DAHULU bekerja sebagai eksekutif akaun, Norliyana Harun tidak menyangka melangkah jauh membina jenama bakeri Dinda Delights.

Sebut sahaja Dinda Delights, orang-orang Shah Alam tentu familiar kan? Kedai kek yang menjual kek pelbagai jenis dan bentuk dengan harga mampu milik.

Melangkah masuk ke dalam kedai yang terletak di Seksyen 23 Shah Alam ini, anda boleh rambang mata lihat pelbagai jenis manisan pastri seperti bomboloni, durian crepe, roti dan pau sambal.

Kek ready made pelbagai jenis di sini up-to-date hiasannya. Semuanya sedap-sedap dan mesra poket! Hilang craving mak-mak, paling penting anak-anak pun suka.

Baca juga: Laku keras musim PKP jualan cecah 1 juta, Adila mula jual cheese tart dari ceruk dapur

Baby cakes juga cantik dekorasi. Kek hari jadi bersaiz empat inci itu boleh didapati pada harga serendah RM25 hingga RM35 sahaja.

Mendekati pemiliknya, Norliyana tidak lokek berkongsi inti pati perjuangannya membina jenama yang sememangnya menginpirasikan.

“Segalanya bermula pada Disember 2014. Ketika itu saya mengambil tempahan sampingan dari rumah. Alhamdulillah sambutan yang memberangsangkan, kami berpindah ke premis sendiri pada 2017,” kongsinya yang mesra disapa Lyana.

Minat dan bakat memasak digabungkan dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang Pentabdiran Perniagaan memacu kejayaan Dinda Delights.

“Asalnya saya menceburi bidang bakeri ni hanya untuk mengisi masa lapang selepas waktu bekerja.

“Lama kelamaan menjadi minat dan teruja bila rakan sekerja membuat pesanan dan suka akan produk yang dihasilkan. Produk pertama adalah cupcakes dan diikuti dengan cheese tart,” kongsinya kepada SinarPlus.

Baca juga: Dulu pengacara TV, sekarang bekerja dari rumah, Nisa Aznan puas berniaga

Setiap perniagaan ada jatuh bangunnya dan Lyana juga tidak terkecuali. Masalah, halangan, cabaran mematangkan dan tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit semula.

“Cabaran dan dugaan semasa menjalankan perniagaan ini terlalu banyak. Antaranya ditipu dengan pelanggan yang mana pelanggan tidak membuat pembayaran selepas mengambil produk.

“Dari insiden itu saya belajar untuk bertegas dan mengambil pembayaran penuh sebelum produk dihantar atau diberikan kepada pelanggan.

“Pada tahun 2022, kami ditimpa dugaan terbesar apabila kedai dilanda musibah banjir. Ia melibatkan kerugian yang banyak.

“Tetapi saya reda dan menganggap ini hanya ujian dimana setiap ujian dan dugaan itu pasti ada hikmah. Ada sesuatu yang kita perlu perbaiki dan pelajari,” tuturnya positif.

Baca juga: Pernah rugi jutaan ringgit gara-gara baju tak siap, tukang jahit tak cukup. Ini kisah jatuh bangun Pija MINAZ

Isu kenaikan harga bahan mentah menjadi masalah besar golongan bakers. Telur, tepung, minyak masak dan pelbagai bahan bukan sahaja naik harga, malah sukar didapati.
Bagi Lyana, perkara itu tetap dilalui. Strategi yang digunakan ialah dengan mengawal perbelanjaan syarikat.

“Di Dinda Delights, pembelian bahan mentah dibuat mengikut keperluan dan memastikan tiada lebihan stok atau bahan yang tidak perlu dibeli.

“Harga produk juga dinaikkan tetapi masih dalam kawalan agar tidak membebankan pembeli,” katanya yang mengakui kenaikan kos ini sebagai cabaran terbesar.

Baca juga: ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

Iklan

Memastikan Dinda Delights sentiasa menepati trend semasa, Lyana memastikan sentiasa peka dengan permintaan pelanggan dan produk ‘viral’.

Dari segi kek bertema pula, dekorasi yang menarik dan mainan warna membantu untuk menarik minat dan menepati trend pelanggan.

Justeru tidak hairanlah, para pelanggan setia bersamanya. Ada yang bertahun-tahun tidak berganjak daripada membeli kek dan kuih raya dari Dinda Delights.

Sentiasa bersemangat mendorong diri sendiri untuk terus bangkit, Lyana bertuah turut menerima sokongan daripada suami dan keluarga.

“Untuk rasa bersemangat, saya selalu memandang kejayaan kawan-kawan lain dan berasa berbangga.

“Secara tidak langsung menjadikan saya bersemangat dan ingin berjaya seperti mereka,” ujarnya.

Sembilan tahun membangunkan jenama Dinda Delights, Lyana ingin melihat impiannya menjadi realiti.

“Perancangan kami dalam masa lima tahun akan datang, Dinda Delights dapat memiliki bangunan sendiri dan membuka sebuah cafe. Moga jadi kenyataan,” ujarnya.

Iklan

Baca juga: Dahulu ikut abah meniaga pasar malam, kini muncul antara 10 wanita hebat di ASEAN

Daripada wanita kepada wanita, Lyana ingin melihat kaum Hawa menggenggam kejayaan dalam perniagaan.

Melalui pengalaman yang dikutip, anak kelahiran Teluk Intan Perak ini sempat memberikan mutiara kata sebagai panduan.

“Pesanan kepada wanita yang ingin menceburi bidang bakeri ini perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan.

“Jangan mudah berputus asa sekiranya jualan tidak memberangsangkan. Sentiasa pandang setiap kejadian dengan positif dan memperbaiki kelemahan dari masa ke semasa,” katanya.

Kepada yang ingin mengunjungi Dinda Delights bolehlah ke alamat No.82, Jalan Pelabur A23/A, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.

Kedai ini beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Sabtu manakala pada hari Ahad, jam 10 pagi hingga 5 petang.

Baca juga: Nona Superwoman Award 2022 terus mengangkat martabat kaum wanita, iktiraf 50 individu cemerlang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi