu blueberry dan kini mempunyai lapan perasa utama yang popular,” tutur Adila.

Dipekkan dalam bekas yang menarik, best seller adalah dua pilihan CheezyBite iaitu Fruity (perasa buahan buahan seperti bluberi, strawberi, epal dan mangga) dan Hipstur (Dalgona, Caramel Almond, Peanut Butterscotch, Nutella)

 

Baca juga: Pernah rugi jutaan ringgit gara-gara baju tak siap, tukang jahit tak cukup. Ini kisah jatuh bangun Pija MINAZ

Bukan cef atau tukang masak, Adila tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pastri mahupun masakan. Ibu kepada tiga cahaya mata itu menimba pengetahuan asas dalam bidang pastri dan bakeri hasil dari mengikuti kelas kelas memasak sama ada secara bersemuka atau pun secara online.

Pelbagai halangan dan cabaran ditempuhi, ia terus berkembang. Tiga tahun beroperasi di ruang kediaman, MiniBites Delights beralih di premis sendiri.

“Pada tahun pertama kami beroperasi iaitu pada tahun 2020, cabaran utama yang kami hadapi adalah berhadapan dengan pandemik. Sudahlah baru tahun pertama bermula dengan team yang besar, MiniBite Delights ibaratnya sedang bertatih, hadir pula ujian dan cabaran sehebat ini.

“Namun, ALLAH Maha Adil memberikan ujian selayaknya kepada hamba-NYA.

“Berbekalkan semangat untuk membantu para wanita di luar sana, saya tidak berputus asa mencari jalan keluar dari setiap masalah namun kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik melanda.

“Alhamdulillah hasil usaha tidak putus asa mencari jalan keluar dari setiap permasalahan. Jualan sewaktu pandemik meningkat sekali ganda dari bulan Januari dan Februari sebelumnya. MiniBite Delights juga berjaya mencapai target jualan RM1 juta yang pertama pada tahun tersebut,” ujarnya.

Baca juga:  ‘Keghairahan wanita dengan emas bertempat, itulah yang bantu mereka jika dalam kecemasan’ -Datin Edora

Kenaikan harga bahan mentah yang mencanak akhir-akhir ini, sebagai usahawan Adila menyifatkan ia adalah isu luar kawalan.

“Isu kenaikan harga bahan mentah luar kawalan syarikat. Apa yang dalam kawalan kita adalah bagaimana cara untuk berhadapan dengan satu satu isu tersebut.

“Kita berupaya untuk mengekalkan produk dan permintaan sehingga kini dengan membuat beberapa penambahbaikan kepada produk seterusnya menukar segmen pelanggan kami dan saluran pemasaran yang digunakan,” kata Adila.

Dengan lambakan cheese tart di pasaran, Adila mempunyai strategi tersendiri. Tidak bergantung kepada unsur viral, CheezyBite terus bersaing dan memenangi hati peminatnya.

“Kita perlu mencari peluang untuk penambahbaikan produk dari semasa ke semasa. Pada masa akan datang, kami merancang untuk mempelbagaikan jenis produk sesuai dengan trend semasa bagi memastikan jenama ini tidak ketinggalan.

“Namun kami tidak memfokuskan kepada produk viral semata mata supaya jenama ini kekal di dalam pasaran,” katanya.

Adila di samping suami dan anak-anak.

Baca juga: Gembira adik beradik berjaya berniaga, tanda ibu bapa tidak akan susah, ini 5 rahsia orang Cina bina kekayaan

Memimpin pasukan agen dan stokis melebihi 100 orang, Adila menyifatkan ia adalah cabaran.

“Oleh kerana saya masih bekerja dan mempunyai tiga orang anak, saya perlu membahagikan masa dengan sebaiknya agar keluarga, kerja dan juga bisnes bergerak seiring.

“Setiap cabaran yang berjaya diselesaikan merupakan pengalaman berharga yang menjadi kenangan manis untuk dikenang di masa hadapan,” katanya.

Ternyata mengimbangkan masa antara perniagaan, kerjaya dan keluarga bukan tugas yang mudah. Adila menyifatkan suaminya adalah big why.

“Pendorong kuat dan utama saya adalah suami, tanpanya tidak mungkin saya akan bergerak sejauh ini. Berkat doa dan restu beliau Alhamdulillah segala cabaran berjaya diatasi.

“Arwah ibu dan ayah juga big why. Apa yang saya usahakan adalah untuk memberikan ibu dan ayah keselesaan dan kebahagiaan selagi hayat mereka masih ada.

Iklan

“Namun ibu saya telah meninggal dunia pada bulan Julai 2021 akibat Covid-19. Saya masih ramai yang mendorong seperti agen, staff di MiniBite Delights, keluarga mentua dan anak anak,” katanya.

 

Baca juga: Cemburu anak manja dengan pengasuh, wanita nekad berhenti kerja, berniaga tepi jalan

Mahu melihat MiniBite Delights berkembang, wanita bersemangat waja ini mahu menambah cawangan di setiap negeri dan menembusi pasaran luar seperti di Indonesia dan Singapura.

Berkongsi semangat dari hati ke hati, Adila yang suka melihat kaum Hawa berjaya dalam perniagaan makanan menyenaraikan beberapa tip sebagai panduan.

“Kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan makanan, selain produk menarik, packaging yang cantik dan pengiraan kos perlu diutamakan memandangkan margin untuk produk makanan adalah rendah berbanding produk lain seperti pakaian, kecantikan atau kesihatan.

“Perlu tahu cara pengiraan kos yang betul supaya perbelanjaan tidak melebihi jualan. Ada yang jualan meningkat tetapi tiada keuntungan disebabkan kesalahan dalam kiraan kos serta penetapan harga produk untuk memastikan usaha ada hasilnya.

“Selain itu, pastikan berkat dengan menjaga timbangan dan memastikan kualiti produk dijual kekal bersih dan selamat untuk dimakan,” tuturnya.

Baca juga: Dahulu ikut abah meniaga pasar malam, kini muncul antara 10 wanita hebat di ASEAN

Bertahun di dalam bidang food and beverage (F&B), Adila mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan diri sentiasa bersemangat.

Iklan

“Motivasi dan semangat datang dari diri sendiri. Beribu kata-kata motivasi yang dibaca atau dilihat, tetaplah tindakan itu datang dari diri sendiri. Untuk kekal bermotivasi letakkan kepercayaan dan pengharapan hanya kepada ALLAH.

“Selain itu, niatkan untuk membantu orang lain dan tidak bukan hanya fokus kepada diri sendiri . Motivasi untuk saya terus melangkah apabila saya melihat agen dan stokis berjaya dengan sekecil-kecil perubahan baik ke atas diri mereka dan keluarga. Ada yang mampu membuat simpanan, bawa keluarga bercuti dan mengirim wang bulanan setiap bulan kepada ibu bapa. Melihat mereka bahagia dengan hasil yang dicapai membuatkan saya bermotivasi untuk membantu lebih ramai lagi.

“Setiap ujian dan cabaran yang berlaku dalam bisnes mahupun kehidupan adalah sebagai ‘value’ untuk kita terus tingkatkan potensi dalam diri sendiri yang mana sebelum ini kita sendiri tak sedar yang kita mampu melakukannya.

“Jangan terus-terusan biarkan masalah mengawal kita, ALLAH kan ada. Usaha cari jalan keluar dengan ilmu, tawakal dan doa,” katanya.

Baca juga: Adab, tatacara berniaga dalam Islam yang perlu kita patuhi demi mendapat keredaan-NYA

Serius penulis berasa teruja mendengar perkongsian wanita ini. Siapa sangka perniagaan kecil-kecilan dari ceruk dapur rumah kini berkembang memberi pulangan mencecah jutaan ringgit.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Teruskan berusaha wahai wanita, jangan sia-siakan hobi yang berpotensi menjadi pendapatan kedua menguntungkan.

Baca juga: Fazura menitiskan air mata 80,000 tudung habis dalam 2 jam, anggaran jualan RM2.16 juta

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.